Skip to main content

Gaya Hidup

Kumpulan warga emas di Malaysia ini ligat hidupkan seni anyaman tikar kercut

Tikar kercut yang dihasilkan oleh sekumpulan warga emas dari Kampung Kubang Keladi di Kelantan, masih mendapat permintaan, sekali gus dapat menambah pendapatan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
BACHOK: Tikar kercut yang dihasilkan oleh sekumpulan warga emas dari Kampung Kubang Keladi di Kelantan, masih mendapat permintaan, sekali gus dapat menambah pendapatan mereka.

Produk yang dihasilkan daripada pokok kercut itu memerlukan proses yang rumit dan mengambil masa selama beberapa hari untuk disiapkan.

Pembuat tikar kercut, Ramlah Harun, 66, berkata bagi menghasilkan sebidang tikar kercut, seseorang itu perlu mempunyai kesabaran yang tinggi kerana ia satu pekerjaan yang mengambil masa, seperti dinukil laporan Berita Harian Malaysia.

Menurutnya, sebelum menghasilkan tikar, beliau dan rakan akan mengambil pokok kercut di sekitar paya di kampung ituterlebih dahulu.

"Pokok kercut yang sudah dipotong itu akan diikat dan disalut dengan tanah liat bagi membuang warna hijau aslinya sebelum dijemur.

"Menjemur pokok kercut mengambil masa antara dua hingga tiga hari sekiranya cuaca baik bagi membolehkan ia kering dengan sebaiknya sebelum ditumbuk bagi meleperkan serat," katanya, yang sudah berpengalaman membuat tikar itu sejak lebih 50 tahun lalu, seperti dinukil BH Online.

Menurutnya, sebaik sahaja diwarnakan, pokok itu akan ditumbuk sekali lagi supaya lebih nipis bagi memudahkan proses anyaman dan kesemua proses itu memerlukan kesungguhan bagi menghasilkan anyaman berkualiti.

Jelasnya, untuk menyiapkan anyaman sebidang tikar kercut biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari dan ia bergantung kepada saiz yang ditempah pelanggan.

"Saya akan memproses tikar ini bersama tiga lagi rakan dan kami akan berbahagi tugas kerana masing-masing mempunyai kepakaran serta kreativiti tersendiri dalam menghasilkan tikar kercut.

"Alhamdulillah, tikar kercut ini masih mempunyai permintaan bagi mereka yang mahu membuat dekorasi rumah," katanya yang berharap golongan muda berminat untuk meneruskan pembuatan tikar kercut.

Sementara itu, Ketua Komuniti Kraf Bachok, Fazliyaton Daud berkata beliau mengambil inisiatif memasarkan tikar kercut yang dihasilkan bagi membantu meningkatkan pendapatan Ramlah dan rakan-rakan, seperti dinukil BH Online.

Menurutnya, kesemua tukang anyam adalah warga emas dan pergerakan mereka agak terhad terutama dalam memasarkan produk yang dihasilkan itu.
Sumber : Sumber Web/BH Online/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita