Skip to main content

Gaya Hidup

"Kilang kebahagiaan": Stesen radio pesara pertama Indonesia bantu warga emas tangani stigma

Apabila pesara Eddy Koko dan isterinya bertemu dengan beberapa bekas rakan sekerja pada Januari 2023, perbincangan mereka beralih kepada bagaimana ramai berasa resah akan prospek persaraan.

Anggaran Waktu Membaca:
"Kilang kebahagiaan": Stesen radio pesara pertama Indonesia bantu warga emas tangani stigma

Eddy Koko menubuhkan Radio Pensiunan pada 3 Januari 2023 bagi menangani keresahan yang dialami sesetengah individu berhubung persaraan. (Gambar: CNA/Ridhwan Siregar)

JAKARTA: Apabila pesara Eddy Koko dan isterinya bertemu dengan beberapa bekas rakan sekerja pada Januari 2023, perbincangan mereka beralih kepada bagaimana ramai berasa resah akan prospek persaraan.

Encik Eddy, yang bersara pada 2014 ketika berusia 54 tahun, berasa hairan.

“Sebaik saja saya pulang selepas pertemuan itu, saya tanya isteri saya: ‘Kenapa orang takut bersara? Saya sudah bersara (bertahun-tahun) dan saya tidak apa-apa,” kata mantan ketua editor sebuah stesen radio di Indonesia itu.

Keesokan harinya, beliau memutuskan untuk mengeluarkan semula peralatan siarannya yang ada di rumah dan kembali menggunakan mikrofon.

Beliau kemudian menghantar pautan siaran online yang dihasilkan kepada lima rakannya.

Hal tersebut tersebar dengan cepat dan jumlah pendengar meningkat dalam tempoh beberapa hari.

“Masa itulah saya fikir, kita mesti tubuhkan entiti yang sah, adakan studio sebenar,” kata Encik Eddy, yang isterinya Asih Teguh, 57 tahun, juga merupakan bekas wartawan radio.

Dalam tempoh lebih dua tahun sahaja, Radio Pensiunan – yang bermaksud “radio pesara” – telah menarik lebih 302,000 pendengar dari seluruh Indonesia, sebagai stesen radio internet pertama dan satu-satunya di negara itu yang diasaskan oleh pesara, buat pesara.

"KILANG KEBAHAGIAN"

Stesen itu menggelarkan dirinya sebagai “kilang kebahagiaan” dan bertujuan untuk menyediakan hiburan serta maklumat bagi menggalakkan masyarakat Indonesia, khususnya golongan warga emas, untuk berfikiran positif dan terus memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Golongan warga emas – iaitu mereka yang berusia 60 tahun ke atas – merangkumi hampir 12 peratus daripada 281 juta penduduk Indonesia pada 2023, berdasarkan statistik rasmi.

Menjelang 2045, angka itu dijangka meningkat kepada satu daripada lima penduduk, sejajar dengan peningkatan jangka hayat daripada purata 72.39 tahun pada 2024.

Walaupun Indonesia menyambut Hari Warga Emas Nasional pada 29 Mei setiap tahun, dan pemerintah mengiktiraf keperluan untuk membuat persediaan bagi populasi yang semakin menua – contohnya, termasuk meningkatkan tempoh tahun rakyat hidup dalam keadaan sihat – ketika ini tidak banyak program yang benar-benar dirangka khusus untuk golongan tersebut.

Kekal aktif dan mengekalkan pemikiran positif adalah kunci kepada penuaan sihat, kata Encik Eddy, dan Radio Pensiunan berharap dapat memainkan peranan dalam hal tersebut.

Stesen itu bersiaran 24 jam sehari dan memainkan muzik Barat dan Indonesia dari era 1970-an hingga 2000.

Rancangannya terdiri daripada 70 peratus hiburan dan 30 peratus berita.
Related article image
Radio Pensiunan mempunyai studio di Tangerang Selatan namun penyampainya tinggal di merata bandar di seluruh Indonesia. (Gambar: CNA/Ridhwan Siregar)
Ia tidak membincangkan isu politik kerana tidak mahu menimbulkan perdebatan hangat, kata Encik Eddy, yang menggunakan wangnya sendiri untuk menubuhkan sebuah studio di Tangerang Selatan, di pinggir Jakarta.

Kos operasi stesen itu adalah sekitar 4 juta rupiah (S$315.14) sebulan, termasuk sewaan studio dan bil elektrik.

Sebuah pasukan relawan seramai kira-kira 20 orang yang berusia dalam lingkungan 40-an hingga lewat 60-an mengendalikan Radio Pensiunan. Walaupun semua anggota pasukan ketika ini merupakan pesara, status pesara tidak menjadi syarat keanggotaan.

Cik Asih bertanggungjawab mengawasi bidang operasi stesen radio itu,manakala Angga Kurniawan, bekas rakan sekerja beliau dan Eddy, memainkan peranan sebagai pengarah muzik.

Penyampai stesen itu berada di merata Indonesia dan bersiaran dari 13 lokasi termasuk Bandung, Surabaya dan Manado.

Walaupun kebanyakan daripada mereka merupakan penyampai radio terlatih, ada juga yang tiada pengalaman penyiaran seperti Rosy Soenarko, 66 tahun, yang berpangkalan di Bekasi.
Related article image
Pengasas Radio Pensiunan, Eddy Koko (kiri), dan penyampai radio Rosy Soenarko (kanan). (Gambar: CNA/Ridhwan Siregar)
Rosy, peminat muzik jazz, pernah bekerja di syarikat utiliti negara PLN dan merupakan pendengar Radio Pensiunan sebelum menyertai stesen itu sebagai seorang penyampai bagi rancangan jazz pada November 2023.

PENDENGAR DARI SELURUH DUNIA

Seperti penyampainya, pendengar Radio Pensiunan tersebar di seluruh Indonesia.

Ada yang mendengar dari kawasan seperti Papua, di mana capaian internet masih terhad di kebanyakan tempat. Terdapat seorang pendengar setia yang sanggup menempuh perjalanan sejauh 7km dari rumahnya ke kawasan berbukit semata-mata untuk mendengar stesen itu, kata penyampai Aldian Noorman dari Bandung.

Walaupun sebahagian besar pendengarnya terdiri daripada pesara yang tinggal di kawasan Jakarta dan Jawa Timur, Radio Pensiunan turut mempunyai pendengar lebih muda dalam lingkungan usia 30-an, serta pendengar dari negara-negara seperti Singapura, Kyrgyzstan dan Amerika Syarikat yang menemui stesen itu melalui enjin pencarian internet.

Penyampai dari Manado, Doudy Joun Tatipang, berkongsi pengalamannya menghubungi seorang pendengar dari negara Amerika Selatan, Suriname – yang seperti Indonesia, pernah menjadi tanah jajahan Belanda – semasa siarannya.

Oleh kerana pendengar itu hanya boleh berbahasa Jawa, Encik Doudy terpaksa membuat panggilan kepada Encik Eddy untuk berkomunikasi dengannya.

Radio Pensiunan juga berusaha gigih untuk menjalin hubungan dengan pendengar, antaranya dengan menyapa mereka secara individu dalam rancangan paginya.

Ini penting kerana ada dalam kalangan warga emas yang mungkin berasa sunyi atau terasing, kata Encik Eddy.

“Dengan menyapa rakan-rakan pesara kami, harapannya mereka rasa ada yang menemani, ada yang ambil berat dan beri perhatian kepada mereka,” tambah Encik Doudy.

Para pendengar juga telah membentuk komuniti mereka sendiri dengan menubuhkan kumpulan mesej WhatsApp yang dinamakan Sahabat Radio Pensiunan disamping mengadakan pertemuan.

Sahabat Radio Pensiunan didaftarkan secara sah sebagai pertubuhan komuniti awal tahun ini dan kini mempunyai lebih 3,000 ahli.

Pertemuan yang diadakan membantu para ahli menangani rasa sunyi dan rasa tidak berguna, kata Ray Wijaya, yang menguruskan aspek perniagaan Radio Pensiunan dan juga bertugas sebagai penyampai.

“Kami mahu lakukan lebih banyak untuk warga emas, khususnya mereka yang telah bersara, kerana stigma yang (dihadapi mereka) di Indonesia,” katanya.

“Ia seolah-olah, jika anda bersara, segalanya sudah berakhir.”

Melalui Sahabat Radio Pensiunan, pasukan stesen tersebut juga dapat membina rangkaian dengan pihak yang sudi menaja acara dan mengiklankan produk atau perkhidmatan mereka di platform berkenaan.
Related article image
Para pendengar Radio Pensiunan menari dalam satu sesi perjumpaan pada November 2023. (Petikan video: Eddy Koko)
Radio Pensiunan berharap dapat melakukan lebih banyak usaha untuk memanfaatkan kepakaran dan pengetahuan warga emas yang berpengalaman dalam sektor swasta, dan berkongsi pengalaman itu dengan generasi muda.

Ia juga berharap dapat bekerjasama dengan pihak pemerintah untuk menganjurkan program bagi warga emas, kata Encik Eddy.

Buat masa ini, stesen tersebut telah berjaya menceriakan hari-hari pendengarnya.

“Radio Pensiunan buat saya gembira,” kata Gini Adityawati, 62 tahun, yang pernah bekerja di sebuah kedutaan asing di Jakarta. “Ia mainkan lagu-lagu dari zaman kanak-kanak dan remaja saya. Program-programnya pun bagus.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita