Skip to main content

Gaya Hidup

Kentang goreng boleh sebabkan barah? Berikut penjelasan pakar

Anggaran Waktu Membaca:
Kentang goreng boleh sebabkan barah? Berikut penjelasan pakar

Gambar: Agensi berita/ SinarPlus

SELANGOR: Snek makanan segera berupa kentang goreng memang sangat popular untuk hidangan masakan Barat.

Kalau di restoran makanan segera, mak ayah memang pening kepala melayan anak-anak yang suka sangat menikmatinya.

Memang tidak dapat dinafikan, sajian itu memang sedap. Kentang juga makanan yang berkhasiat dan berzat.

Namun hal menjadikan ia tidak sihat adalah menerusi cara kita memasak, lapor SinarPlus.

Antaranya apabila kita menggorengnya.

Mengulas lebih lanjut mengenai hal itu, Pakar Otak dan Kesihatan yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Brain Academy di Malaysia, Dr Rizal Abu Bakar berkata, kandungan dalam kentang goreng sebenarnya mempunyai 15 jenis bahan termasuklah garam, gula dan juga pewarna.

“Selain itu, terdapat juga bahan dimethylpolysiloxane iaitu bahan kimia yang dimasukkan ke dalam minyak untuk menggoreng kentang bagi mengelakkan minyak terpercik ketika proses menggoreng.

“Malah, bahan seperti sodium acid pyrophosphate dan tertbutylhydroquinone juga terdapat dalam kentang goreng,” jelas beliau seperti dinukil SinarPlus.

Ujar beliau lagi, hasil kajian mendapati, apabila makanan seperti itu diambil secara kerap, ia boleh memberi implikasi kepada penglihatan iaitu merosakkan mata.

"Di samping itu, makanan gorengan boleh tingkatkan penyakit kardiovaskular, jantung berlemak dan menyebabkan saluran darah tersumbat," katanya.

Bukan itu sahaja, ujar Dr Rizal, pakar pemakanan memberi amaran tentang risiko terbentuknya karsinogen akrilamida iaitu bahan kimia yang terhasil daripada makanan yang dimasak pada suhu tinggi sama ada digoreng, dipanggang atau dibakar.

TETAP UNDANG BANYAK PENYAKIT

Dalam pada itu, merujuk artikel Kompas, kadar akrilamida yang tinggi akan terbentuk ketika kentang dimasak pada suhu atas 120 darjah selsius.

“Penelitian pada haiwan mendapati bahawa akrilamida dalam makanan boleh dikaitkan dengan barah, tetapi kesannya kepada manusia belum dapat dikenal pasti,” ujar laman web itu.

Merujuk laman web Hello Sehat pula, sekiranya kentang digoreng dengan cara merendam seluruh bahagian kentang ke dalam minyak, kentang akan menyerap lemak yang lebih banyak.

“Jenis lemak tepu dan lemak trans yang terbukti dapat meningkatkan risiko penyakit jantung.

“Dalam 100 gram kentang goreng mempunyai 312 kalori yang bersamaan dengan satu hidangan sarapan dan boleh menyebabkan berat badan naik mendadak jika diambil secara kerap,” ujar laman web itu.

Tambah SinarPlus lagi, walaupun kajian masih belum terbukti bahawa kentang goreng boleh menyebabkan barah pada manusia, tetapi ia boleh mengundang pelbagai penyakit yang lain.

Ingat! elak makan kentang goreng secara berlebihan. Jika anda masih mahu makan kentang, anda boleh merebus atau menumisnya.

Kurangkan penggunaan minyak yang terlalu banyak.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita