Skip to main content

Gaya Hidup

Khasiat ulam untuk tingkatkan daya tahan tubuh, cegah penyakit

Ulam adalah sejenis hidangan terdiri daripada sayur-sayuran atau herba yang dimakan mentah dan sering dijadikan sebagai pelengkap dalam makanan tradisional Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
Khasiat ulam untuk tingkatkan daya tahan tubuh, cegah penyakit

Jenis ulam-ulaman Melayu. (Gambar: Wikipedia)

Diterbitkan : 05 Feb 2025 10:59PM
MALAYSIA: Ulam adalah sejenis hidangan terdiri daripada sayur-sayuran atau herba yang dimakan mentah dan sering dijadikan sebagai pelengkap dalam makanan tradisional Melayu.

Ulam termasuk bahagian pucuk, daun dan batang yang boleh dimakan begitu sahaja.

Selain memberi rasa segar dan keunikan, ulam mempunyai pelbagai kebaikan untuk kesihatan.

Berikut antara khasiat ulam yang mungkin anda tidak tahu:

1. BERKHASIAT

Ulam kaya dengan khasiat seperti vitamin, mineral dan fitonutrien yang baik untuk tubuh.

Contohnya, ulam seperti ulam raja, pegaga dan daun selom kaya dengan vitamin C yang bantu meningkatkan sistem imun tubuh serta kesihatan kulit.

2. TINGGI DENGAN KANDUNGAN SERAT

Ulam juga kaya dengan kandungan serat di mana ia sangat baik bagi sistem pencernaan tubuh.

Serat bantu melancarkan pergerakan usus, mengelakkan sembelit dan membuat seseorang itu berasa kenyang untuk tempoh lebih lama.

Ia penting demi menjaga keseimbangan berat badan dan kesihatan usus.

Ulam seperti daun selom, kacang botol dan tauge dapat membantu melancarkan pergerakan usus dalam proses pencernaan.

3. MENGANDUNGI ANTIOKSIDAN

Kandungan antioksidan dalam ulam dapat bantu melawan radikal bebas dalam tubuh.

Radikal bebas itu boleh merosakkan sel-sel tubuh dan menyebabkan penuaan pramatang serta pelbagai penyakit kronik seperti barah dan penyakit jantung.

Justeru, pengambilan ulam secara teratur dapat bantu melindungi tubuh daripada kesan-kesan negatif itu.

4. MENJAGA KESEIMBANGAN GULA DALAM DARAH

Ulam seperti daun pegaga dan daun kunyit dapat bantu menjaga keseimbangan paras gula dalam darah.

Ia justeru sangat bermanfaat bagi individu yang menghidap penyakit kencing manis atau berisiko menghidap penyakit itu.

Pengambilan ulam justeru dapat bantu mengekalkan paras stabil gula dalam darah.

5. BANTU KAWAL KOLESTEROL

Kebanyakan ulam mengandungi sebatian semula jadi yang dapat bantu mengurangkan kadar kolesterol dalam darah.

Ia secara tidak langsung boleh mengurangkan risiko penyakit jantung kerana kolesterol tinggi adalah salah satu punca utama masalah kesihatan kardiovaskular.

Sebagai contoh, daun kaduk yang mengandungi sebatian dapat bantu mengurangkan kolesterol jahat (LDL) dalam darah.

6. RAWATAN KULIT

Beberapa jenis ulam seperti daun betik mengandungi khasiat yang dapat bantu dalam proses penyembuhan kulit.

Ulam sering digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai penyakit ringan dan mempercepatkan proses pemulihan.

Ulam seperti pegaga mampu merawat kulit dan meredakan keradangan pada kulit wajah.

Banyak produk penjagaan kulit bahkan menjadikan pegaga sebagai bahan utama mereka.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita