Khasiat jamu dikupas di pesta seni kesejahteraan anjuran Muzium Tamadun Asia
Orang ramai boleh pelajari lebih mendalam lagi tentang amalan kecantikan dan kesihatan tubuh badan yang diamalkan pelbagai masyarakat Asia yang rencam di Pesta Seni Kesejahteraan atau 'Art of Wellness'.
SINGAPURA: Orang ramai boleh pelajari lebih mendalam lagi tentang amalan kecantikan dan kesihatan tubuh badan yang diamalkan pelbagai masyarakat Asia yang rencam di Pesta Seni Kesejahteraan atau 'Art of Wellness'.
Acara anjuran Muzium Tamadun Asia itu diadakan sepanjang dua hujung minggu pada 3-4 Disember dan 10-11 Disember.
Antara yang dikongsi termasuk penggunaan jamu seperti param dan pilis dalam perubatan tradisional Melayu.
Meskipun rahsia kecantikan dan kesihatan turun-temurun ini sudah diamalkan sejak sekian lamanya, tidak ramai yang sebenarnya mengetahui khasiat sebenar jamu.
Demikian menurut pengendali bengkel 'All About Jamu' di pesta tersebut yang juga merupakan pengasas syarikat Mummy's Massage, Salwa Salim.
Di bengkel pengenalan jamu yang dijalankan pada Ahad (4 Dis), Cik Salwa berkongsi tentang khasiat jamu untuk kesihatan dan sejarah ramuan itu kepada para peserta.
"Orang selalu dengar pasal jamu, sebut pasal jamu tetapi tidak semua orang faham apa itu jamu. Dalam pengalaman saya, dalam industri 'postnatal' yang saya kendalikan melalui Mummy's Massage, ramai klien yang Melayu atau bukan Melayu kurang pasti apakah itu jamu apabila mereka bertanya nak jamu, rawatan jamu atau khidmat urut menggunakan jamu.
"Jadi dengan adanya bengkel sebegini, para peserta boleh dapatkan pandangan menyeluruh mengenai apa itu jamu, asal usulnya, kebijaksanaan di sebalik jamu dan juga faham daripada perspektif moden khasiat jamu," kata Cik Salwa kepada BERITAmediacorp.
Bengkel itu merupakan salah satu kegiatan yang dianjurkan di muzium tersebut pada hujung minggu lalu sempena Pesta 'Art of Wellness'.
Menariknya, lebih 80 peratus pesertanya merupakan peserta bukan Melayu.
"Pada peserta bukan Melayu, saya berharap mereka boleh meraih manfaat dan sama-sama kita dapat sebarkan khasiat perubatan tradisional Melayu di dalam dan ke luar negara," ujar Cik Salwa.
Pada hujung minggu depan (10-11 Dis), para pengunjung dapat jangkakan pertunjukan muzik secara langsung oleh kumpulan seni menggunakan alat-alat seperti mangkuk dan gong.
Terdapat juga gerai-gerai yang menjual pelbagai minuman herba dan produk-produk kecantikan organik.
"Pesta 'Art of Wellness' ini menggabungkan dua program ACM kegemaran ramai iaitu Crossing Cultures dan Caravanserai untuk menawarkan titik-titik masuk yang memberi nafas baru bagi khalayak ramai dan para remaja untuk menikmati kepelbagaian tamadun-tamadun Asia.
"Pesta ini akan menawarkan beberapa acara yang berkaitan dengan budaya makanan, kesenian, mutu pertukangan dan beberapa lagi seni warisan budaya yang tidak ketara," menurut kurator kanan (seni Islam dan Peranakan) di ACM, Noorashikin Zulkifli.
Kemasukan ke Pesta Seni Kesejahteraan di ACM adalah percuma.
Sehubungan itu, sebuah pameran khas turut dianjurkan di ACM bersempena pesta tersebut yang berjudul 'Jasad dan Jiwa: Tubuh Manusia dalam Pemikiran dan Amalan'.
Lebih 100 objek dipaparkan dalam pameran silang budaya itu yang mana ia cuba mengemukakan pelbagai cara dan kaedah masyarakat-masyarakat beragama cuba memahami peranan fungsi dan tubuh badan.
Tiket masuk ke pameran khas ini boleh didapatkan pada harga S$25 dari laman Muzium Tamadun Asia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.