Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ketahui asal usul dan keistimewaan Nasi Kandar banjir kuah serta lokasi untuk nikmati sajian ini

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Nasi Kandar merupakan antara hidangan yang digemari ramai.

Terutama bagi yang suka menikmati lauk berempah seperti kari ikan, ayam goreng dan sebagainya.

Berasal dari Pulau Pinang di Malaysia, hidangan nasi beraneka lauk ini merupakan antara sajian yang popular kerana ia mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Zaman ini, Nasi Kandar boleh dikategorikan sebagai makanan yang mewah. Apakan tidak, satu hidangan boleh mencecah sehingga belasan dolar, semuanya bergantung kepada pilihan lauk-pauk dan sampingannya.

Tahukah anda, Nasi Kandar adalah makanan pekerja buruh pada suatu ketika dulu di daerah pelabuhan Pulau Pinang. Menurut sejarah, Penang yang juga dikenali sebagai Pulau Pinang terkenal sebagai pusat pelabuhan utama di tanah Melayu pada zaman dahulu.

Pelabuhan ini merupakan kawasan yang sangat sibuk, sekali gus merupakan tempat ramai penduduk setempat dan luar negeri yang tiba untuk mencari rezeki. Kehadiran banyak kapal yang berlabuh dan berulang-alik dengan muatan kargo memerlukan banyak tenaga manusia yang ramai merupakan golongan buruh.

Dari situlah tercetusnya idea orang-orang di sana untuk menghasilkan Nasi Kandar. Peniaga akan tiba membawa makanan kepada pekerja bawahan dengan membawa nasi dan aneka lauk. Sejak itu Nasi Kandar mula menarik perhatian ramai dan semakin popular. Apakan tidak, nasinya banyak dan ia sangat mengenyangkan.

Setiap sajian meriah dengan hidangan nasi bersama sampingan seperti ikan goreng, kari ikan, sayuran seperti bendi dan inilah menu asal Nasi Kandar. Awal pagi, peniaga Nasi Kandar akan tiba di kawasan pelabuhan kerana ramai pekerja pelabuhan akan bersarapan pagi dan memerlukan sajian yang berat lagi mengenyangkan agar mereka dapat menahan lapar sampai ke petang.

Kini, Nasi Kandar sudah tidak lagi menjadi santapan buruh, tetapi merupakan antara menu kegemaran ramai. Terutama bagi yang gemar menikmati nasi dengan campuran lauk- pauk, terutamanya kari.

Tidak kiralah siapa sahaja yang menjual hidangan ini, pasti setiap satu mempunyai cara dan cita rasa yang berbeza-beza. Setiap hidangan mempunyai ciri-ciri dan cara masakan yang tersendiri. Yang pasti, anda tidak perlulah bersusah payah untuk ke seberang tambak atau jelajah sampai ke Pulau Pinang untuk mencari Nasi Kandar asli.

Di Singapura juga terdapat banyak tempat yang menawarkan hidangan popular ini. Ada yang dijual di kedai makan, restoran dan juga hasil air tangan perniagaan dari rumah. Yang mana satu menjadi pilihan anda, semuanya terpulang kepada cita rasa masing-masing. Tepuk dada tanya selera!

Anda Mesti Cuba 5 Nasi Kandar Ini

1. Soul Kitchen by Ana

(Gambar: Soul Kitchen by Ana)
Berbeza dengan yang lain, jenama ini merupakan perniagaan dari rumah dan menawarkan pelbagai menu termasuk hidangan Nasi Kandar yang menjilat jari. Aroma nasi dan lauk-pauknya wangi dan akan membuat sesiapa saja tidak sabar untuk menikmatinya.

Bergantung kepada pilihan set, ia merangkumi lauk-pauk seperti ayam goreng berempah, daging masak kicap, kari kambing, kuah kari ikan, papadum, sotong, udang dan sebagainya.
(Gambar: Soul Kitchen by Ana)
Harga tambahan dikenakan jika ingin menambah lauk sampingan yang lain. Harga setiap set perseorangan dari S$14 dan set platter untuk 4 orang S$55.

Layari IG: @soulkitchenbyana untuk membuat tempahan

2. Restoran Imam Banana Leaf
(Gambar: Roslan Naim)

Ada yang kata inilah Nasi Kandar 'original' di Singapura. Betul ke? Anda boleh membuat penilaian anda sendiri kerana lauk-pauknya semuanya akan membuat anda terliur. Apa yang lebih menarik, restoran ini menyajikan hidangan ini dengan menggunakan daun pisang.

