Kempen #My1stMammo ajak anda bantu 500 wanita biaya pemeriksaan payudara
Antara ujian rutin yang harus dijalani kaum Hawa apabila usia mereka menginjak 40 tahun adalah mamogram iaitu pemeriksaan penting untuk mengesan barah payudara

Seorang wanita menjalani pemeriksaan mamogram. (Gambar fail: Reuters/Enrique Castro-Mendivil)
SINGAPURA: Antara ujian rutin yang harus dijalani kaum Hawa apabila usia mereka menginjak 40 tahun adalah mamogram iaitu pemeriksaan penting untuk mengesan barah payudara.
Barah payudara adalah barah nombor satu yang menjejas wanita di Singapura. Setiap tahun, lebih 2,000 wanita didiagnosis dengan barah payudara dan sekitar 280 pesakit meninggal dunia akibat penyakit itu, menurut Laporan Daftar Barah Singapura 2018.
Walaupun barah payudara mempunyai peluang tinggi untuk dirawat apabila dikesan awal, wanita dari keluarga berpendapatan rendah mungkin tidak mempunyai akses yang mudah kepada mamogram, Natijahnya, mereka lewat didiagnosis dan sekalipun selepas itu, hasilnya buruk. Demikian menurut Persatuan Pencegahan Barah 365 (365CPS) dan Pusat Barah Icon dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Dalam satu temu bual telefon, Andrew Soh Ketua Pengumpulan Dana, Pemasaran dan Pengurusan Relawan di 365CPS, sebuah pertubuhan bukan berkeuntungan yang menghulurkan sokongan sosial, memberitahu CNA Women bahawa wanita-wanita ini mungkin tidak menyedari akan keperluan bagi pemeriksaan barah payudara. Bukan itu saja, tambah beliau, mereka juga mungkin bimbang tentang kos kewangan tambahan sekiranya perlu menjalani mamogram.
“Kos mamogram mungkin menelan perbelanjaan sara hidup selama seminggu yang sepatutnya digunakan untuk membeli makanan dan barang keperluan lain. Jika ada keganjilan pada hasil pemeriksaan, berjumpa dengan doktor akan membawa kos sekurang-kurangnya lagi S$50 hingga S$60," kat Encik Soh.
Buat masa ini, hanya wanita rakyat Singapura berusia 50 tahun dan ke atas layak untuk menerima subsidi mamogram, yang disediakan di pusat-puat tertentu di bawah program Pemeriksaan Sepanjang Hayat oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Ia berharga dari S$50 (untuk rakyat Singapura) hingga S$70 (Penduduk Tetap) tetapi tidak termasuk kos sebelum dan selepas berjumpa doktor.
Garis panduan pemeriksaan nasional menyarankan agar seorang wanita mendapatkan pemeriksaan mamogram pertama apabila beliau berusia 40 tahun. Antara beberapa subsidi yang bagi wanita berusia 40 hingga 49 tahun adalah bantuan pembiayaan yang disediakan oleh Persatuan Barah Singapura pada April, Mei, Oktober dan November setiap tahun. Jika wanita itu layak, beliau boleh menikmati potongan S$25 daripada kos asal.
BAGAIMANA ANDA BOLEH BANTU
Kempen yang dipanggil #My1stMammo bermatlamat untuk mengumpul dana S$80,000 bagi membiayai kos mamogram buat wanita yang memerlukannya.
Namun sebelum itu, mereka perlu mendaftarkan minat mereka. Pemeriksaan barah payudara berlangsung dari Oktober hingga Disember.
“Kami berharap dapat mengumpul sekurang-kurangnya 500 penerima daripada 365CPS dan rakan-rakan kongsi masyarakat untuk tampil mendapatkan mamogram pertama mereka melalui kempen ini," kata Encik Soh.
Sehingga 30 Oktober ini, orang awam boleh mendermakan berapa saja jumlah dari S$10 untuk menaja pemeriksaan mamogram. Penganjur berharap untuk mengumpul jumlah penuh yang disasarkan itu sebelum tarikh tersebut.
Para penerima akan mendapat akses kepada pemeriksaan mamogram percuma, lengkap dengan konsultasi doktor sebelum dan selepas pemeriksaan bersama dengan klinik biasa dan mana-mana tujuh klinik SATA di merata negara.
Sebarang lebihan daripada jumlah keseluruhan yang dikumpul akan disalurkan untuk menyokong inisiatif pencegahan barah lain oleh 365CPS.
Untuk menderma kepada kempen #My1stMammo, sila ke pautan ini: https://www.giving.sg/365-cancer-prevention-society/_my1stmammo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.