Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kucing peliharaan juga boleh dimasukkan dalam wasiat. Ini caranya...

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dewasa ini, haiwan peliharaan dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Banyak kucing misalnya, kini dapat tempat tidur sendiri, mainan dan bahkan dihantar ke 'spa'.

Namun pernah tidak terdetik dalam fikiran anda tentang nasib haiwan itu sekiranya anda 'pergi' dahulu?

Sebuah syarikat, Infinity Financial Advisory, baru-baru ini menjalankan satu kempen untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya mengetepikan sebahagian harta khusus buat haiwan peliharaan.

Berikut ini antara tips yang dikongsi Pengarah Kanan Kumpulan Khidmat Kewangan syarikat itu, Encik Dylan Ng:

SERTAKAN HAIWAN PELIHARAAN DALAM WASIAT

Satu cara untuk memastikan kebajikan haiwan peliharaan anda terjamin adalah dengan menyertakannya dalam perancangan pengurusan harta anda - sama seperti apabila anda memperuntukkan jumlah tertentu buat anak dan sebagainya.

Namun ada satu isu di sini, iaitu haiwan peliharaan tidak boleh diklasifikasikan sebagai seorang penerima lalu secara langsung mewarisi barang-barang yang kita miliki.
(Gambar: Kasya Shahovskaya/Unsplash)
"Misalnya, saya tidak boleh mewasiatkan wang kepada haiwan peliharaan saya atas namanya," kata Encik Ng.

"Namun, saya boleh menamakan seorang penjaga sebagai penerima dalam wasiat saya, dengan syarat dia bersetuju menjaga haiwan saya. Ini secara tidak langsung menjadikan haiwan kita 'penerima' (dalam wasiat)," jelas beliau.

Encik Ng bagaimanapun menarik perhatian bahawa langkah mengamanahkan wang dan tanggungjawab itu kepada seseorang, tidak mencukupi.

Anda perlu memastikan penjaga yang dipilih hanya akan mendapat akses kepada wang anda selepas bersetuju untuk melaksanakan kewajipan itu.

Menyiapkan wasiat juga, jelas Encik Ng lagi, tidak bermakna semuanya akan berjalan sebagaimana yang anda inginkan.

Sebaik sahaja aset-aset anda dibahagi-bahagikan, tugas pihak yang dilantik untuk menunaikan wasiat berakhir di situ.

Individu berkenaan tidak lagi dituntut undang-undang untuk memastikan segala kehendak anda dapat dipenuhi.
(Gambar: Nobiur Rahman/Unsplash)
Di sinilah, apa yang dipanggil sebagai 'pet trust' atau satu dana amanah untuk haiwan peliharaan, memainkan peranan.

MEMBANGUNKAN DANA AMANAH HAIWAN PELIHARAAN

"Membuka dana amanah, terutama sekali dengan sebuah syarikat pemegang amanah dilantik, akan memastikan seseorang itu dituntut undang-undang untuk mengotakan keinginan anda. Pada sisi lain, wasiat sahaja adalah berdasarkan kepercayaan anda (yang bergantung kepada hubungan anda dengan penjaga yang dilantik)," terang Encik Ng.

Lantaran itu, dana amanah buat haiwan peliharaan akan memastikan penjaga yang anda pilih tidak akan menyeleweng wang yang diterima. Undang-undang mensyaratkan mereka untuk membelanjakan wang itu hanya untuk keperluan haiwan peliharaan anda.

Langkah sebegini bagaimanapun akan memerlukan wang kerana anda perlu melantik seorang pemegang amanah atau syarikat pemegang amanah.

Seberapa tinggi kos untuk menguruskan harta anda bagi perkara seperti ini? Menurut Encik Ng, jumlahnya berbeza bagi setiap kes.

Harganya biasanya antara beberapa ratus dolar tetapi ia boleh mencecah sehingga beribu-ribu dolar sekiranya anda mempunyai wasiat yang melibatkan pemegang amanah tambahan.
(Gambar: Piotr Musioł/Unsplash)
Jika anda tidak pasti, anda boleh mendapatkan khidmat seorang perunding kewangan atau pengurus wasiat.

Berapa pula jumlah yang anda perlu ketepikan untuk kucing kesayangan? Ini formula Encik Ng:

Buat pengiraan kos yang dibelanjakan setiap tahun bagi haiwan peliharaan anda dan gandakan jumlah itu dengan purata jangka hayat haiwan peliharaan anda.

Jadi misalnya anda membelanjakan S$4,000 setahun buat kucing anda dan ia dijangka hidup lagi lima tahun, anda boleh mengetepikan kira-kira S$20,000 buatnya.

Namun, jangan lupa untuk mengetepikan wang untuk kos perubatannya kerana haiwan peliharaan juga dijangka memerlukan lebih banyak khidmat perubatan sedang ia meningkat usia.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan