Kucing anda juga boleh 'stres' kalau asyik dibelai semasa 'circuit breaker'
Dengan ramai orang duduk di rumah di tengah-tengah tempoh 'circuit breaker' bagi membendung penularan COVID-19, kehadiran seekor haiwan peliharaan sebagai teman pasti menceriakan suasana.
(Gambar: Pexel/Pixabay)
SINGAPURA: Dengan ramai orang duduk di rumah di tengah-tengah tempoh 'circuit breaker' bagi membendung penularan COVID-19, kehadiran seekor haiwan peliharaan sebagai teman pasti menceriakan suasana.
Hakikatnya, minat terhadap haiwan peliharaan memang kian meningkat - Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya menyaksikan "peningkatan 10 kali ganda" pada jumlah permohonan untuk mengambil dan memelihara haiwan peliharaan sedang ramai orang mencari haiwan peliharaan untuk dijadikan teman.
Namun bukan manusia saja yang meraih manfaat apabila memelihara haiwan, kehadiran kita juga boleh memanfaatkan haiwan tersebut.
"Kami dapat membayangkan mungkin banyak haiwan peliharaan gembira kerana pemiliknya dapat meluangkan lebih banyak masa ketika ini," kata Dr Jaipal Singh Gill, pengarah eksekutif SPCA.
Namun, tidak semua haiwan peliharaan memerlukan kehadiran kita di rumah sepanjang masa dengan cara yang sama.
JANGAN DIJADIKAN BAHAN MEDIA SOSIAL SAJA
Sebilangan kucing memang sudah biasa dibiarkan sepanjang hari.
"Sebilangan kucing mungkin tidak begitu gembira dengan kehadiran pemiliknya sepanjang masa kerana haiwan tersebut sudah biasa dibiarkan begitu saja sepanjang hari," nasihat Dr Camellia Leong, seorang doktor haiwan dari Vetpal.
"Ia bergantung kepada perangai kucing dan hubungan antara kucing dengan pemilik atau ahli keluarga."
Dr Leong turut mengimbas kembali ketika mendengarkan webinar (seminar web) oleh pakar kucing yang berkata bahawa beliau melihat lebih banyak kucing dibawa ke kliniknya untuk keadaan yang biasanya dikaitkan dengan keadaan stres seperti masalah kencing.
Sesetengah pemilik juga agak keterlaluan apabila menjadikan haiwan peliharaan sebagai sumber keceriaan mereka. "Ada kes di media sosial di mana haiwan peliharaan diletakkan dalam situasi tertekan untuk tujuan hiburan manusia," kata Dr Gill. "Kami berharap tindakan seperti itu tidak berterusan."
Maka itu, apakah yang harus dilakukan oleh pemilik haiwan peliharaan untuk memastikan hubungannya dengan haiwan saling membawa faedah?
BELAJAR CARA PELIHARA HAIWAN
Dari sudut praktikal, Dr Gill menyarankan agar pemilik meluangkan masa untuk mempelajari lebih lanjut mengenai kaedah latihan positif dan penjagaan haiwan kesayangan, seperti penjagaan dan pembersihan gigi. Terdapat juga video online mengenai cara-cara membuat mainan dan aksesori untuk haiwan kesayangan.
Dr Leong menambah bahawa pemilik juga harus berhati-hati tentang aspek-aspek tertentu dalam tingkah laku haiwan peliharaan mereka.
"Sekarang adalah masa yang terbaik untuk memperhatikan tanda-tanda awal masalah, seperti selera makan haiwan itu, penurunan berat badan, perubahan pada cara minum atau kencing haiwan itu," katanya. "Jika anda ada melihat tingkah laku yang tidak normal, adakah ia berlaku sekali sahaja atau secara berterusan."
KUCING MUNGKIN PERLUKAN RUANG
Ada baiknya memberikan ruang kepada kucing peliharaan anda, nasihat Dr Leong.
Pastikan haiwan itu mempunyai kawasan yang tenang untuknya berehat daripada diganggu sepanjang hari.
Beliau menjelaskan: "Perlu diingat bahawa rumah yang biasanya kosong dan sunyi tiba-tiba dipenuhi ramai orang (akibat 'circuit breaker'), bunyi dan pergerakan, dan ini boleh memberi tekanan kepada kucing. Jadi pastikan haiwan itu mempunyai ruang yang tenang di mana ia boleh bersembunyi daripada terus-menerus dijadikan perhatian dan dipeluk sepanjang hari. "
Beliau juga menambah bahawa dengan adanya laporan yang mendakwa bahawa COVID-19 boleh berjangkit dari manusia ke haiwan adalah penting bagi setiap orang di dalam rumah untuk mengamalkan kebersihan yang baik ketika menguruskan haiwan kesayangan mereka, terutama jika pernah keluar untuk bersenam atau membeli keperluan asas.
"Basuh tangan anda sebelum dan sesudah memegangnya, hindarkan terlalu banyak pelukan atau membiarkan haiwan itu menjilat atau mencium wajah anda, terutama jika anda sendiri tidak sihat," katanya.
JANGAN BIARKAN KUCING BERKELIARAN
"Pastikan kucing peliharaan sentiasa dijaga di dalam rumah, ini kerana jika haiwan itu bebas berkeliaran, ada kemungkinan ia dijangkiti jika melakukan kontak kerap dengan seseorang yang dijangkiti di luar," tambahnya.
Dr Leong juga mengatakan bahawa pemilik haiwan peliharaan perlu memantau bekalan makanan haiwan kesayangan mereka dan memastikan ia mempunyai bekalan makanan yang mencukupi, terutama jika haiwan kesayangan itu mempunyai pilihan tertentu.
Dalam pada itu, SPCA juga akan memuat naik bimbingan dan panduan untuk haiwan peliharaan di platform media sosialnya.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.