Kerap bersin tanpa sebab selepas divaksin mungkin simptom COVID-19
Seperti yang diketahui, mereka yang sudah divaksin sepenuhnya masih boleh dijangkiti COVID-19.
Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR: Seperti yang diketahui, mereka yang sudah divaksin sepenuhnya masih boleh dijangkiti COVID-19.
Perbezaannya, mereka yang sudah lengkap divaksin kebiasaannya mengalami gejala yang ringan, atau langsung tiada gejala.
Namun para penyelidik menemui satu gejala biasa yang dialami mereka yang sudah lengkap divaksin, iaitu bersin.
Bersin boleh disebabkan oleh alahan, selesema biasa, atau alahan debu, namun bersin yang berlebihan dalam kalangan individu yang telah divaksin sepenuhnya boleh menjadi satu gejala COVID-19.
Itulah dapatan kajian pengendali aplikasi ZOE COVID Symptom Study yang merupakan kajian terbesar berkaitan COVID-19 setakat ini.
"Data kami menunjukkan bahawa mereka yang sudah divaksin dan kemudian diuji positif COVID-19 lebih cenderung melaporkan bersin sebagai gejala, berbanding mereka yang belum divaksin," kata penyelidik seperti yang dipetik dalam portal Independent UK.
Bagaimanapun, belum ada pengesahan dari segi sains yang membuktikan bersin sememangnya adalah gejala COVID-19.
Justeru, orang ramai diminta berwaspada terhadap gejala-gejala lain, sama ada mereka yang sudah divaksin atau belum.
"Gejala lain termasuk demam, sakit badan, batuk berterusan, hilang deria rasa atau bau, sakit kepala, keletihan dan sesak nafas. Jangan fokus pada bersin sahaja.
"Sekiranya anda telah diberi vaksin dan kerap bersin tanpa sebab, pergilah menjalani ujian saringan, terutama jika anda tinggal atau bekerja di sekitar mereka yang berisiko," tambah para penyelidik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.