Laporan bergambar: Persiapan jelang pembukaan semula muzium Reflections at Bukit Chandu bulan depan
Ditutup sejak 2018 untuk kerja-kerja pembaikan, Reflections at Bukit Chandu bakal dibuka semula bulan depan. Ayuh intai kerja-kerja persiapan di balik tabir pusat yang memperingati perjuangan askar Rejimen Melayu itu...

(Gambar ihsan: Reflections at Bukit Chandu)
SINGAPURA: Terdapat banyak tugu peringatan dan tapak bersejarah peninggalan Perang Dunia Kedua di sini. Namun jika disebut pula tentang pertarungan terakhir sebelum jatuhnya Singapura ke tangan Jepun, pasti satu muzium akan terlintas di fikiran: Reflections at Bukit Chandu.
Pusat kendalian Muzium Negara Singapura itu memperingati peristiwa pasukan Rejimen Melayu yang dipimpin Leftenan Adnan Saidi beraksi mempertahankan Singapura sehingga ke titisan darah terakhir melawan asakan 13,000 askar Jepun pada 1942.
Pusat yang terletak di tapak pertempuran Pasir Panjang itu telah ditutup sejak Oktober 2018 bagi kerja-kerja pembangunan semula. Ia dijadual dibuka semula awal bulan depan.
BERITAmediacorp membawa anda mengintai serba sedikit beberapa artifak di pusat itu serta kerja-kerja yang sedang giat dijalankan untuk menyambut tetamu nanti:
Salah satu artifak utama di situ tentu sekali ukiran Leftenan Adnan Saidi. Diperbuat daripada gangsa, pada 2002 oleh Yeo Chee Kiong ia sebahagian koleksi Muzium Negara Singapura.

Turut dapat dilihat oleh pengunjung ke Reflections at Bukit Chandu adalah baju seragam askar Rejimen Melayu.

Dua jenis seragam akan dipaparkan, iaitu baju di lapangan, dan baju bagi upacara perbarisan.

(Gambar-gambar: Reflections at Bukit Chandu)
Parit-parit digali semasa perang untuk melindungi perajurit daripada serpihan bom dan peluru musuh. Anda dapat lihat dengan lebih dekat set penggali yang digunakan Askar Britain pada waktu itu.

Selain digunakan untuk menggali parit, ia juga digunakan sebagai senjata bertempur.

Kompas seperti ini pula digunakan semasa zaman perang untuk menunjukkan jalan serta sebagai panduan arah melancarkan bedilan mortar dan sasaran mesingan.

(Petikan skrin laman Reflections at Bukit Chandu)
Reflections at Bukit Chandu bakal dibuka semula pada 9 September. Jika gambar-gambar ini tidak cukup tarik minat anda, pastikan anda tidak terlepas meluangkan hujung minggu pembukaan semula muzium itu pada 11 dan 12 September kelak, di mana acara-acara menarik termasuk 'scavenger hunt' akan dianjurkan untuk anda menghayati dengan lebih mendalam kisah-kisah sejarah yang dipaparkan di sana.
Lebih menarik lagi, kemasukan adalah percuma hingga 26 September.
Lungsuri www.bukitchandu.gov.sg bagi maklumat lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.