Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Korea Selatan peneraju pembangunan Kecerdasan Buatan sejagat

Bayangkan jika peti sejuk anda berupaya mengesan baki susu dan telur di dalamnya dan langsung dapat membuat tempahan bagi bekalan baru secara online sebelum bekalan sedia ada kehabisan?

Anggaran Waktu Membaca:

SEOUL: Bayangkan jika peti sejuk anda berupaya mengesan baki susu dan telur di dalamnya dan langsung dapat membuat tempahan bagi bekalan baru secara online sebelum bekalan sedia ada kehabisan?

Atau perkakas rumah anda yang rosak boleh ‘memaklumkan’ pusat khidmat pelanggan secara langsung mengenai sebarang kerosakan yang perlu untuk dibaiki?

Semua ini bukan lagi sesuatu yang menjadi impian semata-mata tetapi kenyataan yang sudah berjaya direalisasikan melalui Kecerdasan Buatan (AI).

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Antara negara yang memacu daya inovasi serba canggih ini ialah Korea Selatan. Ekonomi ketiga terbesar di Asia itu baru-baru ini mengumumkan peruntukan 1 trilion won (S$1.162 bilion) untuk menghasilkan cip bijak yang berupaya meniru fungsi otak manusia menjelang 2030.

KOREA SELATAN PENERAJU AI

Menurut Kementerian Sains negara itu, Korea Selatan dijangka akan memimpin dunia dalam bidang AI bagi memacu ekonomi dan mempertingkatkan lagi mutu hidup rakyatnya.

Usaha ini diperkasakan lagi dengan perasmian enam institut pendidikan khas bagi AI di negara itu. 

Dalam laporan Pelan Induk Jangka Pertengahan hingga Panjang pemerintah Korea Selatan, institusi-institusi khas, syarikat-syarikat gergasi negara itu seperti LG dan Samsung turut membantu untuk merealisasikan impian negara tersebut melalui daya innovasi mereka, lebih-lebih lagi dalam sektor keperluan rumah.

BERITAmediacorp melakukan lawatan ke pusat kajian dan pengembangan (R&D) serta bilik pameran LG di Korea Selatan baru-baru ini untuk memahami dengan lebih mendalam lagi tentang hasil inovasi AI syarikat itu.

LG PERINTIS BARANGAN ELEKTRONIK

LG atau yang dahulunya dikenali sebagai Lucky-Goldstar ditubuhkan pada tahun 1947 dan syarikat ini dilihat ramai sebagai perintis kepada banyak barangan elektronik di Korea.

Misalnya, televisyen dan radio pertama di Korea Selatan dicipta oleh syarikat LG. Sehingga ke hari ini, LG terus merintis inovasi elektronik bukan sahaja di Korea Selatan malah juga di seluruh dunia. Dengan pengalamannya yang luas, syarikat LG yakin ia mampu menerajui kajian dan pengembangan (R&D) bagi peranti bijak yang menggunakan Kecerdasan Buatan.

“Saya rasa kami boleh merintis jalan bagi kategori barangan ini kerana banyak syarikat lain yang menghasilkan barangan bijak tidak mempunyai maklumat pengguna yang meluas seperti kami. Kami sudah menghasilkan barangan elektronik sejak tahun 1950-an. Kami tahu bagaimana pengguna gunakan barangan mereka, apa yang mereka mahukan pada barangan mereka. Kini, kami cuma perlu cari cara bagaimana mereka boleh berkomunikasi dengan barangan mereka dengan cara yang berguna dan bermakna,” menurut Pengarah Kanan, Pasukan Komunikasi Global LG Electronics, Ken Hong.

Antara inovasi terkini LG yang memanfaatkan AI ialah peranti untuk menguruskan pakaian yang saling terhubung; dari mencuci, mengeringkan pakaian hingga ke melipat atau menggosok pakaian. Semuanya boleh dilakukan secara automatik dengan hanya mematuhi arahan lisan.

Cara mencuci juga boleh diubah suai memandangkan mesin basuh berupaya mengesan jenis fabrik pakaian yang dimasukkan ke dalam mesin basuh dan dikawal pencuciannya bagi menjimatkan kuasa elektrik dan penggunaan air.

RISIKO AI TERHADAP KESELAMATAN PERIBADI

Namun, sedang pembaharuan menjadi buruan, inovasi baru ini juga mempunyai risikonya yang tersendiri seperti keselamatan maklumat peribadi disebabkan oleh ketersambungannya dengan alam siber.

Perkakas dan keperluan rumah seperti peti ais tidak lagi berfungsi sebagai peranti untuk menyejukkan makanan dan minuman saja tetapi juga sumber maklumat seperti rutin harian pengguna termasuk maklumat pandang dengar yang boleh dikongsi secara online.

Jika maklumat ini tidak dilindungi dengan sewajarnya, ia dengan mudah boleh dicerobohi dan dimanfaatkan oleh para penggodam dan penjenayah siber.

Inilah yang menjadi keprihatinan utama syarikat-syarikat elektronik apabila meneroka bidang kecerdasan buatan kerana ia boleh menjejas kewibawaan dan nama baik jenama mereka.

PENGGUNA BERPERANAN JAGA KESELAMATAN DIRI

Bagi LG, ia sangat memandang serius terhadap isu keselamatan maklumat peribadi. Sungguhpun demikian, para pengguna juga harus bertanggungjawab dan memainkan peranan mereka bagi mencegah kebocoran maklumat ataupun serangan siber.

“Kami ada banyak pengalaman. Kami tahu apa yang pengguna risaukan dan kami perlu memberitahu mereka bahawa mereka juga ada peranan untuk membanterasnya. Mereka perlu mengemas kini sofwe dan memastikan agar mereka tidak menggunakan peranti elektronik mereka dengan cara yang tidak dibenarkan. Pengguna perlu dididik dan dimaklumkan dan ia adalah satu proses yang berterusan,“ kata Encik Hong.

Menerusi lawatan ke Korea Selatan baru-baru ini, satu perkara yang jelas ialah betapa besarnya potensi Kecerdasan Buatan dan bagaimana ia meliputi setiap aspek kehidupan manusia pada masa akan datang.

Dengan kemajuan yang pesat pada teknologi ini, produk-produk AI tidak lagi dihasilkan untuk pasaran eksklusif semata-mata tetapi juga untuk pasaran umum. Apabila negara-negara Asia sendiri yang menerajui daya inovasi AI, ia sedikit sebanyak boleh memberi manfaat kepada penduduk di rantau ini.

Selain kesan positifnya terhadap kemajuan dan pertumbuhan ekonomi, penghasilan dan inovasi AI juga boleh disesuaikan dengan gaya hidup serta budaya Asia.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan