Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kembali bertugas di pejabat? 7 perkara ini perlu anda tahu

Selepas lebih setahun bekerja dari rumah, para pekerja mungkin sekali lagi berdepan perubahan sedang Singapura beralih ke cara bekerja yang lebih "fleksibel dan hibdrid".

Anggaran Waktu Membaca:
Kembali bertugas di pejabat? 7 perkara ini perlu anda tahu

Orang ramai Raffles Place. (Gambar hiasan: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 25 Mar 2021 02:07PM Dikemas Kini : 26 Mar 2021 12:57AM

SINGAPURA: Selepas lebih setahun bekerja dari rumah, para pekerja mungkin sekali lagi berdepan perubahan sedang Singapura beralih ke cara bekerja yang lebih "fleksibel dan hibdrid".

Pengumuman mengenai kelonggaran untuk para pekerja kembali bertugas di tempat kerja diumumkan oleh pasukan bertindak berbilang kementerian semalam (24 Mac).

Lebih banyak pekerja akan dibenarkan kembali bertugas di tempat kerja mulai 5 April, dengan aturan kerja yang mengasingkan pasukan tidak lagi diwajibkan.

Tiada juga had ke atas tempoh pekerja boleh berada di tempat kerja pada satu-satu masa.

Langkah-langkah pengurusan selamat di tempat kerja yang sudah dikemas kini juga sudah dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Ini yang perlu anda tahu:

1. WAKTU BERPERINGKAT MULA KERJA, LEBIH FLEKSIBEL

Para majikan mesti memastikan waktu mula kerja secara berperingkat bagi memastikan kakitangan tidak berkumpul atau bertembung beramai-ramai di pintu masuk atau di lobi.

Ia juga akan mengurangkan kesesakan di tempat awam, termasuk pengangkutan awam, menurut MOM.

Waktu kerja fleksibel juga harus dibenarkan bagi para pekerja yang mungkin memilih untuk membahagikan waktu kerja antara di pejabat dan di rumah.

Langkah-langkah baru ini adalah untuk tempat-tempat kerja umum di mana para pekerja boleh kembali untuk memberikan sokongan lebih baik kepada operasi perniagaan dan kerjasama secara bertemu muka.

Tempat-tempat kerja khusus seperti tapak binaan dan perkapalan mungkin perlu mematuhi peraturan tambahan dan merujuk kepada peraturan khusus untuk sektor tersebut.

2. BEKERJA DARI RUMAH MASIH DIGALAKKAN

Memandangkan risiko penularan COVID-19 masih wujud, para majikan mesti memastikan tidak lebih 75 peratus pekerja - naik dari 50 peratus sekarang ini - yang boleh bekerja dari rumah berada di tempat kerja.

Para majikan digalakkan supaya menyokong seramai mungkin pekerja untuk bekerja dari rumah sebanyak mungkin kerana ini akan membantu menghadkan jumlah orang yang terdedah di tempat kerja pada satu-satu masa dan mengurangkan kesesakan di ruang-ruang yang dikongsi bersama.

Syarikat-syarikat juga perlu terus mengadakan mesyuarat secara maya selagi boleh, tambah MOM.

3. KEKALKAN 'KEHARMONIAN KERJA-KEHIDUPAN'

MOM menyatakan langkah-langkah bekerja dari rumah seharusnya membolehkan pekerja "mengekalkan keharmonian antara pekerjaan dan kehidupan" sedang mereka terus memenuhi keperluan perniagaan.

Menurut Nasihat Perikatan Tiga Pihak tentang kesejahteraan mental di tempat kerja, para majikan boleh menyokong pekerja dengan melantik "duta kesejahteraan mental" untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental. Mereka boleh melakukannya menerusi perbincangan tentang pengurusan tekanan, kawalan emosi dan teknik melepaskan lelah.

Para majikan juga boleh menyediakan akses kepada khidmat kaunseling seperti menerusi Program Bantuan Pekerja. Khidmat-khidmat ini membolehkan para pekerja untuk bercakap kepada para karyawan tentang kerja mereka dan juga cabaran-cabaran berkaitan perkara-perkara bukan urusan kerja.

4. TUMPUAN KHAS BAGI PEKERJA MUDAH TERJEJAS

Syarikat-syarikat digesa supaya memberi tumpuan khusus kepada para pekerja yang mudah terjejas, seperti yang berusia 60 tahun dan ke atas, dan pesakit yang tiada pertahanan imun atau menghidap penyakit.

Para majikan digalakkan supaya mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengurangkan pendedahan kepada risiko jangkitan, seperti membolehkan mereka bekerja dari rumah atau membolehkan mereka datang ke tempat kerja pada waktu tidak sibuk.

Individu-individu itu mungkin boleh dikerahkan ke peranan lain dalam syarikat buat sementara waktu.

5. SEHINGGA 50 ORANG DI ACARA KERJA

Acara-acara berkaitan kerja mesti dipatuhi untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada jangkitan COVID-19, dengan menjaga jarak selamat satu meter antara semua individu yang hadir.

Makanan juga tidak seharusnya menjadi tumpuan utama acara dan para majikan perlu mengelak daripada menganjurkan acara berjamuan, selagi boleh.

Menurut MOM, makanan dan minuman hanya boleh disediakan jika "berkaitan: dengan tempat kerja - contohnya, jika mesyuarat itu berlarutan sehingga waktu makan tengah hari.

Makanan pula mesti dihidangkan dalam bungkusan berasingan dengan peserta duduk di satu tempat semasa makan dan tempoh pelitup tidak dipakai semasa makan perlu dikurangkan.

6. PERHIMPUNAN SOSIAL KEKAL 8 ORANG

Meskipun sehingga 50 orang dibenarkan untuk menghadiri acara berkaitan kerja, majlis perpisahan masih dikira sebagai "perhimpunan sosial dan rekreasi", bermakna hanya lapan orang dibenarkan.

Begitu juga bagi kegiatan bagi mengukuhkan semangat berpasukan, baik di dalam mahupun di luar tempat kerja.

Perhimpunan melibatkan lebih satu kumpulan lapan orang tidak dibenarkan, menurut MOM.

7. MAJIKAN PERLU SEDIAKAN PELITUP, CECAIR BASMI KUMAN

Para majikan perlu memastikan mereka mempunyai bekalan pelitup yang mencukupi untuk semua pekerja.

Ini termasuk sebarang keperluan untuk menggantikan pelitup dengan lebih kerap disebabkan oleh keadaan tempat kerja atau pusat panggilan, jika tugasnya memerlukan pekerja menggantikan pelitup dengan kerap.

"Selagi boleh, para majikan perlu menimbangkan untuk mempertingkatkan persekitaran kerja bagi para pekerja untuk membolehkan mereka memakai pelitup pada jangka yang panjang," menurut MOM.

Para majikan juga perlu menyediakan produk-produk pembersihan seperti cecair sabun dan kertas tisu di tandas serta bahan pembasmi kuman seperti pembersih tangan, penyembur, kertas tisu dan tisu basah.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan