Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kitar semula plastik untuk rekaan tudung demi tingkatkan kesedaran tentang alam sekitar

Terkesan oleh pencemaran sekitaran yang dilihatnya sendiri semasa melakukan percutian dalam negeri, seorang usahawan fesyen Malaysia membuat keputusan untuk mereka produk yang mesra alam.

Anggaran Waktu Membaca:
Kitar semula plastik untuk rekaan tudung demi tingkatkan kesedaran tentang alam sekitar

(Gambar: Instagram/Tudungpeople)

Diterbitkan : 28 Oct 2020 12:52AM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 12:53AM

MALAYSIA: Terkesan oleh pencemaran sekitaran yang dilihatnya sendiri semasa melakukan percutian dalam negeri, seorang usahawan fesyen Malaysia membuat keputusan untuk mereka produk yang mesra alam.

Baru-baru ini, jenama tudung berpangkalan di Malaysia, TudungPeople melancarkan koleksi tudung ‘Limited Edition Ocean’ atau Edisi Terhad Lautan.

Fazrena Aziz, pengarah kreatif dan pengasas jenama itu, berkongsi bahawa ilham bagi koleksi itu muncul semasa beliau bercuti ke Pulau Redang tahun lalu.

“Saya teruja pertama kali ke Pulau Redang pada tahun 2019. Ketika ‘island hopping’, saya enjoy melihat batu karang yang berwarna warni dan sekumpulan penyu berenang. Tapi di sebalik keindahan itu, saya lihat banyak sisa plastik di sekitar persisiran pantai dan ada juga yang terapung di air. Memang kecewa dan sedih," kongsi beliau kepada Gempak.

“Bila saya pulang ke pejabat, saya terus berkongsi pengalaman bersama team dan berbincang idea untuk menyelamatkan alam sekitar. Langkah pertama adalah dengan meningkatkan tahap kesedaran pengguna dan dengan itu lahirlah idea untuk menggunakan tudung kami sebagai wadah untuk menyampaikan pesanan tersebut,” tambah usahawan itu.

Kesemua 10 pilihan corak dalam koleksi terkini TudungPeople itu berkisarkan lautan, bertemakan buih, rumpai laut, batu karang, ombak dan lain-lain lagi.

Lebih dari setakat menjadi halwa mata, setiap tudung juga membawa kesan baik kepada alam sekitar, kerana diperbuat daripada lapan botol plastik yang dikitar semula.

Botol-botol itu, menurut TudungPeople, dikutip dari lautan dan tapak pelupusan sampah.

“Projek istimewa tudung recycle ini telah mula diusahakan sejak pertengahan 2019 bersama Kloth Cares," kata Fazrena.

Menurut keterangan di laman webnya, Kloth Cares adalah sebuah gerakan perusahaan sosial yang diasaskan di Malaysia bertujuan untuk mengurangkan fabrik dan plastik dalam tapak pembuangan sampah menerusi model perniagaan ekonomi kitaran (circular economy).

Koleksi Edisi Terhad Lautan sudah boleh dipesan online ataupun di butik TudungPeople mulai Isnin (26 Okt).

“Kami amat berharap mesej yang kami cuba sampaikan dalam projek ini iaitu ‘Save Our Ocean’ dapat diterjemah dan diterima dengan baik melalui penghasilan tudung ini," kata Fazrena.

“Kami juga berharap idea dan kebaikan tudung kitar semula ini akan menjadi inspirasi kepada jenama-jenama lokal lain dan memberi kesedaran kepada pengguna terhadap kesan sisa plastik kepada alam sekitar."

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan