Kenapa ketupat jadi sajian setiap Lebaran?

(Gambar hiasan: iStock)
JAKARTA: Sambutan Hari Raya Aidilfitri rasanya tidak lengkap jika tidak ada sajian ketupat. Sajian ketupat biasanya akan ada dengan aneka menu pendamping yang sangat ditunggu-tunggu.
Tahukah anda, ketupat bukan sekadar makanan biasa yang muncul ketika Lebaran. Ternyata ada sejarah panjang dari kemunculannya. Selain itu, ketupat juga memiliki nilai sejarah tersendiri. Berikut ini sejarah ketupat dan makna di sebaliknya seperti dipetik daripada laporan Kompas.com.
ASAL USUL KETUPAT
Awalnya, ketupat bukan tradisi yang dikaitkan dengan Islam maupun Lebaran. Hal tersebut pernah disampaikan oleh Sejarawan Universiti Padjajaran Bandung, Fadly Rahman, seperti dilaporkan Kompas.com pada 30 Mei 2019.
"Ketupat sudah ada pada masa sebelum Islam dan tersebar di wilayah hampir di Asia Tenggara dengan nama yang berbeza-beza. Selain itu, ketupat juga ada unsur-unsur tradisi animisme," ujarnya.
Menurut beliau, pada zaman dulu di Nusantara ada tradisi menggantung ketupat di tanduk kerbau untuk mewujudkan rasa syukur kerana hasil tuaian yang lumayan. Tradisi menggantung ketupat masih dilakukan di beberapa tempat sekarang ini.
Yang digantung adalah ketupat kosong. Ketupat kosong juga digantung di pintu rumah untuk menolak bala. Ketupat hanya mula dikaitkan dengan Lebaran, dek pengaruh Sunan Kalijaga.
Seperti diketahui, pada abad 15-16, Sunan Kalijaga merupakan pendakwah di Pulau Jawa yang cukup terkenal dalam menyiarkan agama Islam. Encik Fadly berkata Sunan Kalijaga memilih ketupat sebagai makanan khas Lebaran kerana dianggap dekat dengan kebudayaan masyarakat Jawa ketika itu. Cara itu kemudian dianggap menarik minat masyarakat Jawa pada Islam.
"Titik tolaknya ketika Sunan Kalijaga menyebarkan Islam di kalangan masyarakat Jawa yang ketika itu masih mula beragama Islam," ujar Encik Fadly. Akhirnya, ketupat tersebar luas dan setiap daerah memiliki nama masing-masing.
KETUPAT, KUPAT, TIPAT, KETUMPAT - SAMA TAPI TAK SERUPA
Di Jawa dan Sunda ketupat disebut dengan "kupat". Di bahagian Melayu, sebutannya ketupat. Di Bali, masyarakat menyebutnya dengan tipat. Ada juga wilayah lain yang menyebut ketumpat.
"Ketupat ini dari tradisi lisan (cerita rakyat) mula menjadi sajian biasa dilihat ketika Sunan Kalijaga dan nilai filosofinya tak ada kaitan dengan Islam," kata Sejarawan Universiti Negeri Surabaya (Unesa), Rojil Nugroho Bayu Aji seperti dilaporkan Kompas.com, pada 30 Mei 2019.
Orang Jawa dan Sunda menurut Encik Rojil,menyifatkan ketupat sebagai pengakuan kesalahan.
"Maknanya, 'kulo lepat, ngaku lepat' (Saya salah, saya mengakui kesalahan)," katanya. Dengan mengaku lepat (salah) dan minta maaf, ketika kesalahan dimaafkan maka persaudaraan pun terjalin.
Memetik Hermanus Johannes de Graaf, seorang sejarawan Belanda yang mengkhususkan diri menulis sejarah Jawa, ketupat pertama kali muncul di Tanah Jawa sejak abad ke-15, pada masa pemerintahan Kerajaan Demak ketika dipimpin Raden Fatah.
Bersumber dari Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu (1912), dipercayai ketupat yang dibuat dari beras yang dibungkus anyaman daun kelapa muda atau janur ada kaitan dengan budaya di wilayah pesisir.
Hal ini kerana pokok kelapa banyak tumbuh di dataran rendah.
Pembuatan ketupat yang harus dianyam dengan rumit juga punya makna tersendiri.
Kerumitan anyaman ketupat menggambarkan keragaman masyarakat Jawa yang harus dilekatkan dengan tali silaturrahim.
Selain itu, adanya warna kuning memberikan erti khas yang membezakan dari warna hijau dari Timur Tengah dan merah dari Asia Timur.
Bentuk segi empat ketupat yang begitu khas menggambarkan prinsip "kiblat papat, limo pancer (empat arah, satu pusat)", yang memiliki makna "ke mana pun manusia melangkah, pasti akan kembali pada Allah".
Bentuknya yang punya empat sisi itu juga melambangkan empat macam nafsu dasar manusia, yakni amarah (emosi), lawamah (lapar dan haus), sufiah (nafsu untuk memiliki sesuatu yang bagus atau indah), dan muthmainah (memaksa diri). Keempat nafsu dasar ini dikendalikan ketika puasa.
Lantas, dengan memakan ketupat ketika Lebaran, seseorang sudah dianggap mampu menahan nafsunya.
Sudahkah anda siap makan ketupat Lebaran kali ini?
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.