Skip to main content

Gaya Hidup

KyoChon 1991 M'sia rangkaian ayam goreng Korea pertama disahkan halal oleh JAKIM

Anggaran Waktu Membaca:
KyoChon 1991 M'sia rangkaian ayam goreng Korea pertama disahkan halal oleh JAKIM

(Gambar: KyoChon Malaysia/Facebook)

KUALA LUMPUR: KyoChon 1991 Malaysia menjadi rangkaian ayam goreng Korea antarabangsa pertama yang mendapat pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Pegawai Eksekutif KyoChon 1991 Malaysia Terry Goh berkata dengan pengiktirafan itu bermakna 15 restorannya kini disahkan halal oleh JAKIM iaitu 10 cawangan di Selangor, masing-masing dua di Johor dan Pulau Pinang serta satu di Negeri Sembilan.

Cawangan terlibat adalah di 1 Utama Shopping Centre, Sunway Pyramid, Setia City Mall, IPC Shopping Centre, IOI Mall Puchong, Central i-City, Bangi Seksyen 9, Bandar Botanik Klang, Prima Sri Gombak, Cheras Traders Square, Johor Bahru City Square dan The Mall Mid Valley Southkey, AEON Mall Nilai, Arena Curve Pulau Pinang dan Sentral Jaya Pulau Pinang.

Encik Goh berkata memandangkan kepentingan memiliki pensijilan halal, semua restoran mereka sudahpun menjalani proses pengauditan oleh JAKIM dan KyoChon 1991 Malaysia akan mengumumkan lebih banyak restoran yang disahkan halal tidak lama lagi.

Tambah beliau, pensijilan rasmi daripada JAKIM akan memberi jaminan kepada pelanggan rangkaian itu bahawa piawaian halal sentiasa menjadi keutamaan dan telah diamalkan dalam penyediaan sajiannya. 

“Pensijilan halal JAKIM merupakan matlamat penting untuk KyoChon 1991 sejak jenama ini dilancarkan di Malaysia pada Disember 2013. Kami amat bertuah kerana francaisor memberi sokongan penuh dan melabur untuk kilang automatik bernilai jutaan dolar bagi penghasilan sos dan perapan KyoChon 1991. 

“Ini bermakna pelanggan KyoChon 1991 di Malaysia boleh menikmati rasa dan kualiti bahan yang sama seperti apabila menjamu selera di KyoChon 1991 di Korea kerana semua sos dan perapan berasal dari kilang halal yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat (12 Mei). 

KyoChon 1991, menurut Encik Goh, amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan mereka membolehkan jenama itu berkembang kepada 35 cawangan di seluruh negara.

“Sebagai perintis rangkaian ayam goreng Korea di Malaysia, kami bersyukur kerana rakyat Malaysia telah menjadikan kami sebagai pengendali KyoChon 1991 yang paling berjaya di luar Korea. 

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pelanggan bahawa kami sentiasa mematuhi piawaian makanan dan keselamatan tertinggi dan amat gembira kerana telah secara rasmi disahkan halal oleh JAKIM sebagai jenama yang boleh anda percayai,” katanya. 

Untuk meraikan kejayaan itu, Encik Goh berkata KyoChon 1991 Malaysia menawarkan potongan 15 peratus bagi pengunjung yang menikmati sajian di cawangan, membungkus makanan dan melakukan pesanan melalui web dari 12 Mei hingga 13 Jun 2023, tanpa perlu membuat perbelanjaan minimum.

Sijil halal itu disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Mohd Fakarudin Mas'od.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita