Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kuali tidak melekat mudahkan memasak; namun bolehkah ia menjadi toksik?

Anggaran Waktu Membaca:
Kuali tidak melekat mudahkan memasak; namun bolehkah ia menjadi toksik?
Diterbitkan : 24 Jun 2023 11:47PM Dikemas Kini : 24 Jun 2023 11:48PM
SINGAPURA: Periuk atau kuali yang bersifat tidak melekat (non-stick) sememangnya menjadi pilihan kerana memudahkan kerja-kerja memasak. Namun, penggunaannya terus hebat dibahaskan tentang sejauh mana ia alat memasak yang selamat?

Bahan kimia buatan manusia diperlukan untuk membuat salutan tidak melekat pada kuali.

Bahan kimia itu tidak mudah hancur dalam tubuh manusia dan mengambil masa yang lama ,jika pun ia berlaku untuk hancur dalam sekitaran.

Satu kajian terhadap lebih 1,000 wanita Singapura kini mendapati bahan kimia itu juga boleh mengurangkan kesuburan.

Wanita yang mempunyai tahap tinggi kandungan kimia itu dalam aliran darah mereka didapati 40 peratus kurang berkemungkinan mengandung dalam tempoh setahun dan 34 peratus kurang berkemungkinan melahirkan bayi hidup dalam setahun.

Para penyelidik menetapkan tahap bahan kimia yang lebih tinggi sebagai dua hingga tiga nanogram bagi setiap mililiter darah. Nanogram ialah satu bilion gram, dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

"Ia bukan satu tahap yang sangat tinggi," kata saintis di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK, Jerry Chan, yang juga salah seorang penyelidik.

"Ia hanya kira-kira sepersepuluh berbanding, di Amerika Syarikat, Norway atau China, namun kami dapat menentukan kesan negatif terhadap kesuburan."

Nasihatnya kepada wanita yang cuba hamil atau sedang hamil supaya "cuba elak bahan kimia yang mungkin berbahaya" itu.
Saintis di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK, Jerry Chan.
"Salah satu cara untuk mengurangkan risiko adalah mengelakkan ... alat memasak tidak melekat atau pembalut makanan tidak melekat," katanya.

Namun, adakah golongan wanita itu satu-satunya kumpulan yang perlu bimbang tentang kuali tidak melekat?

APA YANG ADA DALAM KUALI TEFLON?

Satu jenis kuali tidak melekat mendominasi pasaran iaitu yang disalut dengan polytetrafluoroethylene (PTFE), atau lebih dikenali sebagai Teflon. Seperti semua produk, bahan kimia lain ditambah semasa proses pembuatannya.

Pada tahun-tahun 2000 hingga 2009, salah satu daripada bahan kimia itu, asid perfluorooctanoit(PFOA), dikaitkan dengan barah dan masalah kesihatan lain.

Menjelang 2015, kebanyakan syarikat utama menghentikan pengeluarannya secara berperingkat.

Kuali tidak melekat kini mungkin disertakan dengan label bebas PFOA.

Bagaimanapun, ia kini digantikan oleh GenX, yang tergolong dalam kumpulan bahan kimia yang sama dan berfungsi seperti PFOA, lantas secara teorinya mempunyai kesan kesihatan yang sama, kata profesor madya kejuruteraan kimia dan biomolekul Universiti Nasional Singapura (NUS), Tong Yen Wah.

Bahan kimia pada alat memasak tidak melekat menimbulkan risiko jika ia meresap ke dalam makanan, kata beliau yang berlaku pada suhu sekitar 250 darjah Celsius.

"Itu tidak akan berlaku dalam masakan biasa, kerana kita biasanya memasak pada suhu antara 150 hingga 200 darjah. Tetapi ia boleh berlaku (dalam) jumlah yang sangat kecil,” katanya.

Penggunaan kuali Teflon yang mempunyai calar juga meningkatkan risiko makanan lebih mudah menyerap bahan kimia.
 
Profesor madya kejuruteraan kimia dan biomolekul Universiti Nasional Singapura (NUS), Tong Yen Wah.
"Di sesetengah negara, 'bahan kimia' ini boleh didapati dalam air minuman," kata saintis farmaseutikal Eric Chan dari jabatan farmasi NUS. "Saya menganggap ini sebagai risiko tertinggi."

Di Singapura, yang telah memasukkan bahan kimia berkenaan dalam rejim ujian dan pemantauan rutin PUB sejak 2016, "sebatian ini tidak dikesan dalam air minuman kami", kata Kementerian Kemampanan dan Sekitaran dalam satu jawapan parlimen pada tahun lalu.

Namun, terdapat sumber pendedahan lain.

Ini termasuk bahan kimia yang mungkin bocor daripada pembungkusan makanan kalis minyak.
Kuali tidak melekat juga menimbulkan risiko, menurut Eric Chan, yang menyuarakan pandangan rakan sekerjanya di NUS sambil menasihatkan pengguna untuk "benar-benar mempertimbangkan membeli yang baru" sebaik sahaja permukaan kuali tercalar atau berkarat.

"Apa yang kami bimbangkan adalah pendedahan kronik. Apabila pendedahan adalah rendah, … namun bahan kimia kekal dalam badan kita untuk jangka masa yang lama, bahan kimia itu kini terkumpul secara beransur-ansur,” katanya.

“Apabila ia mencapai tahap toksik minimum, ia boleh menyebabkan kerosakan pada organ; dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan barah."
ALTERNATIF KEPADA KUALI TEFLON

Cara paling mudah bagi pengguna ialah menumpukan pada dua kategori iaitu pembungkusan makanan kalis minyak dan alat memasak tidak melekat.

Satu pilihan ialah keluli tahan karat. Ia tahan lama, tidak mudah rosak dan agak mudah dijaga. Namun, makanan yang digoreng mungkin masih melekat.

Jenis kuali lain termasuk yang disalut seramik, yang diperbuat daripada silikon, atau pada asasnya pasir, dan bahan bukan organik lain.

Ia dianggap sebagai pilihan alat memasak tidak melekat yang lebih selamat tetapi tidak bertahan lama - paling-paling setahun secara purata atau "mungkin tiga tahun atau lebih" untuk yang baik, kata Encik Yeoh berbanding kuali tidak melekat biasa.

Saduran enamel juga berasal daripada asas yang sama iaitu tanah liat yang mengandungi bahan kimia utama SiO2 atau pasir.

Apa yang membezakannya daripada seramik adalah kekuatan suhu yang digunakan pada tanah liat dalam penghasilan kedua komponen ini di mana enamel bersifat fizikal lebih gelap, manakala seramik pula lebih seperti kaca.

Penambahbaikkan mengikut kesesuaian kemudiannya dibuat dengan mencampurkan bahan kimia lain dalam pembuatan selaput ini menjadikannya berstruktur kimia hibrid.

Periuk granit pula sebenarnya tidak ada langsung bahan daripada granit yang menjadi bahan asas pembuatan alat memasak seperti periuk dan kuali.

Nama 'Graniteware' ini diberikan kerana struktur rupanya adalah seakan -akan batu granite. Tetapi ianya diperbuat daripada besi karbon (carbon steel) yang diselaputi dengan lapisan porcelain enamel.

Periuk jenis itu selamat digunakan dan lebih tahan lasak, cuma ianya lebih berat dan tebal bagi memenuhi konsep pengaliran haba yang baik disamping kalis lekat dan mesra alam.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan