Khasiat dada ayam yang mungkin anda tidak tahu
Semua potongan ayam mempunyai khasiatnya yang tersendiri, namun berdasarkan beberapa metrik, dada ayam dianggap paling bermanfaat.
Dada ayam boleh dianggap sebagai bahagian yang paling bermanfaat. (Gambar: The New York Times)
Berikut merupakan antara manfaat yang boleh anda peroleh dengan memakan dada ayam:
SUMBER PROTEIN TERBAIK
Berdasarkan jumlah kalori, tidak banyak makanan semula jadi yang mengandungi lebih banyak protein berbanding dada ayam. “Anda perlu mengambil serbuk protein untuk mendapatkan kandungan protein yang lebih tinggi,” kata Dave Bridges, ahli biokimia dan profesor madya sains pemakanan di Universiti Michigan.
Menurut Heidi Silver, pengarah Diet, Komposisi Badan dan Teras Metabolisme di Universiti Vanderbilt, dada ayam tidak mengandungi karbohidrat dan hanya mengandungi sedikit lemak, terutamanya jika kulitnya dibuang. Satu hidangan dada ayam tanpa tulang dan kulit seberat 3.5 auns mengandungi sekitar 160 kalori dan 32 gram protein. Jumlah itu hampir separuh daripada pengambilan harian yang disyorkan bagi individu dewasa dengan purata berat badan sebanyak 84 kilogram.
BAIK UNTUK JANTUNG
Dada ayam mengandungi lemak tepu yang amat sedikit. Lemak tepu adalah sejenis lemak yang lazimnya dikaitkan dengan kolesterol tinggi dan risiko penyakit jantung, kata Dr Bridges. Satu hidangandada ayam seberat 3.5 auns (99 gram) hanya mengandungi satu gram lemak tepu. Selain itu, ayam juga mengandungi sejumlah kecil asid oleik dan linoleik, dua jenis lemak yang terbukti menyokong kesihatan jantung, tambah beliau.
KAYA DENGAN VITAMIN B
Dada ayam juga mengandungi lebih separuh daripada jumlah harian yang disyorkan bagi vitamin B3, atau niasin, dan lebih 70 peratus daripada jumlah yang disyorkan bagi vitamin B6.
Vitamin B adalah penting untuk penghasilan DNA dan membantu menukarkan makanan kepada tenaga, kata Lee Murphy, pengajar pemakanan di Universiti Tennessee, Knoxville.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.