Lebih ramai warga SG sanggup berbelanja besar ketika melancong
Semakin ramai warga Singapura yang sanggup berbelanja besar ketika melancong ke luar negara, didorong oleh nilai dolar Singapura yang kukuh.
Destinasi pelancongan yang menawarkan pemandangan indah dan kaya dengan warisan budaya menjadi pilihan ramai. (Gambar: Mediacorp)
Menurut agensi pelancongan, terdapat perubahan ke arah apa yang disebutkan sebagai pelancongan bermatlamat. Ia merujuk kepada keputusan para keluarga untuk mengutamakan pengalaman unik semasa melancong.
Destinasi pelancongan yang menawarkan pemandangan indah dan kaya dengan warisan budaya kini menjadi pilihan ramai.
Antara destinasi sedemikian termasuk China, yang menjadi antara destinasi paling popular dalam kalangan pelancong Singapura.
Sebuah agensi pelancongan melaporkan peningkatan tempahan sebanyak 15 peratus berbanding tahun lalu, sebahagiannya hasil daripada dolar Singapura yang kukuh.
Pada masa yang sama, Jepun kekal sebagai destinasi utama pilihan rakyat Singapura.
Namun kini, kegiatan melancong bukan hanya tentang ke mana seseorang itu pergi… tetapi mengapa destinasi tersebut menjadi pilihan.
Trend itu dikenali sebagai pelancongan bermatlamat, yang bukan sekadar melengkapkan senarai destinasi, tetapi menumpukan perhatian kepada pengalaman yang bermakna.
Bhutan muncul sebagai salah satu destinasi untuk memahami diri dengan lebih baik atau dalam Bahasa Inggerisnya, "soul-searching".
Malah, sebuah operator telah menggandakan penerbangan sewa khas ke negara tersebut tahun ini.
Tan Jie Ni, Eksekutif Komunikasi Pemasaran, Chan Brothers Travel berkata: “Apa yang kami lihat secara keseluruhan ialah corak pelancongan yang lebih rencam. Jadi keluarga dengan anak-anak, kumpulan pelbagai generasi dan juga rakan-rakan. Mereka semua mencari sesuatu yang sedikit berbeza daripada destinasi biasa.”
Secara amnya, sama ada menempah pelancongan dua hingga tiga bulan lebih awal atau merebut tawaran saat akhir, ramai keluarga berusaha untuk menjadikan cuti sekolah Jun ini kenangan yang bermakna.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.