Kerja dari rumah: Baik untuk lindungi diri dari pandemik tetapi mungkin tidak bagi mata anda
Aturan kerja dari rumah yang menjadi pilihan sekarang ini bagi ramai pekerja di tengah-tengah COVID-19 tidak begitu baik dari segi kesihatan mata untuk sebahagian orang.
Gambar hiasan: istock
SINGAPURA: Aturan kerja dari rumah yang menjadi pilihan sekarang ini bagi ramai pekerja di tengah-tengah COVID-19 tidak begitu baik dari segi kesihatan mata untuk sebahagian orang.
Sekitaran pejabat di rumah kurang sempurna, batas kabur antara waktu bekerja dengan waktu lain di rumah serta kurang merehatkan mata daripada melihat skrin komputer antara isu yang menyumbang kepada masalah keletihan mata digital dan bintik atau tompok-tompok terapung dalam penglihatan seseorang, menurut para pakar.
MASALAH MATA
Pakar Bedah Mata dari Pusat Pakar Mata Atlas, Dr David Chan, berkata bahawa kliniknya menyaksikan kenaikan 20 peratus antara Jun 2020 dengan Mei 2021 dalam bilangan mereka yang mengadu tentang masalah keletihan mata, mata kering dan tompok-tompok terapung dalam mata.
Disebabkan bekerja tanpa rehat yang secukupnya, seseorang individu kurang mengerdipkan mata lantas menyebabkan mata menjadi kering, kata beliau.
Mata yang letih biasanya disebabkan oleh sekitaran kerja yang kurang cahaya atau terlalu terang dan membaca teks bersaiz lebih kecil pada skin yang lebih kecil, tambahnya.
Mereka yang bekerja menggunakan skin terang dan yang memaparkan latar bercorak seragam seperti 'word document' atau 'spreadsheet' lebih cenderung mengalami tompok-tompok terapung dalam penglihatan mereka, kata beliau lagi.
KESAN KE ATAS PELAJAR
Kanak-kanak dan para pelajar juga tidak terkecuali, kata para pakar.
Cik Chui Wen Juan, naib presiden Persatuan Optometri Singapura berkata bahawa para optometris menyaksikan pertambahan dalam jumlah kanak-kanak yang perlu memakai cermin mata.
"Kami merawat ramai kanak-kanak yang mengalami masalah ketara rabun jauh, mungkin juga disebabkan lebih banyak pembelajaran di rumah tetapi juga mungkin disebabkan mereka menangguh untuk berjumpa dengan optometris kerana proses pemeriksaan kesihatan di sekolah-sekolah digantung buat sementara waktu," jelas beliau.
Seorang pelajar mendapatkan pemeriksaan mata. (Gambar: Jeremy Long)
Kurangnya kegiatan luar juga boleh memburukkan masalah rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak.
BAGAIMANA LINDUNGI MATA
Para pakar menyarankan agar merehatkan mata, mengerdipkan mata dan meletakkan peralatan teknologi dengan betul sebagai sebahagian langkah untuk melindungi mata.
"Rehatkan mata daripada melihat skin dengan memandang jauh (sekurang-kurangnya tiga meter atau lebih) selama 20 saat setiap 20 minit," nasihat Cik Chui.
Dr Wesley Chong dari Pusat Mata Nasional Singapura pula mengesyorkan agar meletakkan skrin komputer para jarak lima atau 40 darjah di bawah garis penglihatan dan dua kaki jauh - iaitu kedudukan yang terbaik bagi keselesaan mata dan tengkuk.
Seorang lagi doktor mata, Dr Natasha Lim pula mengingatkan orang ramai agar mengerdipkan mata. Katanya, kadar mengerdipkan mata secara automatik berkurangan daripada setiap 15 saat kepada setiap dua atau tiga minit apabila seseorang itu menggunakan komputer atau telefon bijak.
Beliau menyarankan agar cecair pelembab mata digunakan untuk memastikan kesihatan permukaan kornea. Membiarkan mata kering boleh menyebabkan penglihatan menjadi "kabur", kata Dr Lim.
Ia seperti kulit kita, tambah beliau.
"Jika anda tidak merawat keadaan kulit kering, anda akan mengalami lebih banyak kerut pada muka apabila sudah berusia."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.