Skip to main content

Gaya Hidup

Kenali ciri-ciri fabrik pakaian agar lebih selesa digayakan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiap pakaian direka berbeza-beza bukan sahaja dari gaya dan potongan, tapi juga fabrik yang digunakan. Pernahkah anda terfikir sama ada fabriknya sesuai atau selesa dengan diri anda atau anda jenis yang tidak ambil peduli tentang pilihan fabrik?

Menggayakan pakaian dengan fabrik yang tepat merupakan sesuatu yang harus diberi perhatian. Ia bukan saja akan membuat anda tampil lebih 'stylo' dan bergaya, tapi juga dapat memberikan keselesaan.

Jika diperhatikan terdapat pelbagai pilihan fabrik di pasaran. Antaranya, kain kapas, crepe, jacquard, poliester, satin, sutera, viscose, linen dan banyak lagi. Tepuk dada tanya selera, terpulang kepada citarasa masing-masing untuk memilih fabrik yang tepat dan sesuai untuk digayakan.

Apa juga pilihan fabrik, sebelum membelinya fahami dan ketahui terlebih dulu ciri-cirinya. Buat penilaian sendiri sama ada ia sesuai dengan diri anda. Ini penting agar anda tidak tersalah beli dan pada masa yang sama dapat bergaya dalam keadaan yang sangat selesa.

CIRI-CIRI FABRIK

Kapas

Berasal daripada serat kapas, inilah antara fabrik popular yang digemari ramai. Kapas membolehkan kulit bernafas dengan baik dan sangat sesuai untuk dipakai semasa cuaca panas dan lembab. Selalunya fabrik ini ini digunakan untuk blaus, jubah dan sebagainya. Mudah untuk dicuci, selesa dan mudah serap peluh.

 

Organza

Fabrik ini dihasilkan daripada sutera dan harganya lebih mahal kerana tenunannya yang sukar dan fabriknya nipis. Sering kali kain organza digunakan untuk menghasilkan pakaian pengantin selain majlis makan malam.

Lycra

Tekstur fabrik ini meregang kuat dan memiliki ketahanan gosokan yang tinggi. Fabrik ini juga dikatakan menjadi kegemaran wanita untuk menghasilkan blaus, baju panjang, seluar dan sebagainya.

Satin

Inilah antara fabrik popular dan selalunya digunakan untuk menghasilkan tudung kerana teksturnya lembut dan berkilat. Namun fabriknya agak halus dan mudah rosak jika dicuci atau dikendalikan dengan kasar. Selain itu, kain satin juga cepat berkedut dan harus digosok untuk kelihatan licin.

Fabrik ini sering menjadi pilihan bagi rekaan gaun panjang, blaus dan pakaian pengantin kerana ia dapat memberi penampilan yang mewah dan elegan. Tidak hairanlah jika ia juga sering digayakan semasa acara keramaian seperti makan malam.
Jacquard

Fabrik ini merupakan kain bermotif atau kain tenun. Ia dihasilkan daripada proses tenun dan bukan cetakan. Menurut sejarah, untuk menghasilkan fabrik ini ia memerlukan alat tenun khas yang dikatakan dicipta pada tahun 1801 oleh Joseph Marie Jacquard dan proses menenun memakan masa dan tenaga jika dibandingkan dengan tenunan yang lain.
Crepe

Ini merupakan fabrik jenis nipis dan lembut daripada sutera. Permukaannya agak bergerutu kerana dihasilkan melalui teknik di mana benangnya dipintal dengan kesan berkerut hingga ia dapat menghasilkan fabrik yang selesa dan tidak panas.
Poliester

Kain ini mempunyai daya tahan yang kuat. Namun, ia jarang menjadi pilihan kerana fabriknya mampu menghasilkan rasa panas dan sukar menyerap peluh. Ada yang mendapati fabrik ini lebih tepat dijadikan langsir untuk kediaman.
Chiffon Sutera

Satu lagi pilihan fabrik untuk menghasilkan tudung dan shawl. Walaupun harganya lebih sedikit jika dibandingkan dengan yang lain, fabrik ini memerlukan penjagaan yang lebih rapi dari segi cara cuciannya.

Walaupun sifatnya yang halus, chiffon merupakan fabrik yang boleh tahan lama. Ia juga tahan terhadap kedutan dan statik, lantas membuatnya pilihan yang lebih tepat untuk pakaian yang perlu mengekalkan bentuk dan penampilannya.
Chiffon Georgette

Fabrik ini adalah gabungan chiffon dan georgette. Ia menjadi pilihan ramai kerana dari segi penjagaan dan bajet, harganya lebih murah berbanding chiffon sutera. Malah, penjagaannya juga mudah dan senang dicuci.
Renda

Ia merupakan fabrik yang halus dan berkerawang selain mempunyai corak yang rumit. Kain renda merupakan fabrik yang versatil dan boleh digunakan bukan sahaja untuk pakaian dan fesyen untuk blaus dan skirt, tapi juga untuk hiasan rumah seperti langsir dan alas meja.
Songket

Ramai yang tahu tentang cara pembikinan kain songket menggunakan teknik tenunan yang dihasilkan dari benang emas dan benang sutera pada kain latar. Fabrik ini sangat mewah dan mahal kerana menggambarkan struktur sosial dalam kalangan bangsawan Melayu. Sering digunakan pada pengantin.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita