Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kerana minat mendalam, tukang paip ini bertukar jadi pembuat rebana

Minat mendalam terhadap irama dan alunan hasil paluan rebana mendorong seorang lelaki menukar kerjayanya daripada tukang paip kepada pembuat rebana.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerana minat mendalam, tukang paip ini bertukar jadi pembuat rebana

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 13 Oct 2020 10:48PM Dikemas Kini : 13 Oct 2020 10:51PM

PASIR SALAK: Minat mendalam terhadap irama dan alunan hasil paluan rebana mendorong seorang lelaki menukar kerjayanya daripada tukang paip kepada pembuat rebana.

Encik Kassim Ibrahim, 43 tahun, berkata beliau mula melibatkan diri menghasilkan alat muzik itu yang cukup sinonim dengan orang Melayu, sejak empat tahun lalu.

Bahkan kini, bapa kepada empat orang anak itu boleh berbangga apabila bukan saja pandai bermain rebana tetapi juga menjadi guru mengajar mereka yang berminat membuat rebana.

"Disebabkan saya bermain rebana dan mengajar membuat rebana, maka saya mahukan kualiti bunyi yang baik, sebab itu walaupun tanpa bimbingan sesiapa saya cuba membuatnya dengan menggunakan kelengkapan sendiri," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Pulau Gajah, Pasir Panjang Ulu baru-baru ini.

Menurut Encik Kassim, beliau menghasilkan empat jenis rebana iaitu penengkah, penyelang, pembandung dan pelalu yang kesemuanya diperbuat daripada kayu halban serta kulit lembu jantan berumur tiga tahun ke atas.

Katanya lagi, proses penghasilan bermula dengan memotong kayu sehingga berbentuk bulat mengikut diameter tertentu, membuat bingkai atau dipanggil melarik, memasang dan melicinkan kulit sebelum mencantikkannya.

"Kulit lembu saya beli secara pukal dengan harga RM100 (S$33) sekeping manakala kayu halban saya peroleh dari kawasan hutan sekitar. Untuk mengeringkan kulit lembu ia memakan masa antara dua minggu sehingga sebulan," katanya.

Beliau berkata untuk menghasilkan sebiji rebana 'penengkah' yang menghasilkan bunyi lebih kuat, ia memakan masa sehingga enam bulan kerana kulit lembu perlu diregangkan secukupnya namun untuk rebana 'pelalu' dan lain-lain hanya mengambil masa kira-kira dua minggu saja.

Menyifatkan rebana sebagai simbol kasih sayang kerana ia perlu dimainkan secara berpasangan, Encik Kassim berkata satu set alat muzik tradisional itu yang mengandungi 10 pelalu serta masing-masing satu penengkah, penyelang dan pembandung berharga sekitar RM2,700 (S$885) hingga RM3,000 (S$983).

"Bukan semua orang boleh membuat rebana kerana ia memerlukan ketelitian, kesabaran dan kasih sayang yang tinggi. Kalau untuk mengejar keuntungan memang tidak boleh, kerana tenaga, masa dan kos yang keluar tidak berbaloi dengan harga jualan," katanya.

Ditanya mengenai 'masa depan' rebana, Kassim berkata pihak bertanggungjawab perlu melakukan sesuatu supaya seni warisan Melayu itu tidak dilupakan.

"Kumpulan yang bermain alatan rebana ini masih ramai, cuma pembuatnya mungkin tidak ramai, saya berharap ia dapat diberi perhatian agar warisan ini tidak terkubur begitu saja. Satu kerugian sekiranya seni rebana ini dilupakan oleh generasi masa kini,” katanya lagi.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan