Skip to main content

Gaya Hidup

Kematian akibat renjatan elektrik: Pakar gesa orang ramai periksa pemanas air dengan kerap

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai dinasihati agar kerap memeriksa alat pemanas air mereka dan pastikan ia tidak menggunakan palam tiga pin, menurut pakar.

Nasihat itu susulan tragedi melibatkan pasangan warga emas dan anak lelaki mereka yang meninggal dunia di sebuah flat di Jurong Lakeside pada Disember 2020 akibat terkena renjatan elektrik. Puncanya ialah kabel neutral dan bumi pemanas air itu telah bercantum.

Menurut jurutera dari Penguasa Pasaran Tenaga palam tiga pin disambungkan ke soket elektrik untuk membekalkan kuasa kepada pemanas air itu walhal sepatutnya pemanas disambungkan terus ke suis dua kutub. Tambahnya kabel itu bercantum kerana beban yang berlebihan.

BACA: Pasangan warga emas, anak lelaki meninggal dunia di flat Jurong terkena renjatan elektrik dek palam pemanas air rosak

Mediacorp menemu bual beberapa pakar tentang cara anda boleh memastikan pemanas air anda selamat.

1) Pemanas air harus disambungkan kepada suis untuk pemanas air dan bukan pada palam tiga pin

Juruelektrik dan jurutera memberitahu Mediacorp bahawa palam tiga pin tidak boleh menyokong beban lebih tinggi daripada 13 amp. Bekalan elektrik untuk pemanas air menggunakan kuasa yang lebih besar daripada itu.

Sebaliknya, pemanas air harus disambungkan dengan suis yang khas untuk pemanas air. Lazimnya, suis ini akan ada lampu yang bernyala apabila ia dihidupkan.

Encik Benetton Chan, pengarah syarikat perkhidmatan elektrik dan paip Sparkflow, berkata masih lagi satu perkara biasa di mana palam tiga pin digunakan untuk pemanas air di beberapa rumah.

Sekiranya pemanas air tidak dipasang dengan betul, pemilik rumah harus menghubungi juruelektrik bertauliah untuk mengantikan pendawaian elektrik, kata Encik Chan.

2) Perhatikan perubahan pada pemanas air yang mungkin petanda kerosakan elektrik

Tempat sambungan adalah "tempat paling biasa" menjadi panas apabila pemanas air itu rosak, kata Encik Wang Gucheng, pengurus kanan pusat penyelidikan tenaga bersih di Sekolah Kejuruteraan Politeknik Temasek.

Jika terhidu bau terbakar, penduduk harus mendapatkan khidmat juruelektrik profesional, kata pakar.

Jika suis tukar menjadi hitam, ia adalah tanda wayar sudah terbakar atau mula terbakar, kata Encik Chan.

3) Pastikan ada label Tanda Selamat SG dan fungsi perlindungan mengesan kebocoran

Sebagai pengguna, anda memang dinasihati untuk membeli barangan yang mempunyai label Tanda Selamat SG.

"Beberapa pemanas air ada fungsi mengesan kebocoran. Jika anda membeli pemanas air, ada butang ujian untuk menguji fungsi tersebut. Uji fungsi perlindungan dengan kerap,” kata Encik Wang.

Pemanas air biasanya boleh bertahan antara lapan hingga 12 tahun, tambah beliau. Dapatkan khidmat juruelektrik bertauliah untuk memeriksa alat pemanas air yang lapuk.

Pemanas air lazimnya akan ada tempoh jaminan sehingga lima tahun, kata Encik Chan.

4) Pilih kontraktor elektrik berlesen untuk pasang pemanas air

Menurut Encik Chan, beliau dan pasukannya juga menemui beberapa orang yang cuba memasang alat pemanas air mereka sendiri meskipun mereka tidak ada lesen yang sesuai.

Apabila mendapatkan juruelektrik untuk memasang pemanas air, pemilik rumah boleh meminta pekerja menunjukkan kad lesen mereka. Kad itu harus mengandungi gambar dan nama mereka, nombor kad pengenalan dan nombor lesen, kata Encik Wang.

Juruelektrik telah dilatih untuk memastikan wayar dipasang dengan betul dan selamat. Mereka juga ada alat profesional untuk mengesan sebarang risi berkaitan sambungan wayar atau aliran arus elektrik, tambah beliau. Penduduk juga dinasihatkan agar mendapatkan juruelektrik bertauliah untuk selenggara alat pemanas air mereka dari masa ke masa.

5) Periksa pemutus litar bocor ke bumi (ELCB) dan pemutus litar arus sisa (RCCB)

Pemilik rumah juga harus secara berkala memeriksa pemutus litar arus sisa untuk memastikan ia berfungsi dengan baik, kata pakar. Sebarang kebocoran elektrik harus menyebabkan gangguan kuasa dan bekalan elektrik ke seluruh unit terputus.

Pemilik rumah harus memastikan ada RCCB di rumah mereka dan boleh meminta juruelektrik berlesen untuk mengajar cara memeriksa kotak itu dengan kerap untuk memastikan ia berfungsi dengan betul, kata Encik Wang.

6) Apa yang harus anda lakukan sekiranya renjatan elektrik berlaku di rumah

Selain memeriksa pemanas air dan bahagian berkaitan, pemilik rumah juga boleh memakai selipar apabila mereka mandi untuk mengurangkan risiko terkena renjatan elektrik, kata Encik Wang.

Mereka juga harus berhenti menggunakan pemanas air apabila mereka rasa sensasi seakan dicucuk jarum apabila menggunakan pemanas air tersebut, tambah beliau.

Dalam kejadian di Jurong Lakseside, Allahyarham Omar Abdul Manan dipercayai terkena rebjatan elektrik selepas menyentuh hos logam yang disambungkan ke tangki air panas.

Jika seseorang terkena renjatan elektrik di rumah, anggota keluarga yang lain harus segera mematikan bekalan tenaga di kotak pemutus litar, kata Encik Chan.

"Jangan cuba untuk menyentuh individu yang terkena renjatan elektrik,"kata Encik Wang.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita