Lebih 3.5j unit Nintendo Switch 2 dijual kurang seminggu selepas dilancarkan
Syarikat permainan video gergasi dari Jepun, Nintendo mengumumkan pada Rabu (11 Jun) bahawa lebih 3.5 juta unit Switch 2 terjual dalam tempoh empat hari pertama selepas pelancarannya, menjadikan konsol itu sebagai peranti permainan terlaris dalam sejarah syarikat tersebut setakat ini.

Seorang individu memakai topi watak Luigi bermain dengan konsol Switch sementara menunggu di luar kedai Nintendo bagi pelancaran Nintendo Switch 2 di Bandar New York, Amerika Syarikat pada 4 Jun 2025. (Gambar fail: REUTERS/Kylie Cooper)
Bulan lalu, syarikat yang berpangkalan di Kyoto itu meramalkan bahawa jualan Switch 2 akan mencecah 15 juta unit dalam tahun kewangan semasa yang berakhir pada Mac depan.
“Peminat di seluruh dunia menunjukkan keterujaan mereka terhadap Nintendo Switch 2 sebagai cara bermain yang dinaik taraf, sama ada di rumah atau di luar,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Nintendo of America, Doug Bowser dalam satu kenyataan.
Sejak pertama kali dilancarkan pada 2017, Nintendo telah menjual sebanyak 152 juta unit Switch, sekali gus membentuk satu kuasa besar dalam industri permainan dengan judul-judul popular seperti "The Legend of Zelda" dan permainan popular semasa pandemik COVID-19 iaitu "Animal Crossing: New Horizons".
Versi generasi kedua Switch yang lebih berkuasa, yang mula dijual pada 5 Jun, mengekalkan kebanyakan ciri-ciri peranti sebelumnya, namun ia mempunyai skrin lebih besar dan keupayaan grafik yang dipertingkat.
Ia turut dilengkapi dengan permainan seperti "Mario Kart World".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.