Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kes denggi meningkat; bagaimana elak digigit nyamuk

Anggaran Waktu Membaca:
Kes denggi meningkat; bagaimana elak digigit nyamuk

Gambar nyamuk Aedes. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 18 May 2022 12:28AM Dikemas Kini : 18 May 2022 12:30AM

SINGAPURA: Anda tidak perlu meredah Hutan Simpanan Bukit Timah atau beriadah di Kebun Bunga untuk digigit nyamuk. 

Semasa berada di dalam rumah pun, dengan tingkap tertutup dan alat hawa dingin dihidupkan, anda tetap boleh diserang nyamuk. Anda hanya akan sedar sudah digigit apabila terasa gatal. Namun, ketika itu, anda mungkin sudah terlambat jika digigit nyamuk Aedes.

Lebih 6,000 kes denggi dilaporkan sejauh ini iaitu  lebih tinggi berbanding jumlah yang dilaporkan sepanjang tahun lalu sebanyak 5,258, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA). 

Sebanyak 941 kes dilaporkan bagi minggu berakhir 23 April, naik 28 peratus, atau 208 kes, berbanding 733 kes yang dilaporkan minggu sebelumnya. Dan ia berlaku sebelum musim kemuncak denggi yang biasanya jatuh antara Jun hingga Oktober, menurut NEA. 

CARA SELAMAT HALAU NYAMUK

Cara paling mudah untuk elak digigit nyamuk adalah dengan menggunakan semburan serangga dan memakai pakaian lengan panjang. 

Untuk memastikan rumah anda tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk, anda boleh membuang air bertakung di rumah anda. Anda juga boleh memasang skrin nyamuk di tingkap atau menyembur racun serangga aerosol di sudut-sudut gelap, menurut NEA. 

Selain kaedah-kaedah ini, terdapat banyak produk di pasaran yang dapat melindungi anda daripada gigitan nyamuk. Namun, adakah produk-produk itu betul-betul berkesan?

APLIKASI HALAU SERANGGA
Aplikasi sedemikian menghasilkan frekuensi bunyi yang dapat menghalang nyamuk daripada menggigit anda.

Walaubagaimanapun, menurut pakar entomologi perubatan Rentokil Dr Chan Hiang Hao, aplikasi ini besar kemungkinannya satu penipuan. Tegas beliau, tiada sebab dan kajian saintifik yang kukuh untuk membuktikan ia berkesan. 

GELANG TANGAN DAN PELEKAT 
Produk ini selalunya mengandungi minyak serai atau bahan  'citronella', yang mempunyai bau yang sangat kuat apabila dikeluarkan daripada bungkusannya. Namun, ia mungkin hanya membuat anda berbau wangi. 

"Malangnya, minyak pati dan aromaterapi, termasuk serai yang dipercayai ramai, tidak berkesan," kata Dr Chan. 

"Gelang tangan dan pelekat juga tidak berkesan kerana liputannya terhad. Ia hanya melindungi anda di bahagian-bahagian di mana ia dilekat atau dipakai," tambahnya. 

PENGHALAU SERANGGA
Semburan menghalau  serangga yang mengandungi DEET (N,N-diethyl-m-toluamide), picaridin atau IR3535 sebagai bahagian bahan aktif adalah produk yang paling berkesan menghalau nyamuk. 

"Produk-produk ini juga selamat digunakan oleh wanita yang hamil dan ibu-ibu menyusu. Produkyang mengandungi jumlah DEET kurang 10 peratus selamat digunakan untuk kanak-kanak kecil dan bayi berusia dua bulan ke atas," kata seorang jurucakap NEA. 

Namun, keberkesanan penghalau serangga yang mengandungi bahan-bahan tanaman, seperti minyak serai wangi, minyak kayu putih dan minyak-minyak lain, berbeza buat setiap orang. Produk-produk tersebut juga perlu kerap disembur, tambah jurucakap NEA. 

RACUN SERANGGA AEROSOL
Penyembur racun boleh membunuh nyamuk, sekiranya anda menggunakan racun yang betul. 

Sebelum anda menggunakan alat penyembur itu, semak kandungannya, kata pakar entomologi Jo-Lynn Teh di laman web Thermacell Singapore. 

"Racun serangga aerosol ini berbeza bagi serangga yang merangkak (formula seperti minyak) dan serangga yang terbang (formula seperti air). Jika anda menggunakan racun serangga yang salah tanpa membaca labelnya, bilik anda akan berminyak dan anda juga akan mendedahkan diri kepada bahaya," katanya. 

PERANGKAP SERANGGA
Alat-alat berlampu ini selalunya mengeluarkan lampu ultra ungu (UV) untuk memikat nyamuk. Ruang di antara jaring besi itu cukup bagi seekor nyamuk dibunuh oleh gelombang elektrik alat itu. 

Namun, alat-alat ini mungkin tidak selalu berkesan. Walaupun ia boleh membunuh lebih 10,000 pepijat dalam satu malam, bukan semuanya adalah nyamuk. 

GEGELUNG UBAT NYAMUK
Jika anda masih menggunakan ubat nyamuk ini, mungkin anda boleh pertimbangkan kaedah-kaedah lain, kata Dr Chan. 

"Ia mengeluarkan asap dan bau yang tidak wangi. Produk ini juga menimbulkan risiko kebakaran dan mengotorkan kawasan itu dengan debu," tambah Dr Chan. 

Sebaliknya, beliau menyarankan untuk menggunakan pengewap elektrik cairan. "Ia lebih mesra pengguna tanpa sebarang asap atau bau. Ia juga tidak akan mencetuskan kebakaran dan boleh bertahan lama sekitar satu hingga dua bulan."

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa