Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kongsi tuala antara punca kudis buta

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Satu badan anda gatal dan mungkin sudah berjangkit kepada ahli keluarga yang lain? Ini mungkin kudis buta. Gatalnya tidak dapat dibawa bincang dan apabila garu akan sampai berdarah. 

Ini pesanan dari Dr Ahmad Sahman yang dikongsikan di portal Keluarga untuk merawat kudis buta.

Kudis buta atau nama lainnya, “scabies” adalah keadaan kegatalan pada permukaan kulit yang digigit oleh kutu “sarcoptes scabiei”.

Apabila dilihat di bawah mikroskop, kutu itu berbadan bulat dan mempunyai lapan kaki. Kutu tersebut betina dan akan mengorek masuk ke dalam kulit untuk bertelur dan mati kemudian. Apabila telur menetas, ia akan menjadi kutu dan akan menyebabkan kegatalan.

BAGAIMANA IA BERJANGKIT?

Ia sangat mudah berjangkit melalui sentuhan langsung kulit seseorang dengan orang yang mengalami kudis buta. 

Kutu ini boleh didapati pada tuala, selimut, baju atau cadar yang diguna pesakit kudis buta dan boleh hidup selama tiga hari sebelum ia kemudiannya akan mati.

Ia akan hidup lebih panjang jika mampu menumpang pada ‘rumah baru’ dan boleh hidup lebih 30 hari!

Jangkitan scabies biasanya berlaku di tempat-tempat awam seperti tajaka dan tadika, sekolah, asrama dan pusat-pusat penjagaan yang mana orang ramai kerap berhubungan dan berinteraksi antara satu sama yang lain.

Ruam scabies biasanya melibatkan celah-celah jari tangan dan kaki, ketiak, pusat, kawasan pinggang, kemaluan dan celah paha, manakala sangat jarang melibatkan muka dan kepala.

APAKAH RAWATANNYA?

1. Menggunakan losyen anti scabies

Losyen Permethrin 5%:

– Sesuai digunakan kanak-kanak dua bulan ke atas dan wanita mengandung
– Sapu dan biarkan semalaman
– Contoh: Losyen A-Scabs 

Emulsi Benzyl Benzoate (EBB) 25%:

– Sapu dan biarkan pada kulit 24 jam, kemudian mandi.
– Dewasa (12 tahun ke atas): pakai losyen 25% tanpa perlu di campur dengan air
– Kanak-kanak (2-12 tahun): campur losyen dengan air pada nisbah 1:1 (kepekatan jadi 12.5%)
– Bayi (2 bulan ke atas): campur losyen dengan air pada nisbah 1: 3 (kepekatan jadi 8.3%)
– Jika perlu, ulang rawatan selepas lima hari penggunaan kali pertama.
– Contoh: Scabitone Emulsion, RidPed

Losyen Lindane 1%:

– Sapu dari bahagian leher hingga ke tapak kaki. Biarkan pada kulit 8-12 jam, kemudian mandi.
– Digunakan sekiranya losyen permethrin dan benzyl benzoate gagal merawat kudis buta.
– Elak gunakan pada wanita hamil serta menyusu anak, bayi tidak cukup bulan, pesakit sawan, individu dengan masalah kulit (atopic dermatitis, psoriasis).
– Contoh: Losyen Scaboma

2. Jangan berkongsi tuala, baju atau tempat tidur dengan pesakit kudis buta.

3. Elak hantar kanak-kanak yang dijangkiti dari pergi ke sekolah atau tempat asuhan sehingga selesai rawatan.

4. Semua ahli keluarga perlu dirawat pada masa yang sama, tidak kira sama ada mereka ada rasa gatal atau tidak.

5. Basuh semua pakaian dengan air panas pada suhu 60 darjah Selsius.

Semoga bahan bacaan kali ini dapat memberi manfaat buat anda dan keluarga.

Sumber : Sumber Web/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan