Khasiat dan keistimewaan di sebalik buah limau Mandarin

SINGAPURA: Buah oren atau limau Mandarin sememangnya cukup sinonim menjelang perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi. Jika diperhatikan, sana sini meriah dengan jualan buah limau pelbagai saiz dengan harga yang berbeza-beza. Bagi yang gemar makan buah atau menikmati jus segar limau Mandarin, inilah masanya untuk menikmati sepuas-puasnya.
Seperti buah sitrus yang lain, buah limau bukan sahaja rasa segar dan enak. Ia juga diperkaya dengan pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan selain dapat mencegah pelbagai penyakit. Antaranya, ia mengandungi vitamin dan mineral selain serat makanan bagi pertumbuhan dan perkembangan kesihatan tubuh yang normal.
Apa yang lebih menarik, kajian mendapati khasiat yang ada di dalam buah limau juga dapat membantu untuk mencegah risiko penyakit kronik seperti barah dan kardiovaskular. Bagi yang ingin berdiet, buah limau Mandarin ini merupakan antara buah yang patut ada dalam menu diet anda. Ia mengandungi karbohidrat sederhana yang terdiri daripada glukosa, fraktosa dan juga sukrosa.
Menurut satu kajian, karbohidrat kompleks yang ada di dalamnya juga merupakan serat makanan yang baik untuk kesihatan. Serat makanan ini boleh bantu untuk melengahkan proses pencernaan dan penyerapan makanan. Lantas, perut akan dapat bertahan untuk rasa kenyang dengan lebih lama.
Pada masa yang sama, dengan mengambil sebiji limau Mandarin saiz sederhana dalam diet seharian anda, ia juga dapat membantu untuk memperolehi anggaran 30 hingga 35gm serat makanan. Ia mencukupi jumlah anggaran 25gm yang diperlukan oleh tubuh kita seharian.
KEHEBATAN BUAH OREN

Antioksidan
Buah oren yang mengandungi vitamin C yang tinggi ini mudah larut air dan dapat membantu dalam proses pembentukan kolagen di dalam tubuh. Kehadiran dan pembentukan kolagen yang baik sangat diperlukan untuk pembentukan tulang, pembuluh darah, tendon, kulit selain pembentukan ligamen. Sekaligus ia juga dapat membantu dalam proses penyembuhan luka.
Kulit mulus
Bukan sahaja baik untuk kesihatan, buah oren juga mempunyai pelbagai manfaat untuk kecantikan kulit. Diperkaya dengan vitamin C dan merupakan agen antioksidan yang baik, tidak hairanlah jika ia mampu untuk menangani radikal bebas. Malah, kehadiran vitamin C juga dapat memperkuatkan sel kulit dan bantu untuk memperbaik jaringan yang rosak.
Rawatan kulit
Seperti lemon, buah oren juga mempunyai ekstrak sitrus yang bertindak sebagai antioksidan untuk kulit yang rosak. Kehadiran vitamin C dan zinc yang ada dalam buah ini, kedua-duanya dapat membantu untuk menghuraikan dan mengurangkan masalah jerawat.
Anda juga boleh cuba untuk atasi masalah kulit siku atau lutut yang hitam dengan gosok menggunakan hirisan buah oren. Cuba rutin ini setiap hari dan lihat keberkesanannya. Tapi, sebelum itu pastikan kulit anda tidak sensitif dengan buah sitrus ini.

Diperkaya dengan vitamin C, ia akan melancarkan proses penyerapan zat besi asli sehingga dapat membantu dalam penyembuhan penyakit antaranya anaemia. Kajian juga turut mendapati kehadiran vitamin C yang ada dalam buah ini juga boleh mencegah kerosakan sel akibat aktiviti molekul radikal bebas. Tahukah anda, radikal bebas inilah yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.
Menurut kajian juga, penyerapan vitamin C yang tinggi dari makanan seperti buah oren dapat membantu untuk mencegah kenaikkan lemak jahat. Kadar lemak jahat tinggi inilah yang merupakan antara faktor utama penyebab penyakit jantung.
Selain itu, pengambilan makanan yang mengandungi nutrisi yang tinggi seperti buah oren segar atau jus oren juga dapat tingkatkan lagi kadar folat iaitu sejenis bentuk vitamin. Peningkatan ini membantu untuk menurunkan racun pada dinding pembuluh darah dan sekaligus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
Cegah barah
Zat vitamin C yang hadir dalam buah-buahan seperti buah oren juga dapat memainkan peranan yang penting dalam kesihatan, membantu untuk memberi perlindungan tubuh terhadap penyakit barah.
Menurut kajian, antaranya buah limau Mandarin dapat memberi perlindungan terhadap kanser. Diperkaya dengan zat yang asli, malah ia lebih baik dari vitamin C yang diperolehi dalam bentuk pil.
Rata-rata kita disarankan untuk mengambil vitamin C anggaran 30-100mg setiap hari. Dan, jika anda mengambil sebiji buah limau Mandarin saiz sederhana ia mempunyai anggaran 70mg vitamin C. Sebagai alternatif, anda juga boleh menikmati segelas jus perahan limau ini setiap hari, anggaran 230ml.
CARA PILIH LIMAU

Walaupun mengandungi pelbagai zat, pastikan untuk tidak menikmatinya secara keterlaluan terutama bagi anda yang mempunyai perut sensitif. Selain itu, ia juga boleh mengundang penyakit lain seperti batuk, sakit tekak, demam selain sakit perut atau radang usus.
Sebelum menikmatinya, pastikan untuk cuci atau rendam buah oren terlebih dahulu. Dan, pastikan jari yang terkena kulit limau yang belum dicuci tidak bersentuhan dengan isinya. Jika perlu, gunakan sarung tangan untuk mengopeknya.
Apabila ingin membuat pilihan buah limau, pastikan untuk nilai secara fizikal. Menurut penjual buah, jika ingin tahu sama ada ia manis atau tidak, bentuknya selalunya tidak bulat cantik dan seringkali tampil sedikit menggerutu. Dan, jika buahnya bulat cantik, isinya selalunya masam.
Selain itu warna buah limau yang manis tampil jingga gelap sedikit. Bila anda picit bahagian bawah limau, jika ia tampil lekuk, kemungkinan kulitnya sudah mudah lekang dari isinya. Rasanya pula, selalunya manis. Jika rasanya tawar, ia adalah perkara biasa. Yang penting ia tidak masam!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.