Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lawan puntianak, makan sate: Permainan video ini jana pendapatan S$500,000 seminggu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Permainan video ini unik. Yang perlu diburu adalah hantu-hantu dalam kumpulan cerita rakyat Asia Tenggara.

Misalnya, si pemain perlu menebang pokok pisang - tempat yang dikatakan disukai puntianak. Ada juga misi di mana pemain perlu 'mengatasi' hantu lompat-lompat Cina, jiangshi.

Misi-misi sebegini perlu dilakukan secara berpasukan dan dilakukan demi melindungi sebuah bandar pelabuhan... yang direka persis kota Singa ini, Singapura! Ada 'merlion' mahupun rumah-rumah kedai.

Memang lain daripada yang lain bukan?

Lebih menarik lagi, sumber tenaga pemain untuk melawan musuh-musuh, adalah dengan memakan hidangan tempatan seperti sate dan nasi ayam.

Permainan video dinamakan Ghostlore ini sebenarnya dicipta oleh seorang anak watan, Encik Andrew Teo.

Sejak remaja lagi, beliau gemar bermain permainan video dan menanam keinginan untuk menghasilkan permainannya sendiri.

Encik Teo akhirnya menjadi seorang pencipta permainan bebas dan pada usia 35 tahun, beliau berjaya mencipta permainan video yang diilhamkan daripada Diablo 2.

Prosesnya memakan masa hampir lima tahun. Semua yang ada dalam permainan berunsurkan dunia mistik Asia itu - dari watak sehinggalah grafik - merupakan hasil sentuhan kreatifnya sendiri.

Seminggu sebelum melancarkan permainan tersebut secara rasmi pada 17 Mei, Ghostlore sudahpun menjana pendapatan S$500,000!

Ia kini dijangka meraih pendapatan setinggi S$1 juta menjelang akhir tahun ini.

"Ketika saya sedang menjalankan projek ini, saya cuma berharap akan dapat balik pendapatan untuk tampung kos, iaitu dalam beberapa ribu dolar sahaja. Jadi sambutannya memang di luar jangkaan saya," kata Encik Teo.

Sejak dilancarkan, lebih 30,000 orang sudah membelinya di platform Steam sementara lagi 120,000 orang bermain permainan itu di Xbox Game Pass.
Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan