Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kerap 'semut-semut' sewaktu bangun tidur perlu diberi perhatian

Anggaran Waktu Membaca:
Kerap 'semut-semut' sewaktu bangun tidur perlu diberi perhatian

Gambar hiasan. (Gambar: Agensi berita/ Sinarplus)

Diterbitkan : 03 May 2022 11:04PM Dikemas Kini : 03 May 2022 11:05PM

KUALA LUMPUR: Pasti ramai yang mengalami rasa kebas atau 'semut-semut' ketika bangun tidur. Ia biasanya berlaku ketika salah satu bahagian tubuh tertindih ketika tidur.

Ini disebabkan peredaran darah yang tidak lancar kerana tekanan pada saraf.

Menurut Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad, kebas yang hanya berlaku sekali-sekala adalah perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan, lapor Sinarplus.

Bagaimanapun ujarnya, keadaan itu boleh membimbangkan jika ia kerap berlaku dan boleh menjadi petanda kepada beberapa penyakit termasuklah:

1. Carpal Tunnel syndrome

Penyakit ini disebabkan oleh tekanan pada saraf utama di bahagian depan pergelangan tangan. Selain kerap kebas ketika bangun tidur, gejala lain penyakit ini adalah cengkaman tangan jadi kurang kuat dan mudah lenguh.

2. Spondylosis serviks leher

Menurut Sinarplus, penyakit ini disebabkan oleh cengkaman tulang belakang pada bahagian leher. Biasanya, masalah kesihatan ini sering berlaku dalam kalangan orang tua. Selain kesemutan, tanda-tanda lain spondylosis serviks leher adalah tengkuk menjadi kaku selain kaki hilang sensasi.

3. Neuropati Perifer

Ia adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh kerosakan pada sistem saraf. Saraf ini bertugas menerima dan mengirim signal antara sistem saraf utama dan tubuh.

Gejala neuropati perifer yang biasa adalah sering mengalami kesemutan terutamanya ketika bangun pada waktu pagi, tubuh berasa sakit ketika bangun dan telinga berdengung.

4. Kencing Manis

Diabetes (kencing manis) adalah penyakit kronik yang menyebabkan gula dalam darah tinggi.

Keadaan ini berlaku ketika tubuh tidak efektif memberi respons terhadap insulin.

Salah satu gejala penyakit itu adalah kebas, tubuh berasa sengal selain kehilangan deria rasa dan sentuhan pada kaki.

5. Kekurangan Vitamin B12

Vitamin B12 berguna untuk memastikan otak dan saraf berfungsi dengan baik.

Kekurangan vitamin B12 boleh disebabkan oleh masalah kesihatan seperti gastrik dan penyakit autoimun, lapor Sinarplus.

Gejala kekurangan vitamin B12 antara lain anggota badan kebas, sakit sendi dan otot serta nafsu makan menurun.

Jadi, jika tubuh kerap mengalami masalah semut-semut ini, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut, tambah lagi jika ia berlarutan lebih daripada beberapa minit.

Semoga bermanfaat!

Sumber : Agensi berita/KF/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa