Skip to main content

Gaya Hidup

Kenangan nostalgia pacu permintaan cenderamata bertema SG jelang Hari Kebangsaan

Anggaran Waktu Membaca:
Kenangan nostalgia pacu permintaan cenderamata bertema SG jelang Hari Kebangsaan

Cenderamata berinsipirasikan Singapura oleh jenama tempatan WAI. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 28 Jul 2026 10:53PM
SINGAPURA: Peruncit berkata rakyat Singapura semakin menggemari hadiah dan cenderamata berinspirasikan barangan tempatan yang membangkitkan kenangan nostalgia, dengan permintaan meningkat menjelang Hari Kebangsaan.

Walaupun sebahagian besar pelanggan mereka terdiri daripada penduduk tempatan, beberapa perniagaan turut menyaksikan peningkatan minat daripada pembeli luar negara yang mencari cenderamata berinspirasikan Singapura.

Mereka percaya permintaan akan terus kukuh walaupun selepas sambutan Hari Kebangsaan.

KUDAPAN ZAMAN KANAK-KANAK SEBAGAI CENDERAMATA

Bagi jenama tempatan WAI, makanan ringan kegemaran semasa zaman kanak-kanak menjadi inspirasi kepada rangkaian produk terbaharunya.

Perniagaan itu bermula pada 2020 dengan pengasasnya menjual kuih ketika masih menuntut di universiti, sebelum mengembangkan perniagaan kepada biskut tradisional pada 2023.

Pada April tahun ini, syarikat itu sekali lagi mengubah hala tuju perniagaannya dengan melancarkan rangkaian barangan bercetak 3D yang diinspirasikan daripada pemandangan dan makanan ringan ikonik Singapura.

Antara produknya ialah rantai kunci dan magnet yang menyerupai biskut 'iced gem', tat telur, cawan kopi dan buku nota sekolah lama.
Related article image
Cenderamata berinsipirasikan Singapura oleh jenama tempatan WAI. (Gambar: CNA)
Pengasas bersama, Michael George, berkata rangkaian baharu itu kini menjadi antara segmen perniagaan syarikat yang paling pesat berkembang.

"Segmen barangan cenderamata sebenarnya berkembang sebanyak 30 peratus tahun ini sahaja. Pertumbuhannya jauh lebih pantas berbanding segmen makanan ringan kami," katanya.

"Ia benar-benar memberi kepuasan kepada kami kerana apa yang kami hasilkan disukai, dihargai dan dibeli oleh orang ramai, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga sebagai hadiah kepada orang lain."

Syarikat itu kini menjual kira-kira 300 rantai kunci setiap bulan dan menjangkakan jualan akan meningkat seganda menjelang Hari Kebangsaan.

Menurut Encik George, kira-kira 70 peratus pelanggan terdiri daripada rakyat Singapura, terutamanya golongan milenial dan Generasi Z, manakala selebihnya merupakan tempahan hadiah korporat.

Minat terhadap produknya juga mula berkembang di pasaran luar seperti Malaysia, Indonesia dan Hong Kong, walaupun Singapura kekal sebagai pasaran utamanya.

Beliau berkata idea menghasilkan produk itu tercetus daripada keinginan untuk mengubah objek harian di Singapura kepada bentuk yang boleh "dibawa, digunakan dan disimpan" oleh orang ramai.

Kini, inspirasi itu berkembang daripada makanan ringan nostalgia kepada produk seperti replika mini gantri ERP dan tanda harga kedai serbaneka.

MENGABADIKAN AROMA

Sementara itu, Lynk Fragrances pula mengetengahkan kenangan Singapura menerusi haruman.
Related article image
Lynk Fragrances pula mengetengahkan haruman yang diinspirasikan daripada aroma yang mengingatkan rakyat Singapura kepada suasana di rumah, iaitu haruman nasi putih yang baru dimasak dan teh oolong pandan. (Gambar: CNA)
Pengasas bersamanya, Datina Wee, berkata koleksi terbaharu syarikat itu tidak menggunakan haruman bunga seperti orkid, sebaliknya diinspirasikan daripada aroma yang mengingatkan rakyat Singapura kepada suasana di rumah.

Antaranya ialah haruman nasi putih yang baru dimasak dan teh oolong pandan.

Menurut Cik Wee, haruman nasi putih diinspirasikan daripada bau nasi yang baru dimasak dan menanti di meja makan selepas pulang dari sekolah atau tempat kerja, manakala haruman teh oolong pandan menawarkan sentuhan moden kepada aroma sarapan tradisional tempatan.

Koleksi itu menerima hampir 500 tempahan awal, dan syarikat itu menjangkakan jumlah tersebut akan melepasi 1,000 menerusi kempen pemasarannya.

Kira-kira 80 peratus pelanggan Lynk Fragrances terdiri daripada rakyat Singapura.

Syarikat itu juga berharap koleksi berkenaan dapat menarik perhatian pelancong asing menerusi kedainya di Lapangan Terbang Changi, yang membolehkan pengunjung mendapatkan hadiah berinspirasikan Singapura sepanjang tahun.

"Kami mahu menghasilkan sesuatu yang boleh dijadikan hadiah oleh pelancong atau rakyat Singapura kepada rakan mereka di luar negara, supaya mereka dapat membawa pulang sebahagian daripada Singapura," kata Cik Wee.

Syarikat itu turut merancang membuka kedai sementara (pop-up) buat jangka panjang di beberapa lokasi di Singapura tahun depan bagi mendekati lebih ramai pelanggan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita