Skip to main content

Gaya Hidup

KLDEX tawar pengalaman unik buat 'hantu durian'; pusat 'durian runtuh' terbesar di Asia

Anggaran Waktu Membaca:
KLDEX tawar pengalaman unik buat 'hantu durian'; pusat 'durian runtuh' terbesar di Asia

Di 'Kuala Lumpur Durian Experience Centre' (KLDEX), anda boleh menjamu buah durian, melawat muzium, menonton teater imersif serta membeli cenderamata sepanjang tahun. (Gambar: Edison Ang)

Diterbitkan : 18 Jul 2026 10:37PM Dikemas Kini : 19 Jul 2026 12:06AM
KUALA LUMPUR: Penggemar durian tidak perlu lagi menunggu musim durian sekiranya mereka mengidam untuk memakan raja buah itu.

Di sebuah mercu tanda baharu di Kuala Lumpur, pelbagai jenis durian masih boleh dinikmati tanpa mengira musim.

Penggemar durian kini boleh sahaja ke 'Kuala Lumpur Durian Experience Centre' (KLDEX) yang dibuka secara rasmi kepada orang ramai 4 Julai lalu.

Terletak di Lot 152, MaTiC, Jalan Ampang, KLDEX juga merupakan pusat bersepadu yang pertama dan terbesar di Asia bagi pengalaman berkaitan durian.

Ia menggabungkan warisan durian di Malaysia, penceritaan imersif menerusi teater, makanan, runcit dan pendidikan di bawah satu bumbung.
Related article image
Penceritaan imersif menerusi teater mengenai durian. (Gambar: Edison Ang)
Ditubuhkan oleh pengasas bersama serta pengarah urusan kumpulan MyBolehBoleh iaitu Edison Ang, beliau menjelaskan bahawa Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi KLDEX "kerana ia merupakan gerbang utama bagi pelancong antarabangsa serta pusat pelancongan, perniagaan dan kebudayaan Malaysia.”

Tambah beliau, pembukaan pusat durian itu di Kuala Lumpur dapat memperkenalkan budaya durian Malaysia kepada audiens yang lebih luas sebelum pengalaman tersebut diperluaskan ke kawasan dusun dan negeri-negeri pengeluar durian.

“KLDEX bukan tarikan bermusim. Ia dibangunkan sebagai sebuah pusat pengalaman dan pelancongan budaya yang beroperasi sepanjang tahun.
 
Related article image
Pengasas bersama serta pengarah urusan kumpulan MyBolehBoleh, Edison Ang. (Gambar: Edison Ang)
"Walaupun jenis serta bekalan durian segar mungkin berubah mengikut musim, pengunjung masih boleh menikmati muzium durian, teater imersif, pameran interaktif, zon pengalaman dusun, makanan dan minuman, bengkel serta ruang runcit.

"Musim durian akan memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati lebih banyak jenis durian segar. Namun, walaupun di luar musim utama, KLDEX masih dapat menawarkan durian segar dan juga durian beku,” kongsi Encik Ang.

PELBAGAI ELEMEN DITERAPKAN

Setiap negeri di Malaysia mempunyai musim durian yang tersendiri sepanjang tahun. Hal ini membolehkan mereka mendapatkan bekalan durian secara berterusan, termasuk ketika di luar musim.

Konsep yang ditampilkan juga agak menarik.

Sebagai pusat bersepadu bagi pengalaman durian, ia menggabungkan pelbagai elemen dalam satu destinasi.

Antara elemen utamanya ialah muzium khas mengenai sejarah dan budaya durian Malaysia, teater imersif bertemakan durian, zon pengalaman dusun, pameran interaktif dan kandungan sejarah.
Related article image
Muzium khas di KLDEX. (Gambar: Edison Ang)
Penggemar durian juga dapat menikmati makanan, minuman dan pencuci mulut berasaskan durian di ruang runcitnya.

Encik Ang berkata: "KLDEX diperkenalkan sebagai pusat bersepadu yang pertama dan terbesar di Asia bagi pengalaman durian dengan keluasan kira-kira 20,451 kaki persegi.

"Apa yang membezakannya ialah pendekatannya yang menyeluruh. Pengunjung bukan sahaja datang untuk makan durian tetapi dapat mengenali perjalanan durian Malaysia melalui sejarah, pertanian, seni persembahan, makanan dan penceritaan budaya.”

Muzium durian di pusat tersebut diwujudkan untuk “memelihara, mendokumentasikan dan memperkenalkan warisan durian Malaysia secara lebih sistematik.”

Beliau menjelaskan: "Misi penubuhan KLDEX adalah untuk melindungi dan memelihara pelbagai jenis durian, seperti Musang King dan Black Thorn, yang sebenarnya milik Malaysia, memandangkan banyak negara kini sudah mula menanam pelbagai jenis durian yang berasal dari Malaysia.

“Kita perlu pastikan dunia mengetahui bahawa jenis-jenis ini sebenarnya berasal dari Malaysia dan merupakan warisan kita.

"Ia membolehkan pengunjung memahami asal-usul serta perkembangan durian Malaysia melalui arkib sejarah, pameran interaktif dan kandungan imersif.

"Muzium ini turut mengetengahkan catatan awal mengenai durian dalam sumber sejarah Eropah dan Cina, selain memaparkan kisah-kisah yang jarang didokumentasikan," tambah beliau.

Untuk pertama kalinya di Asia, teater imersif juga diadakan yang mempertontonkan kerencaman budaya durian Malaysia melalui pendekatan penceritaan kontemporari.

Persembahannya turut menggabungkan drama, koreografi kreatif, muzik, rap dengan persembahan visual dan penceritaan budaya.

Melalui teater tersebut, pengunjung dapat memahami hubungan durian dengan tanah, petani, masyarakat, sejarah dan identiti Malaysia dengan cara yang lebih mudah difahami serta diingati.

JENIS DURIAN DI KLDEX

Pelbagai jenis durian disediakan di KLDEX bergantung pada musim.

KLDEX bukan sahaja membekalkan durian Musang King, Black Thorn dan D24 yang tergolong dalam spesies Duriozibethinus, malah ia turut bekerjasama "dengan masyarakat Orang Asli tempatan yang mengumpulkan spesies durian lain yang kurang dikenali tetapi unik seperti Durio Oxleyanus, Durio Graveolens, Durio Lowianus."
Related article image
KLDEX membekalkan pelbagai jenis durian. (Gambar: Edison Ang)
Kongsi Pengarah Urusan Kumpulan itu lagi, durian di KLDEX berasal daripada pelbagai dusun dari Pahang, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak dengan kebanyakannya merupakan dusun yang terletak di tanah tinggi.

PENCUCI MULUT DI KLDEX

Selain menikmati durian, pengunjung juga boleh mencuba pelbagai jenis pencuci mulut dan minuman di bawah satu bumbung kerana “pengalaman durian Malaysia tidak terhad kepada buah segar sahaja.”

Antaranya termasuk tat durian sebagai pencuci mulut yang menggabungkan pastri dengan inti durian yang memberi pengalaman rasa durian dalam bentuk yang lebih ringan dan mudah dinikmati.

Kopi durian pula adalah minuman yang menggabungkan aroma kopi dengan rasa durian, sekali gus menawarkan kombinasi dua cita rasa yang dekat dengan penggemar durian.

KLDEX turut mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga mencatat purata 3,000 pengunjung setiap hari, dengan maklum balas daripada pengunjung juga "sangat positif".

Sebagai pusat pengalaman durian yang berdaya inovasi, pengunjung KLDEX bukan sahaja dapat menikmati durian, malah berpeluang mengenali dengan lebih mendalam cerita, budaya, sejarah dan nilai di sebalik durian Malaysia.

Encik Ang berkata beliau berharap pusat tersebut dapat menjadi salah satu destinasi budaya yang wajib dikunjungi oleh pelancong tempatan dan antarabangsa.

Beliau juga menzahirkan harapan agar KLDEX dapat memelihara warisan dan sejarah durian Malaysia, “mendokumentasikan kisah tempatan secara sistematik, memperkenalkan durian sebagai sebahagian daripada pelancongan budaya serta meningkatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap durian Malaysia.”

KLDEX turut merancang untuk memperkenalkan lawatan dusun durian yang “akan memberi peluang kepada pengunjung untuk mengalami perjalanan durian Malaysia dengan lebih menyeluruh, daripada dusun hingga ke meja hidangan.”
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita