Skip to main content

Gaya Hidup

Khasiat buah mangga; tinggi kandungan gula tetapi kaya serat, vitamin C dan kalium

Di India, buah mangga dikenali sebagai “raja segala buah.”

Anggaran Waktu Membaca:
Khasiat buah mangga; tinggi kandungan gula tetapi kaya serat, vitamin C dan kalium

Buah mangga kaya dengan Vitamin C dan kalium. (Gambar: The New York Times)

Diterbitkan : 18 May 2025 11:03PM Dikemas Kini : 19 May 2025 09:38AM
NEW YORK: Di India, buah mangga dikenali sebagai “raja segala buah.” Buah tersebut, termasuk pokok dan daunnya, melambangkan kemakmuran, tuah dan rasa cinta.

Dari segi pemakanan, buah mangga juga mempunyai banyak kelebihan. Ia kaya dengan Vitamin C dan kalium. Mangga juga boleh dibekukan dengan baik, menjadikannya bahan asas untuk membuat 'smoothie' sepanjang tahun.

Berikut adalah beberapa fakta tentang khasiat buah mangga.

KANDUNGAN GULA MANGGA TINGGI (TETAPI TIDAK SEPERTI BISKUT)

Separuh daripada buah mangga yang dikupas mengandungi sekitar 23 gram gula. Jumlah tersebut adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding kandungan gula dalam sekeping biskut cip coklat yang lazimnya dibeli dari kedai.

Namun, gula semula jadi dalam mangga tidak menyebabkan lonjakan mendadak bagi paras glukosa darah seperti gula tambahan dalam biskut, kata Jessica Higgins, pakar diet dalam program Perubatan Gaya Hidup di NYC Health + Hospitals Woodhull.

Ini kerana tubuh anda perlu mencernakan serat bermanfaat dalam mangga terlebih dahulu sebelum menyerap gula buah tersebut. Proses itu mengambil masa, sekali gus memberi peluang kepada badan anda untuk memproses glukosa secara berperingkat.

Selain memperlahankan proses pencernaan, serat dalam mangga juga dapat membantu mengawal paras kolesterol dan menyokong pertumbuhan bakteria baik dalam usus, kata Maya Vadiveloo, pakar diet dan profesor madya pemakanan di Universiti Rhode Island.

KANDUNGAN VITAMIN C YANG SETANDING DENGAN BUAH-BUAHAN SITRUS

Separuh buah mangga mengandungi sekitar 61mg Vitamin C, hampir sama dengan jumlah yang terdapat dalam separuh buah limau berpusat atau limau gedang.

Selain manfaatnya dalam memperkukuh sistem pertahanan tubuh, Vitamin C juga membantu badan untuk menyerap zat besi daripada makanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan, kata Dr Vadiveloo.

Zat besi dalam makanan seperti sayuran hijau dan kekacang tidak mudah diserap tubuh berbanding zat besi daripada sumber haiwan, jelas beliau. Namun, apabila makanan tersebut digandingkan dengan sumber yang kaya dengan Vitamin C seperti mangga, ia dapat membantu proses menukar zat besi kepada bentuk yang lebih mudah diserap tubuh.

KANDUNGAN KALIUM DALAM MANGGA BOLEH RENDAHKAN TEKANAN DARAH

Pisang mungkin buah tropika yang paling terkenal sebagai sumber kalium yang kaya. Tetapi, mangga juga tidak jauh ketinggalan. Separuh buah mangga mengandungi kira-kira 282mg kalium, manakala sebiji pisang sederhana mengandungi sekitar 422mg kalium.

Kalium boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung yang berpunca daripada pengambilan natrium berlebihan, jelas Cik Higgins. Pengambilan natrium yang terlalu banyak boleh menyebabkan tubuh menahan cecair, sekali gus meningkatkan tekanan darah. Dalam jangka panjang, tekanan darah yang tinggi boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan angin ahmar.

Oleh itu, kalium adalah penting kerana ia boleh membantu mengimbangi paras cecair dalam badan dan boleh menurunkan tekanan darah.

APAKAH CARA TERBAIK UNTUK MENIKMATI BUAH MANGGA?

Cuba buah mangga yang dibekukan. Jika susah nak dapat mangga yang sudah matang, Dr Vadiveloo menyarankan anda beli mangga beku. Selagi ia tidak mengandungi gula tambahan, khasiatnya sama seperti mangga segar, katanya.

Jangan makan terlalu banyak hirisan mangga yang dikeringkan. Setengah cawan mangga kering mengandungi 255 kalori dan 53 gram gula – jauh lebih tinggi berbanding 50 kalori dan 11 gram gula bagi jumlah yang sama sekiranya anda makan mangga segar.

TEKNIK UNTUK UJI JIKA MANGGA SUDAH ATAU BELUM MASAK

Akhir sekali, Cik Higgins menyarankan, kalau nak tahu jika buah mangga itu sudah betul-betul masak, tekan mangga itu perlahan-lahan menggunakan ibu jari. Ia harus rasa lembut sedikit.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita