Kuiz 'kuih' ini ajak orang ramai kongsi maklum balas tentang visi Jalur Budaya Geylang Serai
Jika anda diibaratkan seperti sejenis kuih tradisional Melayu, kuih manakah yang menjadi pilihan anda?
SINGAPURA: Jika anda diibaratkan seperti sejenis kuih tradisional Melayu, kuih manakah yang menjadi pilihan anda? Kuiz 'kuih' oleh Wisma Geylang Serai ini bukan setakat mendedahkan personaliti kuih anda.
Malah, ia juga menyediakan ruang untuk orang ramai memberi maklum balas mengenai Jalur Budaya Geylang Serai yang bakal dibangunkan pada masa hadapan.
Kuiz 'kuih' ini dijalankan sehingga 31 Disember ini menerusi laman http://bitly.com/guessyourkuih.
Usaha itu, yang dilaksanakan sejajar dengan gerakan 'Singapore Together', bertujuan untuk mengumpul idea-idea serta aspirasi masyarakat bagi terus melestari, memartabatkan dan merancakkan lagi kawasan Geylang Serai.
Apakah pengalaman Geylang Serai yang anda inginkan? Apakah ciri-ciri unik budaya dan warisan Melayu? Itulah antara soalan-soalan yang diajukan dalam kuiz berkenaan.
Geylang Serai dikenali sebagai nadi masyarakat Melayu dan ia diharap dapat menjadi sebuah pusat inklusif agar budaya Melayu dapat dikongsi dengan masyarakat lain di Singapura.
Visi Jalur Budaya Geylang Serai pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada tahun lalu.
Menteri Negara Kanan Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Berpandu yang bertanggungjawab ke atas projek jalur budaya itu, berganding bahu dengan para wakil dan pelbagai agensi untuk merealisasikan visi tersebut.
CIRI KHAS MELAYU/ISLAM AKAN DIKEKALKAN
Baru-baru ini, sesi maklum balas kedua dijalankan bagi mengajak orang ramai memilih ciri-ciri yang ingin dilihat di Geylang Serai pada masa hadapan.
BERITAmediacorp sempat bertemu dengan sebilangan pengunjung, dengan majoriti daripada mereka melahirkan harapan agar ciri-ciri istimewa masyarakat Melayu/Islam dapat dikekalkan.
Sesetengah penduduk yang ditemui juga mengutarakan idea menarik seperti mendirikan sebuah bangunan khas yang menghidupkan budaya dan adat resam masyarakat Melayu yang sudah pupus.
Para peruncit serta penjaja daripada pelbagai kaum di kawasan Geylang Serai turut diberikan peluang untuk mengongsi visi mereka.
Dr Maliki sebelum ini ada mengatakan bahawa jawatankuasannya akan menilai semua maklum balas yang diterima.
Sesetengah maklum balas pula sudah dalam perancangan untuk dilaksanakan seawal tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.