Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kini anda boleh taja 10 jenis haiwan ini sebagai 'anak angkat'

Buat julung-julung kalinya, para pencinta haiwan boleh memilih haiwan di Taman Haiwan Singapura untuk dijadikan sebagai "anak angkat".

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Aug 2020 11:41PM Dikemas Kini : 13 Aug 2020 11:44PM

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, para pencinta haiwan boleh memilih haiwan di Taman Haiwan Singapura untuk dijadikan sebagai "anak angkat".

Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan Wildlife Reserves Singapore (WRS) yang melanjutkan skim tajaan kepada para individu. Sebelum ini ia hanya ditawarkan kepada syarikat-syarikat.

Sebagai permulaan, anda boleh memilih daripada 10 spesis haiwan untuk dijadikan "anak angkat", iaitu:

- Orang Utan Sumatera bernama Ah Meng Jr
- 2 ekor burung penguin Afrika bernama Ben dan Bella
- Lemur berbulu leher merah bernama Bosco
- Sloth berjari kaki dua bernama Bunny
- Kura-kura gergasi Aldabra bernama Coco
- Beruang matahari Malaya bernama Matahari
- Singa laut California bernama Pedro
- Badak air pygmy bernama Psota
- Kanggaru kelabu Timur bernama Rambo
- Arnab baka Rex bernama Ronnie

Anda juga boleh membuat sumbangan sekali sebanyak S$200, S$800 dan S$1,500, menurut WRS semasa acara pelancaran media program tersebut pada Khamis (13 Ogos).

Menerusi setiap sumbangan, para penderma akan menikmati beberapa keistimewaan seperti paparan nama di laman WRS selama setahun dan menerima e-sijil "anak angkat" serta lembaran fakta haiwan yang dijadikan sebagai "anak angkat".

Baucar diskaun, tiket kemasukan dan undangan ke acara dan pratonton WRS turut akan diberikan kepada para individu yang menyertai skim tajaan itu.

Bagi para individu yang membuat sumbangan dana S$1,500, nama-nama mereka akan diberi pengiktirafan di tembok peserta skim tersebut di Taman Haiwan Singapura selama setahun dan mereka akan diberikan baucar bagi pembelian anak patung haiwan dan pas kemasukan ke taman itu selama setahun.

Dana yang terkumpul menerusi program itu akan disalurkan kepada dana sumber WRS bagi menampung keperluan jagaan, pemeliharaan dan perubatan haiwan.

Ia juga akan digunakan untuk menyokong program kajian dan pendidikan bagi projek pemuliharaan dan taman-taman WRS untuk melindungi spesis yang terancam di Singapura dan di seluruh rantau ini.

Pengarah Kanan bagi Pembangunan Perkongsian WRS Isabel Cheng berkata: "Kami mempunyai para pengunjung yang melihat haiwan, menjalin hubungan dengan mereka dan merasakan bahawa mereka ingin melakukan sesuatu dan menyumbang kepada usaha pemuliharaan dan penjagaan haiwan yang kami lakukan di taman-taman dan di rantau ini.

"Semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, kesemua taman ditutup. Meskipun pada hakikatnya kami tidak menerima sebarang pelawat, kerja-kerja masih diteruskan jadi ia melibatkan banyak kos."

Beliau menambah bahawa program itu membantu menjana pendapatan tambahan daripada mereka yang tidak dapat mengunjungi taman haiwan namun masih ingin melakukan tanggungjawab mereka dalam menyokong penjagaan haiwan liar.

WRS merancang untuk melanjutkan program itu bagi haiwan-haiwan di Taman Burung Jurong, River Safari dan Night Safari.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan