Lebih 60 kanak-kanak pintar M'sia hijrah ke luar negara setiap tahun
Seramai 60 hingga 65 orang kanak-kanak pintar (gifted) Malaysia berhijrah ke luar negara setiap tahun bagi mendapatkan pendidikan khas yang mampu meningkatkan potensi diri mereka.
Gambar hiasan kanak-kanak. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)
BANGI: Seramai 60 hingga 65 orang kanak-kanak pintar (gifted) Malaysia berhijrah ke luar negara setiap tahun bagi mendapatkan pendidikan khas yang mampu meningkatkan potensi diri mereka.
Pengarah Pusat PERMATApintar Negara Profesor Dr Noriah Mohd Ishak berkata kemudahan pendidikan bagi kanak-kanak pintar di Malaysia ketika ini jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom serta negara-negara jiran termasuk Singapura dan Vietnam.
Beliau berkata ketika ini hanya Pusat PERMATApintar Negara yang menawarkan pendidikan untuk kanak-kanak pintar di negara ini berbanding Vietnam yang mempunyai 32 pusat pendidikan khas bagi golongan luar biasa itu.
“Sistem pendidikan kita banyak menghafal untuk peperiksaan tetapi kebanyakan pelajar pintar kita tidak suka menghafal, inilah masalahnya.
“Mereka perlukan pendidikan berbeza kalau tidak dia akan cepat bosan dan dia duduk di belakang kelas dan mula mengacau cikgu dan kawan-kawan. Akhirnya dia akan dipindahkan ke kelas hujung,” katanya di siri ceramah awam bertajuk Kenali Anak Berbakat (Getting to Know Your Gifted Child) di Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini (22 Sep).
Profesor Noriah berkata kanak-kanak pintar juga perlu diberi peluang untuk terus melangkau masuk ke kelas lebih tinggi tanpa mengira usia supaya tahap pembelajaran yang diperolehi bersesuaian dengan tahap kebolehan mereka.
Ini kerana, katanya pelajar pintar mampu memproses maklumat dengan lebih pantas berbanding pelajar biasa.
Selain itu, katanya sistem pendidikan negara juga menetapkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diambil oleh pelajar berusia 17 tahun sedangkan terdapat pelajar PERMATApintar yang layak mengambil peperiksaan itu ketika berusia 13 tahun lagi.
“Mereka tidak boleh mengambil SPM melainkan saya menulis surat secara peribadi kepada jabatan terbabit untuk membenarkan pelajar itu ambil peperiksaan lebih awal,” katanya.
Prof Noriah berkata Pusat PERMATApintar Negara sedang bekerjsama dengan Kementerian Pendidikan dalam mencari mekanisme terbaik menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak pintar di negara ini antaranya aspek latihan kepada guru.
Katanya setiap tahun seramai 350,000 kanak-kanak di seluruh negara mengambil ujian yang dikendalikan Pusat PERMATApintar Negara bagi mengenal pasti mereka yang tergolong dalam kategori tersebut dan seramai 100 hingga 150 orang diserap ke program tersebut.
Berkongsi kejayaan pusat yang sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu, Prof Noriah berkata seramai lapan pelajarnya sedang melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah di universiti-universiti terkemuka dunia dengan kebanyakannya menerima tawaran biasiswa ketika berusia 19 atau 20 tahun.
Justeru, beliau berharap ibu bapa dan guru-guru dapat mengenal pasti kebolehan anak atau pelajar mereka lebih awal supaya potensi diri mereka dapat dikembangkan sebaik mungkin dan akhirnya dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.