Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kentang makanan versatil; ketahui khasiat, jenis dan cara elak cepat rosak

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pernahkah anda dengar petua orang lama - kalau masakan terlebih garam atau rasa masin letakkan kentang di dalamnya kerana ia dapat mengurangkan rasa masin dalam masakan anda. Ternyata kentang mempunyai pelbagai kegunaan.

Bukan saja dapat kurangkan rasa masin dalam masakan, tapi juga membuat sajian lebih menyelerakan.

Berbeza dengan sayuran dan buah-buahan sitrus yang lain, kandungan vitamin C dalam kentang tidak mudah hilang setelah dimasak kerana kehadiran kanji dan sari pati.

Lantas, ia juga merupakan alternatif yang baik untuk mereka yang ingin berdiet. Kentang juga mampu menggantikan makanan ruji seperti nasi dan roti.

Pelbagai khasiat kentang yang sudah dikaji. Antaranya vitamin C, B1, B2, B3 selain potassium yang dua kali ganda berbanding pisang. Kentang yang bermutu juga mengandungi asam amino yang digelar zat lysine, ia baik untuk pertumbuhan tubuh dan otak. Selain itu ia juga mengandungi protein dan zat besi yang dapat membantu untuk mengawal tekanan darah.

Jika diperhatikan kentang merupakan antara makanan yang digemari ramai di merata dunia. Ia dianggarkan lebih satu bilion penduduk dunia menjadikan kentang sebagai hidangan utama harian mereka. Kentang boleh dibakar, dilenyek, direbus, dipanggang dan dihidangkan mengikut citarasa masing-masing.

Kentang goreng atau 'french fries' misalnya merupakan sajian popular yang disukai ramai tidak kira usia. Enak diratah begitu saja selagi hangat atau dicicah dengan sos cili. Selain digoreng kentang juga merupakan bahan utama untuk membuat sajian seperti shepherds pie yang dibakar dan berintikan daging atau ayam.

Dalam masakan Melayu pula, kentang sering dijadikan sebagai bahan dalam lauk pauk seperti kari, sup daging atau ikan, dalca, kentang belado selain ia dilenyek untuk membuat begedil dan dipadankan dengan kuah rawon.

Jika inginkan begedil yang lembut dan rasa sedap penting untuk menggunakan kentang yang bermutu dan sekaligus dapat menikmati zat yang terkandung di dalamnya walaupun ia digoreng.

Di sebalik cara masakan versatil yang menggunakan kentang ada juga yang bertanggapan kentang menyebabkan tubuh menjadi gemuk.

Namun semua itu terletak pada cara memasak, bahan-bahan lain yang digunakan dan jumlah sajian anda. Jika bijak mengawal pemakanan, tubuh tidak akan membesar seperti belon walaupun anda kerap menikmati kentang.

Selain itu, tahukah anda walaupun kulit kentang nipis, di situlah juga terletaknya khasiat penting untuk kesihatan. Oleh itu, elak daripada mengupas kulitnya. Sebaliknya cuci kulit kentang bersih-bersih sebelum masak dan buat pemilihan kentang yang tepat.

JENIS-JENIS KENTANG

Tahukah anda terdapat lebih kurang 100 jenis kentang yang boleh diperolehi di negara Barat seperti Amerika Syarikat. Tapi, hanya beberapa jenis sahaja yang menjadi pilihan ramai atau popular.

Di Singapura kentang kuning sering digunakan dalam masakan seharian, ia mudah dibeli di pasar dan kedai-kedai runcit. Namun, jika inginkan kentang premium yang warnanya merah, jenis russet, fingerling dan sebagainya ia lebih mudah diperolehi dari pasaraya-pasaraya terkemuka.

PUTIH

Mudah diperolehi di mana saja, kentang ini bersaiz kecil hingga sederhana. Bentuknya bulat dan panjang sementara kulit serta isinya berwarna putih.

Mempunyai kadar gula yang rendah tapi masih dapat rasa manisnya. Boleh digoreng, dipanggang dan menjadi bahan lauk pauk.

UNGU

Kulit dan isinya berwarna ungu dan biru. Saiznya sederhana dan mempunyai kadar gula yang rendah.

Rasanya sedikit tawar tapi enak dipanggang atau dibakar dan digandingkan dengan salada serta sos pilihan.

RUSSET

Bersaiz sederhana hingga besar dan bentuk bujur. Berkulit mulus dan isinya putih atau kuning pucat. Kandungannya mempunyai jumlah gula yang sederhana dan manis.

Kentang russet ini sesuai untuk dibakar, digoreng, dilecek atau dipanggang.

MERAH

Saiznya agak bulat dan sederhana. Kulitnya nipis berwarna merah tapi isinya putih. Kadar kandungan gulanya kurang namun masih mempunyai rasa manis.

Tepat untuk digandingkan denga sajian salada selain dijadikan bahan dalam sup. Namun ia juga boleh dipanggang dan dilecek.

TIP ELAK KENTANG CEPAT BUSUK

Tidak kira sama ada kentang timbang atau yang sudah siap diletakkan di dalam plastik, pastikan anda periksa dengan teliti sebelum membelinya dan simpan di tempat yang sesuai.

Berikut 8 cara yang boleh anda lakukan di rumah:

  • Letakkan kentang dalam bakul yang berlubang. Anda boleh lapik bakul dengan kertas dan pastikan disimpan di tempat yang kering, gelap dan asingkan jauh dari bawang.
  • Bersihkan kulit kentang sebelum menyimpannya. Elak gunakan air. Sebaliknya anda boleh berus kotoran tanah yang masih bersisa pada kentang.
  • Usah beli kentang yang sudah ditumbuhi tunas kerana ia merupakan kentang ‘tua’ dan kurang berkualiti dan juga elak kentang yang warnanya lebam.
  • Pilih kentang yang bentuknya sempurna dan kulit yang bersih. Tekstur haruslah padat dan tidak mempunyai kesan terbelah atau retak kerana ia tidak dapat tahan lama dan akan cepat rosak.
  • Anda pernah perasan kulit kentang yang hijau? Elakkan daripada memilih kentang ini kerana ia sudah terdedah pada sinar matahari yang berlebihan.
  • Jika terdapat kentang yang rosak dalam simpanan anda, cepat-cepat asingkannya untuk elakkan daripada dicemari dengan kentang yang lain.
  • Jangan sesekali meletakkan kentang dalam peti sejuk kerana ia akan cepat rosak dan suhu sejuk juga boleh menukar kanji menjadi gula.
  • Untuk elakkan kentang yang sudah dikupas bertukar menjadi lebam, selepas kulitnya dikupas rendamkannya di dalam air sejuk terlebih dahulu sementara menanti untuk dimasak. Air sejuk dapat melindungi kentang daripada bertukar menjadi lebam atau gelap.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan