Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kucing paling kacak dan segak Singapura lengkap berbaju Melayu pada Hari Raya

Kucing bernama Ash boleh ‘mendabik’ dada sebagai satu-satunya kucing yang mempunyai sepersalinan baju Hari Raya yang lengkap - iaitu sepasang baju dan seluar Melayu, songkok, dan kain samping songket.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ini mungkin kucing paling kacak dan ‘hip’ di Singapura pada musim Hari Raya ini.

Kucing bernama Ash ini, boleh ‘mendabik’ dada sebagai satu-satunya kucing yang mempunyai sepersalinan baju Hari Raya yang lengkap - iaitu sepasang baju dan seluar Melayu, songkok, dan kain samping songket.

Lebih tepat lagi, gabungan kain dan songket berwarna kelabu, emas dan hitam.

Pastinya, kucing yang lengkap dengan baju Raya itu tidak pernah gagal untuk membuatkan setiap orang yang memandangnya, mengukir sekuntum senyuman. Sekali pandang, anda tahu bahawa ini memang ‘baju Melayu’.

(Gambar ihsan Cik Samsiah Suliman) 
(Gambar ihsan Cik Samsiah Suliman) 

Kucing dari jenis Russian Blue berusia 2 tahun itu sebenarnya milik Cik Samsiah Suliman, seorang usahawan yang terkenal dengan perniagaan satay, iaitu Jumain Sataysfaction.

BERITAMediaCorp diberitahu, baju Raya untuk kucing yang jinak itu siap dua hari sebelum Hari Raya.

Cik Samsiah berkata, baju Melayu itu dijahit oleh ibunya, Cik Siti Zaleha Abdullah, setelah dipujuk oleh beliau dan anak-anaknya.

(Gambar ihsan Cik Samsiah Suliman) 

YAZID PAKAI LAMPIN, KUCING PAKAI BAJU

Semasa dicungkil oleh BERITAMediaCorp untuk memberikan lebih banyak cerita mengenai kerelaan kucingnya itu dipakaikan baju, Cik Samsiah berkata Ash sebelum ini memang pernah disarungkan dengan baju lain.

Ini termasuklah baju berbentuk Tuxedo, baju Spider-Man dan sebagainya. Jadi Ash sudah ada pengalaman memakai baju dan tidak terperanjat.

Bagaimanapun semasa mahu dipakaikan seluar baju Melayu ini, Ash kerap memijak-mijak seluar tersebut sebelum akhirnya memakainya.

Walau apa pun, jika mengikut satu siri drama dahulu bahawa Yazid Pakai Lampin, ini pula kes Kucing Pakai Baju.

(Gambar ihsan Cik Samsiah Suliman) 

Sebenarnya, ini merupakan kali pertama, keluarga Cik Samsiah cuba untuk memakaikan baju Melayu bagi kucing kesayangan keluarganya itu.

Beliau menambah, “Memandangkan sekarang kami dah kira ada pengalaman sikit, kami boleh buatkan lebih banyak lagi baju Melayu untuk Ash tahun depan.”

Semasa BERITAMediaCorp bertanyakan kepada Cik Samsiah, apakah reaksi para tetamu yang berkunjung ke rumah peniaga mapan itu setelah melihat kucingnya?

Ramai yang kehairanan dan menyatakan, “So cuuute!”. Balas Cik Samsiah sambil ketawa.

Malah kini, ekoran kejayaan Ash menjadi model baju Melayu versi kucing, ramai tetamu sudahpun bertanya kepada Cik Samsiah, sama ada ‘nenek’ Ash, iaitu Cik Siti Zaleha, boleh turut menjahitkan baju kurung atau baju Melayu untuk kucing-kucing mereka bagi Hari Raya tahun depan.

Mungkin, tahun hadapan, akan muncul satu jenama fesyen baru yang dipanggil ‘Baju Kurung Ash’!

(Gambar ihsan Cik Samsiah Suliman) 
(Gambar ihsan Cik Samsiah Suliman) 
Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan