Lasouk – Sejadah disasarkan untuk wanita muslim kosmopolitan, sofistikated
Antara sejadah terbaru yang lebih moden ‘wajahnya’ adalah jenama Lasouk, yang baru juga memasuki pasaran awal tahun ini. Ia khususnya disasarkan untuk gadis Muslim kosmopolitan dan sofistikated.
Sejadah Lasouk (Foto: Ihsan Heikal Gani)
BERITAmediacorp: Memang, sebagai orang Islam antara kelengkapan yang rapat dengan kita adalah sejadah. Semakin gaya hidup kita berubah, semakin itu jugalah keperluan harian seperti sejadah turut mengalami evolusi.
Antara sejadah terbaru yang lebih moden ‘wajahnya’ adalah jenama Lasouk, yang baru juga memasuki pasaran awal tahun ini. Ia khususnya disasarkan untuk gadis Muslim kosmopolitan dan sofistikated.
Jadi, apa sebenarnya keistimewaan dan perbezaan sejadah Lasouk berbanding yang lain?Ini penjelasan warga Singapura yang mengilhamkan dan mengeluarkan sejadah itu, Encik Heikal Gani:
“Ia mesra alam, biodegradable dan padding di bahagian bawah sejadah diperbuat dari getah asli. Rekaannya terperinci menepati gaya kehidupan moden selain mempunyai corak yang unik. Sejadah ini anti-slip, direka menepati kegunaan di rumah dan terdapat juga dalam versi musolah yang sesuai untuk dibawa ke mana saja seperti ke masjid.”
Sejak pelancarannya di Indonesia, sejadah ini mendapat perhatian yang luas. Terdapat ramai pereka-pereka yang ingin berkolaborasi bersama untuk koleksi seterusnya.
“Ada beberapa nama tapi saya tidak boleh dedahkan. Tapi, yang terkini, saya rasa teruja untuk melancarkan koleksi bersama dengan pereka popular kelahiran Indonesia, yang terkenal dengan fabrik rekaan Ikat.
“Saya bertemu dengannya semasa pelancaran Lasouk di Muslim Fashion Festival di Indonesia kelmarin dan kami rancang untuk melancarkan koleksi terbaru bersama-sama,” kata Encik Haikel mengenai pereka bernama Didiet Maulana itu.
Lebih bermakna lagi bagi Lasouk, sebahagian daripada hasil penjualan sejadah ini turut telah disalurkan kepada dana untuk membantu gadis-gadis kurang bernasib baik di Maghribi. Lasouk bekerjasama dengan Education For All Morocco (Efamomcco), badan amal yang ditubuhkan pada 2007 untuk membantu gadis berusia antara 12-18 tahun yang tinggal di kawasan pedalaman dan mempunyai akses yang terhad untuk ke sekolah.
Untuk setiap 300 sejadah yang dijual, Lasouk dapat membantu menaja seorang gadis untuk ke sekolah di Efamomcco buat setahun.
KOLEKSI LAIN LASOUK
Tidak terhad pada koleksi sejadah saja, jenama Lasouk juga memperkenalkan tasbih dan bakal melancarkan beg kembara serta koleksi telekung dalam masa yang terdekat.
“Pastinya lebih organik dan ia akan tampil dalam pelbagai rona,” kata Encik Haikel.
“Saya mempunyai harapan yang besar untuk Lasouk. Setakat ini ia mendapat perhatian secara online dan bazar kontemporari kerana rekaannya yang moden menepati cita rasa hari ini. Sesuai untuk gadis milenial di seluruh dunia. Walaupun mereka mempraktikkan kehidupan moden, mereka setia mengikut ajaran Islam.”
Sesuai untuk kegunaan peribadi atau dijadikan sebagai hadiah, sejadah bermotif dan berkualiti ini boleh didapati di laman www.lasouk.com sementara menantikan pembukaan bilik pameran yang turut dirancangkan pada tahun ini.
Buat masa ini Encik Heikal berharap dapat terus mengembangkan penjualan Lasouk secara agresif menerusi online ke merata dunia.
ASAL USUL LASOUK & PENGASASNYA
Apa itu Lasouk? Souk bermakna pasar atau bazar dalam bahasa Arab. Sementara La pula merupakan kata nama Perancis feminin yang bererti The. Apabila digabungkan dua perkataan ini, maka lahir jenama Lasouk!
Dek terpesona dengan keindahan di sekeliling Marrakesh ketika bercuti, ia memberi idea kepada Encik Heikal Gani untuk mencipta jenama Lasouk pada Mei 2019. Anak jati dan usahawan berpangkalan di Montreal dan Shanghai selama 10 tahun ini merupakan seorang yang gemar mengelilingi dunia.
