Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Konsep kehidupan kampung diterap dalam seni bina rumah moden

Keindahan dan ketinggian cita rasa sesebuah rumah itu lebih terletak kepada falsafah, konsep dan daya keunikannya berbanding nilai kewangannya sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Keindahan dan ketinggian cita rasa sesebuah rumah itu lebih terletak kepada falsafah, konsep dan daya keunikannya berbanding nilai kewangannya sahaja.

Bagi orang Melayu, bagaimana agaknya dapat digabungkan falsafah hidup berkampung, berpaksikan Islam, dan pada masa yang sama berteraskan kemodenan dan suntikan estetika?

Bayangkan, jika seluruh konsep kehidupan kampung dalam dimasukkan ke dalam sebuah rumah moden.

Itulah ciri cukup istimewa yang dimiliki rumah privet di Ponggol.

Rekaan rumah itu menerapkan nilai-nilai kemasyarakatan dan budaya Melayu tetapi dengan sentuhan moden.

Bahagian depan rumah menyerupai anjung rumah Melayu tradisional - luas dan terbuka, sesuai untuk menyambut tetamu pada bila-bila masa untuk duduk bersembang - seperti di kampung.

Ruang dalamannya juga lebih terbuka dan lapang, dengan dinding pemisahnya minimal.

Rumah milik Cik Norlia Raub dan suaminya itu direka arkitek Khairudin Saharom, pengetua dan pengarah syarikat Kite Studio Architecture.

"Mereka merupakan sebuah keluarga yang sering adakan majlis, adakan solat berjemaah bersama kaum keluarga dan sanak-saudara dan mereka memerlukan ruang yang luas untuk mengadakan majlis. Rumah ini konsepnya amat sekali berlandaskan pada hidup di kampung di mana kita hidup dalam satu masyarakat bergotong-royong, ada kenduri ada majlis dan sebagainya. Solat berjemaah satu kampung," ujar Encik Khairudin.

ORIENTASI RUMAH BERPAKSIKAN ARAH KIBLAT

Satu lagi ketinggian cita rasa dan falsafah rumah itu sebenarnya terletak pada orientasi rumah itu sendiri.

Iaitu tidak seperti rumah lain yang dibina selari dengan alur jalan raya di depan rumah, orientasi rumah berkenaan pula tepat berpaksikan arah kiblat.

"Apabila bangun kita menghadap kiblat apabila kita makan kita mengadap kiblat nak solat senang saja tahu kiblat di mana, kongsi Encik Khairudin lagi.

Ruang tengah rumah itu pula mendapat inspirasi daripada pelantar rumah tradisional Melayu.

Ia begitu luas hingga boleh memuatkan 70 tetamu atau 10 saf solat berjemaah.

Pada malam yang cerah, kerdipan bintang juga dapat dinikmati sepenuhnya.

Arkitek berbakat itu sudah mereka sekitar 30 buah rumah termasuk 'good class bungalow'.

Sebuah hartanah moden di Siglap juga direka dengan sentuhan unik Encik Khairudin.

Tingkat satu rumah itu menempatkan tiga bilik tidur dan setiap bilik mempunyai taman mininya sendiri.

Penggunaan kaca pada muka rumah memberi pencahayaan semula jadi untuk ruang yang luas itu.

BILIK TERAPUNG BERBENTUK GEOMETRI

Satu lagi yang membezakan rumah itu dari rumah-rumah di sekelilingnya adalah struktur yang menempatkan bilik tidur utama.

"Kami reka bentuk "kotak" agar ia kelihatan terapung menggunakan struktur yang sedia ada pada rumah sebelumnya. Kotak ini diserongkan dan kemudian ia menghadap taman di hadapan. Kami dapat terapkan elemen-elemen landskap di mana anda dapat lihat di tepi bilik ada tamannya sendiri," kongsi Encik Khairudin kepada BERITAmediacorp.

Bilik terapung berbentuk geometri itu diselaputi bahan kepingan-kepingan kayu jati yang bukan sahaja menonjol dari segi rupa tetapi tahan lasak.

Besi 'chequered plate' digunakan untuk tangga manakala lantai terazzo yang digunakan diperbuat daripada serpihan marmar, granit dan botol kaca.

Encik Khairudin turut berkongsi bersama BERITA falsafahnya dalam rekaan seni bina bangunan.

"Falsafah saya dalam rekaan adalah untuk mengimbangi kehendak konteks, kehendak kemampanan sekitaran alam dengan kehendak pelanggan dan rekaan saya. Jadi proses itu adalah sesuatu yang menarik buat diri saya. Proses ini adalah sesuatu yang dapat memberikan kesedaran dan juga kesegaran dari segi isu-isu mesra alam dan juga dari segi bagaimana rekaan itu dapat memberikan kehidupan kita lebih bermakna.

"Saya percaya yang rekaan yang baik rekaan yang mempunyai nilai tinggi tidak semestinya satu rekaan yang mahal. Apa yang penting adalah bagaimana kita boleh gunakan sumber yang sedia, bajet yang ada. Bagaimana kita boleh gunakan daya kreativiti kita untuk mencetus idea yang berlainan," ujarnya lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan