Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kelengkapan dandanan diri berharga murah tapi bermutu antara strategi bijak perniagaan kecil

Anggaran Waktu Membaca:
Kelengkapan dandanan diri berharga murah tapi bermutu antara strategi bijak perniagaan kecil

Produk di kedai Venus Beauty lazimnya diberi harga antara 20 dengan 30 peratus lebih rendah berbanding peruncit lebih besar. (Gambar: Venus Beauty)

Diterbitkan : 11 Jan 2022 11:33PM Dikemas Kini : 11 Jan 2022 11:33PM

SINGAPURA: Sedekad lalu, harga rendah yang ditawarkan kedai kecantikan tempatan, British Essential, mungkin menimbulkan tanda tanya dan keraguan tentang mutu produknya.

Namun kini, jenama itu sudah menjadi pilihan alternatif kepada rangkaian farmasi lebih besar bagi ramai pelanggan yang memburu produk pada harga lumayan, terutama sekali di tengah-tengah pandemik ini.

Syarikat itu, yang kini mempunyai rangkaian tujuh kedai, menyaksikan peningkatan pada permintaan bagi produk-produknya, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Christopher Lim.

"Pada masa ini, terutama sekali pada musim COVID-19 begini, semua orang menjaga perbelanjaan...jadi konsep (kedai) kami amat dialu-alukan pada ketika ini," kata Encik Lim, sambil menambah bahawa syarikat itu merancang untuk membuka lebih banyak cawangan.

Di kedai-kedai British Essential, para pelanggan dapat memilih daripada pelbagai produk kecantikan dan dandanan diri pada harga diskaun. Sebuah botol 200ml gel mandian, misalnya, dijual pada harga serendah 90 sen, berbanding S$2 di farmasi utama dan pasar raya.

Situasinya sama bagi peruncit produk peribadi dan keluarga, Venus Beauty, yang mengendalikan 29 cawangan di merata Singapura.

Pengarah syarikat itu, Encik Danny Lim, berkongsi bahawa produk di kedai lazimnya diberi harga antara 20 dengan 30 peratus lebih rendah berbanding peruncit lebih besar.

Beliau berkata walaupun permintaan bagi produk kosmetik berkurangan akibat pandemik, syarikatnya masih menyaksikan permintaan yang baik bagi barangan keperluan harian seperti sabun tangan dan makanan tambahan bagi jagaan kesihatan.

Namun jika setiap produk dijual pada harga begitu rendah, bagaimana kedai-kedai sedemikian mampu membayar gaji, sewa, mengaup keuntungan malah berkembang kepada lebih banyak cawangan?

MEMBELI SECARA PUKAL

Bagi peruncit kecil seperti Venus Beauty dan British Essential, menempah barangan pada jumlah yang tinggi adalah kunci strategi perniagaan mereka kerana ia membenarkan mereka mencapai skala ekonomi.

"Apabila kami membawa masuk jumlah (barangan) yang banyak, kosnya lebih rendah jadi kami mengalihkan penjimatan kos itu kepada pengguna," jelas Encik Lim.

Penjualan produk-produk tersebut pula harus berjalan pantas agar jumlah besar yang ditempah dapat dihabiskan, tambahnya.

Venus Beauty pula membawa masuk antara tiga hingga lima kontena produk laris seperti gel mandian setiap bulan. Menurut pengarah syarikat tersebut Danny Lim, ia mengambil masa sekitar seminggu untuk menghabiskan stok yang mengisi satu kontena.

Beliau menambah syarikat itu mempunyai rangkaian pembekal antarabangsa yang mengimport produk ke Singapura secara pukal dan ini membantu mengurangkan kos.

Para pelanggan juga boleh membeli produk secara pukal dan ini memberi mereka peluang menikmati diskaun yang lebih besar.

"Sesetengah produk jauh lebih murah di negara-negara lain berbanding di Singapura, jika anda membelinya di kedai dan bukan secara pukal sekalipun," kongsi Encik Lim, sambil menambah bahawa Venus Beauty mengimport produk daripada luar negara termasuk Eropah, Amerika Syarikat dan Korea.

"Misalnya, jika anda ingin membeli barangan Jepun, ia mahal walaupun anda beli daripada pemborong di Singapura, jadi apa yang kami buat adalah membeli secara langsung dari (penjual luar negara) dan membawanya masuk," katanya. "Kami tiadakan orang tengah."

KOS ATAU MUTU?

Para pelanggan sering bertanggapan bahawa produk yang dijual pada harga jauh lebih murah berbanding di kedai-kedai utama, adalah bermutu rendah dan memiliki kerosakan kecil.

Bagaimanapun menurut Profesor Madya Stephen Phua dari fakulti undang-undang Universiti Nasional Singapura, perbezaan harga mungkin hanya disebabkan oleh komponen dalam produk dan ia sebenarnya bukan kurang baik.

"Negara-negara lain mungkin mempunyai piawaian teknikal atau kawal selia yang berbeza, yang boleh menyebabkan perbezaan harga," katanya.

"Misalnya, sesebuah negara mungkin mempunyai undang-undang kawal selia yang tegas dan lebih ketat untuk produk tertentu dan maka itu, pengilang mungkin perlu menggunakan bahan yang tertentu atau menggunakan kandungan yang lebih tinggi, dan ini akan menambah kepada kos pengeluaran," tambahnya.

"Jadi, bila dua barangan dipamerkan di rak-rak, ia kelihatan sama dan kedua-duanya produk tulen, hanya harganya yang berlainan."

Kedai-kedai kecantikan kecil yang ditemui Mediacorp juga menolak dakwaan bahawa produk mereka kurang mutunya berbanding kedai-kedai lebih besar.

Venus Beauty menyatakan ia sering memeriksa mutu dan keadaan produk yang dibekalkan kepada mereka.

"Jika produk itu bermutu rendah dan tidak berkesan, kami tidak menjualnya sama sekali," kata Encik Lim. “Kami sama ada mengembalikannya kepada pembekal atau membuangnya sahaja – kami tidak meletakkannya di pasaran.”

British Essential menawarkan pilihan produk kecantikan dan dandanan diri pada harga diskaun. (Gambar: Christopher Lim)

Bagi British Essential, yang sudah berada di pasaran sejak 2003, mengetahui produk mana yang berkesan dan yang tidak melibatkan percubaan serta maklum balas dari pelanggan.

“Sebelum ini, orang ramai akan menyangka kerana harga kami sangat murah, ia mungkin tidak asli. Tetapi sekarang, terutamanya kerana kami sudah berada di pasaran untuk sekian lama, orang ramai tahu bahawa semua produk kami adalah sangat tulen,” kata Encik Lim dari British Essential.

“Pengguna juga sangat bijak sekarang kerana mereka boleh menyemak harga dalam talian untuk membandingkan. Ia menjadi sangat telus,” katanya.

Pembezaan produk adalah satu lagi strategi yang diguna oleh peruncit yang lebih kecil.

Beauty Language, yang mempunyai 29 cawangan, berkata selama ini ia membezakan perniagaannya daripada pesaing dengan membawa masuk produk bermutu dari Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Korea dan Jepun pada harga yang berpatutan.

“Para pelanggan utama kami lebih suka produk yang lebih unik, bermakna produk yang anda hanya boleh temui di kedai di luar negara serta produk baru,” kata pengarah syarikat itu Jacelyn Loh.

“Jadi kami membezakan perniagaan kami dengan melancarkan antara 20 dengan 30 produk baru setiap bulan, serta jenama eksklusif yang anda tidak dapat temui di tempat lain di Singapura.”

Sumber : CNA/IH/ih

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa