Keluarga ini sudah jaga lebih 100 ekor kucing, kebanyakannya diselamatkan dan kucing terbiar
Ketika menunggu ibu beliau menjemputnya selepas tuisyen, Nur Adanee Azmi, 10 tahun, ternampak sekumpulan budak lelaki sedang menyepak sesuatu.

Gambar hiasan. (Gambar: Kham/Reuters)
KUALA LUMPUR: Ketika menunggu ibu beliau menjemputnya selepas tuisyen, Nur Adanee Azmi, 10 tahun, ternampak sekumpulan budak lelaki sedang menyepak sesuatu.
Ternyata ‘bahan’ sepakan mereka itu adalah tiga ekor anak kucing. Marah dengan kekejaman itu, Nur Adanee mendesak agar mereka tidak menyakiti haiwan itu. Kemudian, anak-anak kucing itu dibawa pulang ke rumahnya.
Sepuluh tahun kemudian, kini dua ekor anak kucing itu masih tinggal di rumah Nur Adanee di Ampang, Selangor. Malangnya, seekor lagi terlepas lari.
Kejadian 10 tahun lalu itu menjadi titik tolak kepada banyak misi menyelamat lain, sehinggalah kini beliau dan keluarganya mempunyai 44 ekor kucing di rumah mereka. Selain yang diselamatkan, ‘keluarga’ kucing mereka termasuk lima pedigri, empat daripadanya baka ragdoll, manakala yang seekor lagi jenis American Curl.
Jika dihitung kesemuanya, keluarga peminat kucing itu sudah menjaga lebih 100 ekor haiwan berkenaan sejak sedekad lalu, kebanyakannya yang diselamatkan dan kucing liar.
Dalam usaha membantu mengurangkan bilangan kucing terbiar dalam masyarakat, kesemua kucing itu dimandulkan.
“Amat menyedihkan apabila melihat ibu kucing yang tidak berdaya cuba memberi anaknya makan sedangkan si ibu itu sendiri tidak mendapat makanan yang cukup,” kata Nur Adanee, yang kini berusia 20 tahun.
SANGKAR UNTUK KUCING
Pada mulanya, kucing-kucing dibenarkan bebas berkeliaran di seluruh rumah tetapi apabila jumlah semakin bertambah, keadaan sudah tidak praktikal lagi untuk membiarkan haiwan itu lepas bebas. Ini memandangkan Nur Adanee dan keluarganya tinggal di rumah teres dengan ruang yang terhad.
Ibu bapa Nur Adanee kemudiannya mendapatkan sangkar kucing yang luas dan selesa, ditempah khas untuk kucing mereka. Haiwan itu masih boleh bebas berkeliaran selama kira-kira dua jam setiap hari ketika Nur Adanee dan ibunya membersihkan sangkar.
Perbelanjaan bulanan untuk menjaga kesemua haiwan kesayangan itu mencapai kira-kira RM2,000 (S$666.40).
“Walaupun agak mahal untuk menjaga kucing-kucing ini, kita tidak boleh abaikan kucing terbiar yang sangat memerlukan bantuan manusia,” kata Nur Adanee, sambil menambah bahawa amat menyedihkan apabila membaca laporan mengenai kucing liar yang disiksa atau diracun.
Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) menggalakkan individu-individu untuk memberi bantuan kepada kucing liar tanpa perlu berbelanja terlalu banyak.
SPCA menawarkan program pengambilan haiwan angkat untuk kucing di mana orang ramai hanya perlu membayar antara RM50 (S$16.70) dan RM100 (S$33.30) untuk berbuat demikian. Yuran itu termasuk vaksin pertama, ubat cacing dan pemandulan.
PELIHARA KUCING BOLEH KURANGKAN TEKANAN
Doktor haiwan dari Universiti Putra Malaysia, Dr Puteri Azaziah Megat Abdul Rani pula berkata adalah bermanfaat untuk memelihara kucing sebagai haiwan kesayangan kerana penyelidikan menunjukkan bahawa haiwan itu dapat memahami dan bertindak balas terhadap emosi manusia.
Beliau menambah bahawa hormon oksitosin, yang dikeluarkan apabila manusia berada bersama haiwan kesayangan, dapat membantu melegakan tekanan dan menurunkan tekanan darah.
Dr Puteri Azaziah, yang menjalankan penyelidikan mengenai zoonosis atau jangkitan yang disebarkan di antara haiwan dan manusia berkata adalah lebih menjimatkan untuk menyelamatkan dan mengambil kucing terbiar sebagai haiwan angkat berbanding membeli baka tulen daripada kedai haiwan kesayangan.
“Berdasarkan pengalaman, saya dapati kucing tempatan lebih kuat daya tahan dan tidak mudah jatuh sakit berbanding kucing baka tulen. Apa pun, setiap kucing pasti menunjukkan kasih sayang dan mempunyai hubungan akrab dengan pemiliknya," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.