Skip to main content

Gaya Hidup

Kurangkan minyak, tambah khasiat pemakanan

Pemakanan sihat seringkali terabai dalam era kehidupan moden yang serba pantas, dengan ramai di antara kita mempunyai gaya hidup yang sibuk.

Anggaran Waktu Membaca:
Kurangkan minyak, tambah khasiat pemakanan

Pemakanan sihat seringkali terabai dalam era kehidupan moden yang serba pantas. (Gambar: Pixabay/Peggy_Marco)

Diterbitkan : 12 Aug 2025 12:41AM
MALAYSIA: Pemakanan sihat seringkali terabai dalam era kehidupan moden yang serba pantas, dengan ramai di antara kita mempunyai gaya hidup yang sibuk.

Oleh itu, kecenderungan memilih makanan segera atau bergoreng adalah satu tabiat yang menjadi kebiasaan kerana makanan sedemikian mudah dan cepat untuk disediakan.

Ini lebih-lebih lagi dengan banyak hidangan moden yang tular dengan pelbagai inovasi makanan, yang mengandungi jumlah kolestrol dan minyak yang tinggi.

Bagaimanapun, pengambilan makanan dengan kandungan minyak yang tinggi dalam jangka masa panjang boleh menjejas kesihatan, termasuk meningkatkan risiko mengalami penyakit jantung, obesiti dan tekanan darah tinggi, lapor BH Online.

Justeru itu, amalan memasak dengan mengurangkan minyak sambil mengekalkan rasa dan khasiat adalah langkah penting dalam membentuk gaya hidup lebih sihat.

Makanan sihat tidak semestinya membosankan atau kurang enak. Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan penggunaan minyak ialah dengan mengubah kaedah memasak.

Contohnya, teknik memasak seperti memanggang, mengukus, merebus atau menggunakan ketuhar udara adalah alternatif yang jauh lebih sihat berbanding menggoreng dengan menggunakan minyak yang banyak.

Kaedah-kaedah tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan kandungan lemak dalam makanan, malah mengekalkan lebih banyak zat penting untuk tubuh, lapor BH Online.

Selain itu, pemilihan bahan mentah yang segar dan berkualiti juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan masakan yang sihat.

Sayur-sayuran segar, ikan, ayam tanpa kulit, serta kekacang boleh dijadikan pilihan utama.

Penggunaan herba dan rempah ratus seperti halia, kunyit, lada hitam, bawang putih dan daun limau purut dalam masakan dapat menggantikan penggunaan perasa tambahan atau garam berlebihan.

Pilihan sedemikian sekali gus dapat meningkatkan rasa hidangan tanpa menjejas kesihatan.

Peralatan memasak yang sesuai turut membantu dalam mengawal penggunaan minyak, menurut BH Online.

Contohnya, kuali tidak melekat (non-stick) membolehkan makanan dimasak dengan menggunakan sedikit minyak atau tidak perlukan minyak.

Ini sangat berguna terutama sekali bagi mereka yang ingin menyiapkan hidangan dengan cepat tanpa menjejaskan kesihatan.

Mengawal saiz hidangan dan perancangan menu juga dapat menyumbang kepada amalan pemakanan sihat.

Merancang hidangan harian dengan seimbang yang mengandungi karbohidrat kompleks, protein tanpa lemak, dan serat membantu mengelakkan pengambilan makanan bergoreng secara berlebihan, lapor BH Online.

Dengan cara berkenaan, seseorang itu bukan sahaja dapat menikmati pelbagai jenis makanan, tetapi juga mengekalkan berat badan yang sihat dan meningkatkan tenaga harian.

Apa pun, amalan memasak yang sihat bermula di rumah. Dengan mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan dan menambah nilai khasiat melalui teknik dan pemilihan bahan yang lebih baik, kita bukan sahaja dapat menjaga kesihatan diri dan seisi keluarga, malah menjadikan pemakanan harian lebih seimbang dan bermanfaat.

Pepatah ada menyebut, 'mencegah lebih baik daripada mengubati'. Maka, langkah kecil di dapur hari ini boleh membawa perubahan besar kepada kesihatan kita pada masa hadapan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita