Lawatan berpandu percuma terap ciri kemampanan, luar biasa Taman di Persisiran
Lawatan Berpandu Alam Semula Jadi dan Kemampanan di Kawasan Paya Kingfisher. (Gambar: Taman di Persisiran)
SINGAPURA: Para pengunjung berpeluang untuk meneroka daya tarikan yang mungkin mudah terlepas daripada pandangan dalam siri bertema Lawatan Berpandu Alam Semula Jadi dan Kemampanan di Taman di Persisiran.
Lawatan berpandu yang ditawarkan secara percuma kepada orang ramai itu akan memanfaatkan contoh-contoh di Taman di Persisiran bagi menerangkan konsep-konsep rumit kepada para pengunjung. Ia memanfaatkan daya tarikan tersebut sebagai model pembangunan mampan dan pemuliharaan.
Selain kemampanan, siri tersebut juga akan membimbing para peserta ketika meneroka ciri-ciri lain di Taman di Persisiran yang mungkin tidak diketahui ramai kecuali dengan panduan para pembimbing.
Salah satu contoh tempat sedemikian adalah Flower Dome yang mendedahkan paip-paip saluran air sejuk di bawah bidur lantai, yang merupakan alternatif bagi menjimatkan tenaga berbanding penyaman udara biasa.
Setiap sesi lawatan berpandu, yang diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad, akan berlangsung selama sejam dan dikendalikan oleh para pembimbing profesional.
Lawatan-lawatan berpandu pada bulan Januari akan menampilkan dua tema - Karbon dan Iklim dan Paya di Kawasan Bandar. Pada Februari, siri lawatan berpandu akan diperluaskan untuk melibatkan tema Kepelbagaian Hayat dan Ekosistem, dan Biji dan Deria.
Lawatan Berpandu Alam Semula Jadi dan Kemampanan, yang dijangka berlangsung sehingga 2025, akan diperluaskan untuk meliputi lima tema dengan lapan laluan:
-
Kepelbagaian Hayat dan Ekosistem
-
Karbon dan Iklim
-
Tenaga dan Air
-
Biji dan Deria
-
Bau
-
Sentuhan
-
Penglihatan
-
Rasa
-
-
Paya di Kawasan Bandar
Lawatan Berpandu Alam Semula Jadi dan Kemampanan, yang disokong oleh Keppel Corporation, adalah inisiatif pendidikan terbaru oleh Taman di Persisiran yang tertumpu kepada usaha memupuk budaya kemampanan dalam masyarakat tempatan.
Yayasan Keppel Care mengikrarkan S$300,000 untuk mengendalikan siri lawatan berpandu tersebut, yang disediakan secara percuma kepada semua rakyat Singapura dan penduduk tempatan, yang turut meliputi kunjungan ke dua rumah pemuliharaan berhawa dingin bagi lawatan bertema tertentu.
Pendaftaran bagi lawatan berpandu bertemakan Karbon dan Iklim dan Paya di Kawasan Bandar bagi bulan Januari 2023 akan dibuka pada 17 Dis 2022.
Orang ramai boleh membuat pendaftaran di laman www.gardensbythebay.com.sg/sustainabilitytours. Pendaftaran bagi siri lawatan berpandu yang berikutnya akan dibuka pada setiap hari Rabu pertama dalam sebulan untuk sesi pada bulan berikutnya.
Berikut adalah tema-tema yang akan ditampilkan dalam Lawatan Berpandu Alam Semula Jadi dan Kemampanan di Taman di Persisiran:
1. KEPELBAGAIAN HAYAT DAN EKOSISTEM (FEB 2023)
Dalam lawatan berpandu yang mengutarakan hubungan rapat antara kepelbagaian hayat dengan ekosistem, para peserta akan dibawa menyusuri laluan merentasi pelbagai habitat dari merata dunia dan mempelajari ciri-ciri penyesuaian dengan keadaan cuaca ekstrem.
2. KARBON DAN IKLIM (JAN 2023)
Teroka Taman di Persisiran untuk mempelajari bagaimana warna-warna Pelangi Karbon menjejas sekitaran dan kesannya terhadap iklim yang kian berubah. Para peserta juga akan berpeluang mengenali dengan lebih dekat amalan-amalan menguruskan daya tenaga mampan, sisa dan sumber yang menyumbang kepada pengurangan karbon di daya tarikan itu.
3. TENAGA DAN AIR
Para peserta akan dibawa meninjau-ninjau ciri-ciri kejuruteraan dan seni bina yang bijak di Taman di Persisiran demi penggunaan air dan tenaga secara mampan.
4. BENIH DAN DERIA
Tanam-tanaman dan manusia mengongsi persamaan, iaitu deria yang serupa. Lawatan yang terbahagi kepada empat laluan deria, iaitu bau, sentuhan, penglihatan dan rasa, mencabar persepsi para peserta tentang tumbuh-tumbuhan dengan mengenali koleksi tumbuh-tumbuhan di Taman di Persisiran yang luar biasa dan memukau.
Lawatan berpandu bertemakan deria bau akan berlangsung mulai Febuari 2023.
5. PAYA DI KAWASAN BANDAR
Lawatan yang tertumpu kepada peranan kawasan paya di tengah-tengah perubahan iklim akan mendedahkan para peserta kepada pemandangan dan bunyi-bunyian di Kawasan Paya Kingfisher, flora dan fauna di dalamnya, serta ciri-ciri kemampanan yang diterapkan untuk mewujudkan sekitaran semula jadi demi kepelbagaian hayat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.