Inilah yang membuatnya berbeza daripada yang lain selain cara masakannya. Terpulanglah kepada pilihan masing-masing. Yang pasti, apabila berada di sini anda mempunyai pelbagai pilihan lauk-pauk dari hujung ke hujung.

Harga setiap set dianggarkan S$15 bergantung kepada lauk yang dipilih.

Alamat: 12 Lor 1 Geylang, S(389120). Dibuka 24 jam

3. Al-Ameen Eating Corner

(Gambar: Al-Ameen Marsiling)
Terletak di Marsiling, tempat makan ini menawarkan pelbagai pilihan lauk-pauk Nasi Kandar. Apa yang menarik, apabila ke sini bersama keluarga atau rakan-rakan, anda bolehlah makan berdamai sambil berkongsi set Nasi Kandar yang dipesan.

Setiap set dianggarkan berharga S$13 termasuk pelbagai pilihan lauk-pauk.

Inilah antara tempat makan yang popular dan menjadi kegemaran ramai kerana pilihan menunya yang luas dan menepati selera semua golongan usia.

Alamat: 35 Marsiling Industrial Estate Road 3 #01-11 Central Industrial Estate, S739257 (Nasi Kandar 9.00 pagi – 3.00 petang). Dibuka 6.00 petang – 2.00 pagi setiap hari.

4. ABC Nasi Kandar Restaurant
(Gambar: Foursquare))
Inilah antara rangkaian yang paling popular – ABC Nasi Kandar Restaurant yang tidak asing lagi bagi penggemar hidangan ini. Mula beroperasi lebih lima tahun yang lalu dan mempunyai rangkaian cawangan di merata Singapura.

Restoran ini terkenal dengan Nasi Kandar dan lauk-pauk tandoori utara India dengan harga yang berpatutan.

Ada di antara pelanggan yang membuat perbandingan rasa sajian di sini dengan di Pulau Pinang dan ramai mendapatinya syok sehingga menjilat jari. Cubalah!
Harga satu hidangan bersama lauk pauk dianggarkan S$16.

Alamat: 67 Desker Road S209590. Waktu operasi: 24 jam dan 44 Changi Road S419703. Waktu operasi: 6.00 pagi – 8.30malam setiap hari.

5. Al Azhar
Jenama yang tidak asing lagi sejak berdekad yang lalu. Tempat makan popular ini menawarkan pelbagai sajian termasuk nasi kandar dan aneka lauk- pauk. Dibuka hingga lewat pagi dan menjadi tumpuan ramai untuk bersembang sehingga lewat sambil menikmati pilihan makanan masing-masing.

Harga sepinggan Nasi Kandar dianggarkan S$15 bergantung kepada pilihan lauk.

Alamat: 201D Tampines St. 21, #01-1155, S524201 (8.30 pagi - 11.30 malam), 11 Cheong Chin Nam Road S599736 (9.00 pagi - 1.30 tengah hari) dan 970 Geylang Rd, #01-02, S423492 (12.00 tengah hari -12.00 tengah malam)

4 Perkara Tentang Nasi Kandar

Gemar makan hidangan ini, ketahui antara zat-zat yang terkandung di dalamnya. Apa pun yang penting makan berpada-pada.
Gambar hiasan: Unsplash
• Lauk gulai Nasi Kandar selalunya cair dan kurang berminyak. Apa yang menariknya gulai ini tidak mengandungi santan. Hasilnya, gulainya kurang kolestrol berbanding dengan gulai yang biasa. Selalunya lauk gulai kebanyakannya menggunakan santan dan berminyak.

• Pilihan Nasi Kandar dikatakan adalah lebih baik daripada nasi putih yang sering dinikmati ramai kerana ia tidak mempunyai kanji. Berbeza dengan cara masakan nasi biasa di rumah, semasa menyediakan Nasi Kandar, kanji dibuang agar kandungan gula dapat dikurangkan.

• Kandungan rempah yang lebih pada gulai Nasi Kandar juga dikatakan dapat membantu melancarkan pengaliran darah, membakar lemak, antioksidan selain menstabilkan kadar gula dalam darah.

• Bendi sering menjadi lauk sayuran yang popular dalam Nasi Kandar. Bendi diperkaya dengan antioksidan, baik untuk kulit, mengandungi vitamin C, dapat mengurangkan kolesterol selain baik untuk kecerdasan otak dan juga otot.
Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan