Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Langsing jelang hari persandingan tanpa sekat perut; cuba 8 cara ini!

Anggaran Waktu Membaca:
Langsing jelang hari persandingan tanpa sekat perut; cuba 8 cara ini!

Gambar hiasan: Pexels

SINGAPURA: Bila tanya pada bakal pengantin apakah harapan menjelang hari persandingan mereka? Selain memastikan segala persiapan sudah siap diuruskan, ramai yang akan berkongsi tentang hasrat untuk turunkan berat badan kerana ingin tampil cantik dan menawan bila menggayakan busana pengantin pilihan mereka.
Gambar hiasan: Pexels

Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Yang pasti anda tidak perlu ikat perut. Mula berusaha melakukan rutin pemakanan sihat dengan tetap dan usah mudah putus asa. Dalam mengawal diet, penting untuk katakan tidak kepada godaan seperti manisan, makanan segera dan amalkan gaya hidup yang sihat.

Tiada jalan singkat untuk mendapatkan berat badan yang ideal dan ia juga tidak boleh dikecapi dengan sekelip mata. Apa yang pasti, anda tidak perlu berhabisan wang untk membeli ubat-ubat pelangsing badan yang tidak berkesan dan ada kalanya boleh memudaratkan kesihatan.

Sebagai alternatif amalkan cara yang lebih sihat untuk kurangkan risiko yang tidak diingini.

Caranya tidak sukar, anda hanya perlu mempunyai keseimbangan dalam pemakanan seharian dan berusaha untuk lakukan aktiviti yang dapat membantu dalam proses menurunkan berat badan.

Tumpukan pada diet dan pastikan untuk makan sajian yang berkhasiat. Cuba cara-cara berikut dan lihat perkembangannya dari masa ke semasa. Pastikan untuk lakukan rejim ini sekurang-kurangnya tiga bulan menjelang hari bahagia anda dan hasilnya pasti berbaloi!

8 CARA UNTUK LANGSING

Henti atau kurangkan gula putih


Cara ini merupakan antara yang paling mudah dan berkesan bagi ramai, bukan sahaja bakal mempelai tetapi sesiapa sahaja yang ingin turunkan berat badan. Rata-rata gula hadir di dalam banyak makanan dan anda boleh mengelakannya.

Gambar hiasan: Pexels

Anda perlu menukar dan usah menikmati minuman manis bergula termasuk kuih muih pemanis mulut dan juga buah-buahan yang sangat manis seperti mangga dan tembikai. Selain itu elak mengambil mayones, sos tomato, cili dan kicap yang tinggi dengan kandungan gula.

Sarapan sihat

Penting untuk mulakan hari anda dengan bersarapan dan usah elak bersarapan pagi gara-gara ingin kuruskan badan. Menurut kajian, ramai yang tidak mengambil berat tentang sarapan pagi. Pada hal, sarapan merupakan rutin yang penting dalam gaya hidup sihat.

Bagi yang bekerjaya, tidak kira jantina, ramai yang gemar menggabungkan sarapan dengan makan tengahari yang digelar brunch. Ini merupakan tabiat atau amalan yang kurang sihat kerana anda akan mengambil makanan dalam jumlah yang berlebihan semasa makan tengahari.

Tahukah anda jika anda bersarapan dengan kerap, ia dapat membantu untuk menurunkan berat badan. Terdapat banyak kajian yang membezakan golongan yang mengamalkan pengambilan sarapan pagi akan kurang risoko obesiti jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mengambil sarapan pagi.

Namun, sarapan juga bergantung pada jenis makanan yang diambil. Sarapan yang sesuai bagi yang ingin turunkan berat badan adalah yang berasaskan makanan berprotein, fiber dan karbohidrat yang tinggi seperti oat dan pisang kerana kedua-duanya mempunyai fiber yang tinggi.


Elak makanan yang terlalu berat seperti nasi lemak, nasi campur, roti prata dan sebagainya kerana makanan ini mempunyai lemak yang tinggi yang boleh menjejaskan proses untuk turunkan berat badan.

Kurangkan nasi

Selain menahan diri daripada gula putih, anda juga harus mengurangkan makanan yang berkanji seperti nasi. Malah bukan nasi sahaja, terdapat pelbagai makanan yang mengandungi karbohidrat seperti mi, kentang, roti dan pasta.

Gambar hiasan: Unsplash
Jika anda mula kurangkan pengambilan karbohidrat, tubuh akan mula memproses lemak yang tersimpan dalam tubuh untuk dapatkan tenaga. Bila tubuh memproses lemak dengan baik, berat badan juga akan turun.

Teh hijau

Minuman ini memang tidak asing lagi dan merupakan antara minuman yang dapat membantu mengurangkan berat badan dan membakar lemak dengan berkesan. Mudah didapati dari pasaraya, amalkan untuk menikmatinya seharian. Pastikan ia tidak dicampur dengan gula!
Gambar hiasan: Pexels
Letakkan uncang ke dalam cawan, tuangkan air panas dan ulang pengambilannya. Jika suka anda boleh masukkan serai dan halia. Ia dapat membantu mengurangkan angin dalam tubuh dan perut juga boleh kempis dan kurang kembung.

Senaman

Bersenam merupakan satu cara yang baik untuk menurunkan berat badan. Sekiranya anda malu atau tidak mempunyai masa untuk keluar bersenam dengan melakukan aktiviti luar seperti berlari-lari anak, berbasikal dan sebagainya.

Selain di luar, anda juga boleh lakukan senaman di dalam keselesaan rumah asalkan keluar peluh.
Antaranya senaman sit-up. Bagi yang masih malah atau tidak minat untuk bersenam, cuba rajinkan diri seberapa kerap yang boleh untuk melakukan kerja rumah seperti mencuci tandas, mengemas dan sebagainya.

Sedikit sebanyak tubuh akan dapat keluarkan peluh dan mungkin dapat membantu mengurangkan beberapa kilo berat badan jika anda kerap melakukannya sebelum empat hingga enam bulan sebelum hari persandingan.
Gambar hiasan: Pexels
Tidur 8 jam

Penting untuk dapatkan tidur yang cukup. Walaupun banyak benda yang perlu dibuat atau diselesaikan, pastikan untuk dapat waktu tidur yang mencukupi anggaran lapan jam setiap hari. Ini akan mempengaruhi proses penurunan berat badan dan dapat mencantikkan kulit supaya kelihatan segar dan berseri.
Gambar hiasan: Pexels
Jalan 30 minit sehari

Cuba sedaya upaya untuk mengamalkan aktiviti berjalan kaki selama 30 minit setiap hari. Mudah tidak perlu angkat berat, anda mungkin boleh berjalan dari rumah ke stesen MRT untuk ke pejabat atau lakukan rutin berjalan kaki di taman berhampiran setiap hari.

Luangkan 30 minit untuk berjalan dan cuba capai 10,000 langkah setiap hari. Hasilnya tubuh lebih ringan, langsing dan ia juga baik untuk kesihatan jantung. Aktiviti mudah ini juga dapat membantu mengurangkan lemak di bahagian perut. Bila anda berjaya turunkan berat badan, perut juga akan semakin kempis dan pasti lebih cantik bila anda mengenakan gaun atau baju pengantin nanti.

Elak makan luar

Semasa dalam usaha untuk menurunkan berat badan atau kembali langsing, penting untuk menjaga sukatan makanan. Pastikan kuantiti yang kecil dan tidak berlebihan. Jika anda makan diluar, ianya pasti sukar untuk mengawal jumlahnya.

Gara-gara tidak mahu membazir makanan dan wang, anda pasti akan paksa diri untuk habishkan makanan apabila menjamu selera di luar. Maka, hancurlah harapan untuk berdiet. Oleh itu, lebih baik makan sahaja di rumah agar anda dapat kawal kuantiti makanan dalam pinggan.
Gambar hiasan: Unsplash
Selain itu, penting juga untuk elak makan selepas jam lapan malam. Antara cara untuk turunkan berat badan, anda perlu henti makan antara tiga hingga empat jam sebelum masuk waktu tidur. Usah tidur dalam keadaan perut penuh. Jika makan terlalu lewat, ia akan menggalakkan penyimpanan lemak dalam tubuh dan impian untuk tampil langsing akan terbantut!

Apa juga rejim yang ingin dilakukan, pastikan ia dilakukan secara konsisten dan yang penting jaga diet seharian. Tiada jalan mudah atau singkat untuk dapatkan berat badan yang ideal. Tapi, kalau ada usaha, ada jalannya. Dan, hasilnya pasti dapat dilihat pada hari bahagia anda nanti!
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan