‘Lebih sukar dinyanyikan’: Dick Lee, Jeremy Monteiro ulas perdebatan lagu NDP 2026
Hari Kebangsaan mungkin sudah berlalu, namun perdebatan berhubung lagu-lagu Perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini (NDP 2026) masih rancak online.
Veteran persada muzik Singapura, Dick Lee (kiri) dan Jeremy Monteiro. (Gambar: Instagram/@dickleeparadise, Facebook/Jeremy Monteiro)
Perbincangan itu tertumpu kepada tiga lagu tema asli yang diterbitkan untuk NDP 2026: 'Giants', yang dinyanyikan Iman Fandi dan ditulis Weish; 'Sparkle', yang didendangkan Gareth Fernandez dan Dru Chen; serta 'You'll Be Okay', yang dipersembahkan dan ditulis bersama oleh Jasmine Sokko.
Ketiga-tiga lagu tersebut membentuk 'Go Beyond: NDP 2026 Album'.
Ia juga merupakan kali pertama muzik-muzik NDP diterbitkan dalam bentuk album. Pengarah muzik Bang Wenfu berkata kepelbagaian dari segi gaya muzik bertujuan mencerminkan kerencaman Singapura, selain menawarkan pilihan lagu berbeza-beza kepada rakyat Singapura.
Sesetengah pihak online mempersoalkan sama ada lagu-lagu tersebut adalah sesuai sebagai lagu NDP, dengan pelbagai komen dilontarkan oleh para individu daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
Ada yang berkata lagu-lagu tersebut menggunakan "'auto-tune' (pelarasan nada automatik) secara berlebihan" sehingga sukar untuk dinyanyikan bersama, manakala sebilangan lain berpendapat lagu-lagu tersebut tidak semudah lagu NDP terdahulu untuk diingati.
Seorang pengguna menulis bahawa lagu-lagu tersebut "sukar untuk dinyanyikan bersama berbanding lagu-lagu pada tahun-tahun sebelumnya", manakala seorang lagi berkata ia "tidak kedengaran atau terasa seperti lagu NDP, sebaliknya sekadar lagu biasa mengenai tanah air dan Singapura".
Pada masa yang sama, ada juga yang mengalu-alukan peluang yang diberikan kepada para penyanyi dan penulis lagu tempatan generasi muda untuk menyumbang kepada muzik NDP.
BERI RUANG KEPADA GENERASI MUDA
Pemuzik veteran Monteiro, yang merupakan penyusun muzik bagi lagu ciptaan Hugh Harrison, 'Stand Up For Singapore' pada 1984 dan 'Count On Me, Singapore' pada 1986, yang turut dianugerahkan Pingat Budaya oleh Majlis Seni Kebangsaan pada 2002, berkongsi pandangannya berhubung perbincangan tersebut menerusi satu catatan Facebook pada Isnin (10 Ogos).
Beliau mengakui salah satu kritikan yang sering dibangkitkan, iaitu sesetengah lagu NDP yang lebih baharu sukar dinyanyikan oleh orang ramai.
"Sesetengah lagu baharu memang lebih sukar untuk dinyanyikan. Kritikan itu berasas," tulis beliau.
"Lagu-lagu itu sering ditulis untuk penyanyi terlatih, dengan selang nada dan alunan vokal yang lebih sesuai untuk penyanyi solo di atas pentas berbanding orang ramai di padang, dan ramai daripada generasi lebih tua seperti kami sememangnya sukar untuk menyanyikannya."
Namun, Encik Monteiro berhujah bahawa perkara tersebut tidak semestinya bermakna lagu-lagu itu gagal mendapat tempat dalam kalangan generasi muda Singapura.
Beliau merujuk kepada para penulis lagu dan penyanyi generasi muda di sebalik lagu-lagu NDP yang lebih baharu, termasuk 'The Road Ahead' pada 2021, 'Not Alone' pada 2024 dan 'Here We Are' pada 2025. Menurut beliau, golongan muda Singapura lebih serasi dengan gaya muzik lagu-lagu tersebut.
"Golongan muda kita boleh menyanyikannya. Dengan mudah, daripada ingatan, dengan penuh penghayatan, kerana itulah bahasa muzik yang menemani mereka semasa membesar," tulis beliau.
Beliau membandingkannya dengan situasi di mana lagu-lagu seperti 'Stand Up For Singapore' begitu dekat dengan generasinya sendiri.
Menurut beliau, lagu-lagu NDP, seperti cita rasa muzik Singapura, pasti akan terus berkembang dan suara generasi muda penting dalam membentuk landskap muzik tersebut.
Jawatankuasa kemudian boleh memilih lagu yang dipercayai mampu mendapat sambutan daripada rakyat Singapura yang lebih luas, kata beliau.
Encik Lee turut menekankan bahawa lagu-lagu Singapura lain harus terus disertakan dalam NDP, meskipun tidak dipilih sebagai lagu tema rasmi. Lagu-lagu tersebut, kata beliau, boleh "menyerikan perbarisan (Hari Kebangsaan)".
NDP TIDAK SEHARUSNYA JADI SATU-SATUNYA ACARA CETUS INSPIRASI PENULIS LAGU TEMPATAN
Pandangan yang dikongsi Encik Lee dan Encik Monteiro turut menimbulkan persoalan lebih besar berhubung perkembangan muzik Singapura melangkaui bulan Ogos setiap tahun.
"Ia sangat penting bagi kita untuk mencipta dan membina khazanah lagu kita. Kita merupakan sebuah negara yang masih begitu muda," kata Encik Lee.
Beliau memberi contoh lagu seperti Bunga Sayang, yang digubahnya pada 1995, dan lagu klasik 'Home', yang digubah pada 1998, sebagai lagu Singapura yang tidak ditulis secara khusus sebagai lagu tema NDP tetapi tetap mempunyai kaitan rapat dengan negara ini.
Encik Monteiro turut berkongsi pandangan serupa dengan berkata: "Katalog lagu kita merupakan satu warisan yang masih berkembang, dengan ruang untuk semua. Lagu-lagu ini membuat kita berasa bangga sebagai rakyat Singapura. Ia membuat kita sedar akan akar kita. Ia membuat kita merasakan semangat kebersamaan."
Encik Lee menambah: "Bukan NDP sahaja yang seharusnya memberi inspirasi kepada para penulis lagu tempatan untuk menghasilkan lagu berhubung Singapura, untuk Singapura.
"Memang penting untuk lagu dan muzik kita mempunyai penghayatan bagi tanah air kita. Jadi, teruskan menulis."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.