Ketupat palas ikat erat tradisi Aidilfitri
Bau harum pulut yang bersatu dengan wangi daun palas memenuhi segenap ruang, membangkitkan nostalgia indah yang tersimpan di hati.
Ketupat palas jualan Cik Zainun bukan sahaja menjadi kegemaran penduduk sekitar, malah ia turut menembusi sempadan negeri Kelantan. (Gambar: Bernama)
Setiap lipatan ketupat yang dihasilkan bukan sekadar hidangan, bahkan ia merupakan warisan yang teranyam dalam setiap helaian.
Di dapur kecil yang tidak pernah sunyi, tangan Cik Zainun Ibrahim, 45 tahun, lincah melipat, mengisi dan mengikat.
Masa seakan berlumba dengannya, namun beliau tetap setia meneruskan seni warisan yang telah sekian lama berakar dalam kehidupannya.
Pengusaha ketupat palas itu mengatakan bahawa dia sudah tidak lagi menerima tempahan bagi menu wajib Aidilfitri itu. Ini kerana tempahan bagi ketupat palas tersebut sudah penuh.
Menurut beliau, lebih 3,000 biji ketupat ditempah sejak awal Ramadan, dan jika tempahan diterima lagi, Cik Zainun bimbang ia tidak sempat disiapkan.
Setiap helai daun palas yang dibentuk bukan sekadar membungkus pulut tetapi ia juga menyimpan kisah mengenai sebuah tradisi yang diwarisi daripada ibunya yang berusia 62 tahun, Cik Salmah Ismail.
"Saya bersama anak sulung, Nur Salmi Atirah Zulmuni, 25 tahun, serta ibu berganding bahu menyiapkan tempahan. Kami seakan satu pasukan yang bersatu demi meneruskan legasi keluarga.
"Setiap Ramadan, tempahan tetap bertali arus. Ada pelanggan yang menempah lebih awal kerana takut kehabisan. Bagi mereka, ketupat palas ini bukan sekadar makanan tetapi lambang kemeriahan Aidilfitri yang sebenar," kata Cik Zainun kepada Bernama pada Selasa (18 Mac).
Bukan hanya penduduk sekitar, ketupat daun palas Cik Zainun kini menembusi sempadan Kelantan.
Malah, pelanggan dari jauh sanggup datang untuk mencarinya. Ada yang menggemari ketupat lemak yang kaya dengan santan, ada yang memilih ketupat manis yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak, ketupat kacang yang lebih mengenyangkan, serta ketupat serunding yang beraroma harum rempah yang menggoda selera.
"...dengan bantuan emak dan anak, dalam empat jam kami mampu menyiapkan sekitar empat kilogram (kg) ketupat. Tapi jangan salah sangka, kerja ini nampak mudah, tetapi kalau lipatan tidak kemas, ketupat boleh terbuka ketika direbus," kata beliau.
Menurut Cik Zainun, ketupat palas berkenaan dijual pada harga antara RM1.40 (S$0.42) hingga RM1.60 (S$0.48) sebiji dan ketupat tersebut bukan sekadar juadah, tetapi kenangan yang terikat kukuh dalam setiap bungkusan.
"Saya selalu fikir, ketupat ini bukan sekadar makanan pagi raya. Ia adalah kasih sayang, harapan dan kisah yang tidak boleh hilang begitu sahaja.
"Saya harap anak saya akan meneruskan tradisi ini, supaya setiap anyaman daun palas terus menyimpan cerita dan terus menjadi sebahagian daripada Aidilfitri," kata Cik Zainun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.