Beliau menganggapnya sebagai satu terapi yang penting kerana ia dapat memberinya inspirasi dan idea baru untuk rekaan produk-produk yang dihasilkannya. Bagi beliau proses rekaan tiada batasnya.
Pengasas Lasouk, Heikal Gani (Foto-foto: Ihsan Heikal Gani)
Secara ringkas selain jenama Lasouk, jejaka berusia 40 tahun ini juga merupakan pemilik bersama Indochino, sebuah syarikat tempahan pakaian suit untuk jejaka yang ditubuhkan pada tahun 2007 bersama seorang rakan baiknya di Kanada.
Indochino berkembang pesat dan kini merupakan jenama gergasi yang terkenal dengan bilik pamerannya terletak di Toronto, Vancouver, New York, Chicago dan San Francisco. Ia berjaya menarik pelabur terkemuka seperti Madrona Seattle, Burda Digital Ventures dan yang terkini dari Dayang Group (China) dengan nilai pelaburan mencecah $45 juta dolar.
Selain Indochino, jenama Sugarmat Inc yang ditubuhkan pada tahun 2017 juga merupakan idea Encik Haikel. Sugarmat Inc menghasilkan tikar dan aksesori yoga yang inovatif. Kehadirannya berjaya menambat hati ramai di merata dunia dan mendapat liputan meluas di The Wendy Williams Show, majalah Vogue, Marie Claire, InStyle dan Forbes.
Lantas, apabila tercetus idea untuk melancarkan Lasouk, Encik Heikal menganggapnya sebagai satu lagi peluang baru untuk mengekspresikan potensi dan kreativitinya melalui rekaan-rekaan yang lebih terperinci dan unik.
PENGARUH MARRAKECH
Melalui pengalaman pengembaraan di Marrakesh tahun lalu, Encik Heikal mendapat inspirasi untuk menghasilkan sejadah bermotif seperti itu.
“Sesiapa saja yang berada di pasar Marrakesh buat pertama kali pasti tidak terkata dan akan terpegun melihat produk-produk yang dijual oleh pedagang di gerai-gerai mereka. Maghribi sebuah negara yang sangat unik dan merupakan destinasi yang tidak terusik. Asli dan luar biasa, rekaan dalaman perumahan, bangunan dan hotel di sana semuanya mendapat pengaruh Afrika dan Arab pada waktu silam.
“Tak hairanlah jika ramai pereka seperti pereka terkemuka seperti Yves Saint Laurent pun gemar menghabiskan masa di Marrakesh. Pengalamannya di sana berjaya memberikan impak pada hasil kerjanya,” kata jejaka kreatif ini.
Lantaran itu juga jika beliau memilih edisi Marrakesh untuk koleksi rekaan sejadahnya yang pertama dibawah jenama Lasouk. Menurut Encik Heikal, motif dan corak rekaannya menggabungkan keindahan di sekelilingnya yang memberikan perasaan tenang ketika bersolat.
Idea yang datang mencurah-curah semasa di Marrakesh banyak membantunya dalam proses rekaan yang mengambil masa lebih kurang tiga bulan.
“Ia memakan masa sedikit kerana saya amat sibuk menguruskan urusan niaga yang lain. Tapi, memandangkan saya kerap berulang alik antara Montreal dan China, untuk menghasilkan sejadah Lasouk amat mudah kerana saya sudah mengenali pembekal di kilang-kilang di China.
“Bagi saya China adalah tempat yang tepat untuk menghasilkan sejadah kerana terdapat teknologi yang jarang diperolehi di mana-mana,” kongsi siswazah Universiti Victoria di Kanada itu.
PASARAN YANG DAHAGAKAN REKAAN PROGRESIF
Dilancarkan secara rasmi di Jakarta pada awal tahun ini, Lasouk ternyata mendapat perhatian yang luar biasa. Encik Haikel memilih untuk melancarkan sejadah Lasouk di Indonesia kerana beliau yakin pasarannya lebih luas tanpa batasan.
“Saya yakin ia merupakan permulaan yang baik dengan kehadiran saingan jenama asing yang lain yang turut ingin meneroka pasaran di Indonesia,” jelas Encik Heikal.
Sebagai usahawan berbilang jenama, beliau berhasrat untuk terus dapat menebarkan sayapnya di merata dunia dan ingin sentiasa mencari peluang gabungan perniagaan yang lain.
“Perniagaan tahunan Indochino mencecah AS$50 juta sementara Sugarmat Inc pula AS$8 juta pada tahun ini. Saya rasa Lasouk boleh mencapai kejayaan yang lebih tinggi berbanding kedua-dua jenama ini kerana pasaran luar dahagakan rekaan yang progresif dan kontemporari, menepati gaya kehidupan hari ini,” kata Encik Heikal mengakhiri wawancara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.