Skip to main content

Gaya Hidup

Kekalkan tubuh sihat, kulit cantik semakin usia meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Meskipun kecantikan luaran bukanlah keutamaan, penjagaan kesihatan kulit dan penampilan diri tetap memainkan peranan penting dalam membina keyakinan serta kebahagiaan dari dalam.

Hal ini menjadi lebih signifikan, terutama bagi golongan wanita yang berusia usia melewati usia 40-an tahun ke atas.

Semakin usia meningkat, perubahan fizikal sering kali dapat dirasai dan dilihat dari semasa ke semasa. Antara perubahan ketara termasuklah kemunculan garisan halus dan kedutan pada kulit.

Kadangkala ia boleh menjejas keyakinan diri bagi sesetengah wanita, membuat mereka berasa kurang selesa dengan penampilan sendiri.
 
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Pexels)
Walaupun definisi cantik berubah mengikut usia dan persepsi setiap individu. Bagi ramai wanita yang berusia, kecantikan biasanya dikaitkan dengan gaya hidup sihat, amalan penjagaan diri yang konsisten serta penampilan yang kemas dan sederhana.

Namun ada juga yang bertanggapan bahawa kecantikan luaran bukan lagi satu keutamaan apabila usia meningkat. Tapi, lebih kepada kecantikan dalaman dan ia lebih terserlah apabila mereka yakin dan selesa dengan diri sendiri dan sentiasa positif untuk sering berbuat baik.

Kajian juga mendapati bahawa kecantikan sebenar juga akan turut menyerlah apabila ia bermula daripada hati yang bersih dan fikiran yang tenang. Lantas, usah sesekali malu dengan diri sendiri, walaupun usia semakin meningkat.

Sebaliknya, serlahkan keyakinan, lengkapkan penampilan dan jaga kesihatan diri. Tiga elemen ini adalah antara definasi kecantikan yang sebenar apabila usia semakin meningkat.
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Pexels)
YAKIN, SIHAT DAN GAYA

Bagi wanita yang gemar bergaya, semakin usia meningkat anda perlu lebih sensitif supaya tidak menjadi mangsa fesyen. Yang penting harus berfikiran positif, jaga penampilan diri dan kekalkan sifat keperibadian kerana ia dapat membantu meningkatkan keyakinan diri sendiri.

Selain itu, kesihatan juga adalah antara aspek yang sangat penting. Kesihatan yang baik akan menampakkan seseorang tampak lebih muda dan secara tidak langsung menyerlah. Anda boleh meluangkan masa untuk bersenam.

Mulakan dengan berjalan di taman berhampiran rumah dan tambah jaraknya apabila stamina sudah terbina. Jika ada teman bersenam, ia pasti akan lebih merangsang semangat anda untuk kerap bersenam.
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Pexels)
Kesihatan mental juga penting dan jangan dilupakan juga. Ambil masa untuk berehat atau berbual dengan rakan yang positif. Hidupkan semula minat lama atau cuba hobi baru. Aktiviti ini boleh memberi makna dan kegembiraan dalam kehidupan seharian. Amalkan sikap untuk bersederhana dalam apa juga yang dilakukan.

Selain itu, fahami dan kenali bentuk tubuh anda kerana dengan cara ini ia juga dapat membantu anda untuk memilih pakaian bersesuaian yang lebih tepat dan sopan. Tidak kira saiz tubuh, hargailah perubahan yang berlaku pada diri.

Dari segi kecantikan pula, walaupun terdapat pelbagai jenama yang berlumba-lumba untuk menghasilkan produk yang dikatakan dapat menunda dan menghilangkan tanda-tanda penuaan di wajah anda, penuaan adalah proses semula jadi yang tidak boleh dielakkan oleh sesiapa sahaja.

Tapi, apa yang boleh anda cuba adalah untuk amalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan yang sederhana dan berkhasiat. Dengan cara ini, secara tidak langsung ia juga dapat menyumbang pada kesihatan kulit yang lebih baik walaupun usia semakin meningkat.
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Pexels)
BERANI JADI DIRI SENDIRI

Menurut kajian juga, semakin berusia anda akan dapat membina personaliti yang lebih menarik. Cuba lakukan perubahan ke arah yang lebih positif sesuai dengan usia masing-masing. Mantapkan diri dengan pengetahuan kerana semakin seseorang itu berusia mereka mempunyai lebih banyak ilmu dan pengalaman.

Cuba gunakan masa terluang dengan banyakkan membaca sesuatu yang bermanfaat. Pada masa yang sama, luangkan masa untuk bersenam secara ringan seperti berjalan kaki, yoga atau taichi. Ia bukan saja dapat meningkatkan kecergasan, malah membantu menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan selain dapat mencegah penyakit.

Amalan pemakanan sihat juga penting. Kurangkan makanan bergula, berlemak dan bergaram. Banyakkan mengambil makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, air putih dan makanan tinggi antioksidan. Elakkan diet yang boleh memudaratkan tubuh dan mempercepatkan penuaan.

Seperti yang diketahui ramai, penuaan adalah proses semula jadi, semakin berusia anda tetap boleh memiliki kecantikan dalaman yang tidak boleh ditiru. Lantas, serlahkan keanggunan usia yang matang dengan menjaga kesihatan dan ketenangan dari dalam
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Pexels)

MAKANAN, BERAT BADAN DAN SENAMAN

Untuk kekal sihat seiring peningkatan usia, amat disarankan agar anda mengamalkan gaya hidup sihat yang merangkumi pemakanan seimbang, pengurusan berat badan dan senaman berkala. Langkah ini bukan sahaja membantu mencegah masalah sendi dan saraf, malah mengurangkan risiko pelbagai penyakit kronik.

Amalan pemakanan yang sihat sangat penting. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam, gula dan lemak secara berlebihan boleh menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan serius seperti obesiti, masalah pencernaan, penyakit jantung, angin ahmar, kencing manis dan juga barah.

Masalah obesiti yang berlebihan pula menjadi antara faktor utama yang meningkatkan risiko terhadap pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, kencing manis dan penyakit kardiovaskular. Oleh itu, bagi mereka yang mengalami masalah ini, langkah pertama yang wajar diambil adalah berusaha untuk menurunkan berat badan secara sihat.

Di samping itu, mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi setiap hari juga penting. Ketika tidur, tubuh menjalani proses pemulihan semula jadi, memperbaiki tisu dan selain dapat menguatkan sistem imun. Tidur selama tujuh hingga lapan jam sehari bukan sahaja membantu tubuh dan minda berehat, malah menjadikan anda lebih segar, bertenaga dan kurang terdedah kepada penyakit.

Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Pexels)
Akhir sekali, senaman juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan tubuh secara keseluruhan. Tidak perlu bermula dengan senaman berat, memadai dengan aktiviti ringan yang dilakukan secara konsisten. Apa juga aktiviti yang dilakukan, pastikan ianya sesuai dengan diri anda!

Senaman dapat membantu melancarkan peredaran darah, mengurangkan tekanan, mengawal paras gula dalam darah serta meningkatkan keseimbangan badan, ketumpatan tulang dan memberikan kesan awet muda.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita