Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kucing anda hilang? Usah bimbang, cuba tip ini untuk cari kucing kesayangan anda

Para pencinta haiwan, khususnya pemilik haiwan peliharaan kucing pasti pernah berdepan situasi mencemaskan apabila haiwan kesayangan mereka hilang atau lari dari rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kucing anda hilang? Usah bimbang, cuba tip ini untuk cari kucing kesayangan anda

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 12 Feb 2022 10:20PM Dikemas Kini : 12 Feb 2022 10:20PM

KUALA LUMPUR: Para pencinta haiwan, khususnya pemilik haiwan peliharaan kucing pasti pernah berdepan situasi mencemaskan apabila haiwan kesayangan mereka hilang atau lari dari rumah.

Ada sesetengah kes kucing hilang berlaku apabila kucing itu sesat ketika keluar dari rumah.

Ada juga yang 'hilang' kerana diperangkap oleh individu lain yang berminat untuk menjaganya sebagai haiwan peliharaan tanpa izin tuannya, menukil laporan Astro AWANI.

Namun, ia juga merupakan naluri biasa seekor kucing yang tidak selesa duduk di rumah dan sering memberontak untuk keluar.

Antara sebab-sebab adalah kerana ia ingin mencari kucing betina yang lain, berasa tertekan, menghadapi persaingan atau kerana ia sakit.

Malangnya, tidak semua kucing peliharaan yang pandai menjaga diri apabila berada di luar sana, tidak seperti kucing-kucing terbiar.

Bagi para pemilik haiwan peliharaan kucing yang pernah hilang kucing kesayangan, berikut adalah beberapa tip untuk 'memanggil' semula kucing kesayangan anda untuk pulang ke rumah:

1. SEGERA MENCARI

Sebaik sahaja anda menyedari bahawa kucing anda hilang dari rumah, segera lakukan pencarian di kawasan sekitar.

Kemungkinan besar kucing peliharaan anda masih berada di sekitar kawasan itu.

2. BAWA MAKANAN KEGEMARANNYA

Tidak kira waktu siang atau malam, cuba bawa makanan kegemaran kucing itu untuk menarik perhatiannya dan keluar daripada tempat persembunyiannya, seperti dinukil Astro AWANI.

Satu alternatif, anda juga boleh bawa mainan kegemarannya supaya dapat menghilangkan rasa takutnya.

3. PANGGIL DENGAN SUARA LEMBUT

Seperti mana anda memujuk kekasih hati, begitu juga cara yang terbaik untuk bertutur dengan kucing peliharaan anda yang mungkin sedang merajuk.

Kucing yang sesat biasanya akan berasa ketakutan dan mungkin tidak mahu meninggalkan tempat persembunyian walaupun jika anda sedang memanggilnya.

Jadi sebaiknya, anda boleh cuba memanggil kucing kesayangan anda dengan nada suara yang lembut supaya ia kurang berasa takut.

4. PASANG TELINGA

Sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling ketika mencari kucing peliharaan anda.

Kemungkinan anda akan mendengar bunyi kucing yang sedang dalam kelaparan, ketakutan atau cedera, seperti dinukil Astro AWANI.

Namun, pastikan anda tidak bergerak terlalu pantas. Ini kerana kucing anda mungkin tidak sempat mendengar panggilan atau mencium bau tuannya.

5. MINTA BANTUAN JIRAN TETANGGA

Berhubungan dengan jiran tetangga atau kenalan baik untuk menguar-uarkan pencarian kucing peliharaan anda juga akan membantu.

Ini supaya kawasan pencarian dapat diperluas dan lebih banyak pihak dapat membantu anda untuk mencari kucing itu.

6. CARI KUCING ANDA DI TEMPAT PERLINDUNGAN HAIWAN

Jika selepas tempoh beberapa hari anda gagal menemui kucing peliharaan anda, cuba kunjungi tempat perlindungan haiwan yang terletak berhampiran dengan rumah anda.

Kemungkinan kucing anda dianggap sebagai kucing liar dan ditangkap lalu dijaga di tempat perlindungan haiwan.

7. CUBA CARA ORANG JEPUN

Menurut rakyat Jepun, cara berkesan untuk memujuk kucing anda supaya pulang ke rumah adalah dengan berbicara dengan kucing-kucing di sekitar rumah anda.

Katakan kepada kucing-kucing yang lain: "Sekiranya bertemu dengan kucing saya, tolong beritahu dia suruh pulang."

Ternyata, ramai yang mencuba cara ini berkata bahawa ia berhasil!

Sumber : Agensi berita/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa