Skip to main content

Gaya Hidup

Khalas, Sukkari antara kurma paling popular di Arab Saudi jelang Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Khalas, Sukkari antara kurma paling popular di Arab Saudi jelang Ramadan

(Gambar: AFP/Giuseppe Cacace)

Diterbitkan : 08 Mar 2025 09:52PM Dikemas Kini : 08 Mar 2025 10:01PM
DAMMAM: Pasar kurma di seluruh bandar dan wilayah di timur Arab Saudi menyaksikan aktiviti jualan yang tinggi menjelang Ramadan, dengan kesibukan para pelanggan mencari pelbagai jenis kurma dan produk kurma yang diproses, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Kurma menjadi pelengkap berbuka puasa kerana ia bantu menambah paras gula dalam badan, membekalkan tenaga dan menawarkan nilai khasiat makanan yang tinggi.

Ia juga mudah dicerna dan cepat diserap oleh perut.

Sekalipun zaman berubah dan terdapat pelbagai makanan, kurma mengekalkan kepentingan agama, sejarah, sosial dan geografinya dalam masyarakat Arab Saudi kerana orang ramai terus berbuka puasa dengan kurma dan menjadikannya sebagian diet harian mereka.

Pasar kurma di Wilayah Timur Arab Saudi menawarkan lebih daripada 15 jenis kurma, termasuk kurma tempatan dari Al-Ahsa dan Qatif, serta kurma dari luar wilayah, seperti dari Qassim dan Madinah.

Jenis kurma yang paling menonjol termasuk Khalas, Sukkari, Shishi, Ajwa dan Rizez, masing-masing dibezakan oleh rupa, saiz, rasa, dan harganya.

Para penjual menawarkan pelbagai pilihan kurma untuk memenuhi cita rasa para pelanggan.

Selain kurma segar, terdapat pelbagai produk kurma yang diproses dan dijual termasuk molas kurma, tahini, bebola kurma, kiub, kurma sumbat, ma'amoul, biskut, kek, roti, biji kopi,  biji dikisar dan pemanis semula jadi.

Penjual kurma Ahmad Al-Mahdi berkata permintaan kurma meningkat dengan ketara kira-kira lima hari sebelum Ramadan, dengan kurma Khalas dan Sukkari antara yang paling popular. 

Beliau menjelaskan lagi Al-Ahsa terkenal dengan kurma Khalas, Shishi, Khunaizi, dan Hilali, manakala Qassim terkenal dengan kurma Khalas, Sukkari, Rashoudiah, dan Nabtat Ali.

Sementara itu, Madinah terkenal dengan kurma Ajwa, Majdool, Mabroom dan Sukkari namun harga kurma berbeza berdasarkan jenis, berat, saiz dan kualiti.

Seorang lagi penjual kurma, Saad Siraj berkata jualan kurma meningkat dua kali ganda setiap kali Ramadan menghampiri, kerana ia adalah antara musim puncak untuk pembelian kurma.

Beliau berkata kebanyakan kedai kurma berusaha untuk menyediakan aneka jenis kurma dan produk kurma yang diproses untuk memenuhi cita rasa yang berbeza, memastikan setiap pelanggan mendapatkan pilihan digemari mereka.
 
Sumber : Bernama/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita