Skip to main content

Gaya Hidup

Konsep kafe moden tapi harga kedai kopi - tarikan kedai kopi halal baharu di Sengkang

Apabila menjejakkan kaki ke The Coffeehood & Tea Hall, para pengunjung pasti merasakan mereka berada di sebuah kafe yang moden, apatah lagi dengan suasananya yang santai sertai dekorasi moden yang mesra keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:
Konsep kafe moden tapi harga kedai kopi - tarikan kedai kopi halal baharu di Sengkang

Kedai kopi The Coffehood & Tea Hall yang terletak di 170A Sengkang East Drive dibuka pada awal tahun ini. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syafeera Sofian)

Diterbitkan : 13 May 2026 12:11AM
SINGAPURA: Apabila menjejakkan kaki ke The Coffeehood & Tea Hall, para pengunjung pasti merasakan mereka berada di sebuah kafe yang moden, apatah lagi dengan suasananya yang santai sertai dekorasi moden yang mesra keluarga.

Namun, The Coffeehood & Tea Hall sebenarnya merupakan sebuah kedai kopi halal terbaharu di Sengkang East Drive yang menawarkan pelbagai juadah harian seperti yang terdapat di kedai-kedai kopi biasa, seperti nasi lemak, sup ikan dan makanan barat.

Sungguhpun suasananya bukan seperti kedai kopi tradisional, namun harga hidangan yang tersedia sangat dimampui dengan hidangan dianggarkan berharga antara $5 dengan $10.

"Bila kami menerima tawaran untuk membuka kedai kopi di sini kami membuat kajian untuk konsep yang berbeza. Pada mulanya kita tahu kita maklum di sini banyak kedai kopi yang halal, tetapi di kawasan di Rivervale ini kita dapati ramai golongan keluarga muda.

Jadi kita nak mengikut citarasa mereka tetapi dengan harga makanan yang mampu beli, " kongsi pengurus The Coffeehood & Tea Hall, Encik Noh Mohd, 51 tahun.

Dibuka secara rasmi pada Januari lalu, kedai kopi yang menawarkan tempat duduk berhawa dingin dan juga ruang makan yang terbuka itu, menampilkan tujuh gerai keseluruhannya.

Antara kedai-kedai yang ditampilkan adalah Chops & Sear, Makan Melaka, Sinar Seafood dan juga Mee Cik Ling.

MEE CIK LING BUKA CAWANGAN PERTAMA DI KEDAI KOPI INI
Related article image
“Mi pan mian ayam cutlet” antara menu popular gerai Mee Cik Ling. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syafeera Sofian)
Sementara beberapa kedai-kedai itu sudah mempunyai cawangan-cawangan yang lain, ini penampilan pertama kedai Mee Cik Ling.

"Apa yang buat kita unik adalah kita menghidangkan makanan Cina versi halal daripada kedai sup ikan yang popular di Bugis. Di sini, mi pan mian ikan dan pan mian ayam cutlet ini antara yang laris dijual, terutama sekali di antara pelanggan Melayu kita, " kata pengasas bersama Mee Cik Ling, Encik Dinie Elfian yang berusia 30 tahun.

Malah, baru-baru ini Mee Cik Ling baru sahaja membuka cawangan kedua di satu lagi kedai kopi yang terletak di Bukit Batok.

Kedai kopi The Coffeehood & Tea Hall beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 10 malam.

Seperti kebanyakan perniagaan Makanan dan Minuman (F&B) di luar sana, tenaga pekerja menjadi satu cabaran.

Namun, ia tidak menjadi halangan kedai kopi ini mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak ia dibuka.

"Sambutannya Alhamdullillah sangat memberangsangkan. Sejak hari pertama dibuka sampai sekarang kita melihat ramai sangat keluarga Melayu terutamanya makan di sini. Ada juga pelanggan-pelanggan mengatakan mereka dari kawasan Jurong, kawasan Yishun, " kongsi Encik Noh.

Sambutan ini malah menjadi pendorong untuk The Coffeehood & Tea Hall meneroka rancangan membuka satu lagi cawangan di Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/SF/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita